TEASER KU KATAKAN
DENGAN INDAH
Angulia Resorts…
Kali ini, Kelab Amatur Renang (KAR)
memilih tempat ini sebagai tempat untuk mengadakan pemantapan diri dan latihan
sebelum bermulanya Asian Team and Individual Championship. Juling biji mata
Akaash sebagai Direktor Pembangunan dan Operasi KAR apabila mengenangkan bajet
untuk sebulan ini. Walaupun memang ada penajaan dari beberapa penaja vip namun
tetap juga melaksanakan langkah berhemat. Akaash berbalas pandang dengan Hail
Isyraf yang sama-sama duduk menikmati minum petang. Sama-sama teruja mahu
memulakan sesi pemantapan dan latihan bagi mendapatkan kejayaan di pelbagai
pertandingan renang. Yang paling utama adalah untuk meningkatkan kualiti atlet
ke level top rank dunia untuk semua atlet-atlet yang berada di bawah naungan
KAR.
Hail Isyraf selaku ketua jurulatih
tersenyum bangga melihat anak-anak didiknya yang penuh bersemangat sejak tiba
pagi tadi. Namun senyumannya mati apabila terpandangkan wajah anak emasnya yang
dikenali sebagai spesis pelik. Masam kelat macam buah pauh ringan. Belum mula
latihan mood dah swing? Tapi spesis pelik ini memang begini sikapnya. Wajahnya
tu pun sepesen aje…masam dan beku tanpa emosi.
Jam menunjukkan
pukul lima petang…
Seorang lelaki tampan berjalan angkuh
melewati Kafe Angulia. Wajah masam dipamerkan sehingga rakan sepasukan yang
wujud tertunduk bisu. Bimbang jika menegur dapat bahana. Dalam KAR ini ada satu
nama yang wajib dielak untuk berbicara sewenangnya. Siapa? Lelaki inilah…
Dalam masa yang sama, laju langkah
kaki Azad mengejar sahabat baiknya itu. Risau. Bimbang tingkah yang tidak-tidak
dipamerkan oleh sahabatnya ini. Semua ini gara-gara wartawan hiburan yang
cantik jelita itu. Wartawan sesat yang dah buat perjanjian gila dengan Hail
Isyraf dan terpaksa bersama-sama KAR selama sebulan untuk jadi pegawai
publisiti tak bergaji. Tegas mahu memikul tanggungjawab tersebut demi
mendapatkan tiket vip sebagai wartawan ulung yang bisa menemubual Hail Isyraf
dan membongkar cinta rahsia antara ketua jurulatih itu dengan seorang artis
wanita cantik yang popular, Airina Sofea.
Siapa wartawan wanita itu?
Elnara Tadwin wanita yang masih single
yang boleh dilabelkan sebagai cantik, secantik Airina Sofea. Atau mungkin lebih
cantik lagi daripada Airina Sofea. Tapi cantikkan subjektif. Yang pasti, cantik
bukan penyebab utama lelaki tampan yang angkuh tu jadi begini.
Elnara Tadwin, gadis lincah yang penuh
dengan keletah luar alam dan sentiasa happy go lucky. Cantik persis
bidadari yang seksi dan menjengkelkan hati walau dalam usia awal 30an.
Wait! Tak seru
kalau tak sebut angka yang tepat. Hehehe… Bila aku sebut angka 33 tahun, kau
jangan nak gebang pasal andartu pula. Haip, babap nanti!
Namun, dalam kasarnya tingkah tetap
juga hati seorang Elnara sesuci embun pagi. Hanya yang mengenali sahaja merasai
ketulusan hati dan budi seorang Elnara. Prihatin dan penyayang.
Sshhhh…
Persona lelaki tampan dengan wajah
beku tadi masih menggerunkan. Lelaki bernama Warith Abrar tak kurang juga
hebatnya hingga menggugah jiwa kental Si Cantik Elnara. Bertahun-tahun Elnara
pegang status single but not available. Tapi sejak bertemu Warith, hati
Elnara tercampak jatuh dalam badai cinta Warith. Tenggelam terus ke dasar hati
sampai lemas Elnara mahu selamatkan diri.
Melilau mata Warith memerhati setiap
wajah yang berada di kawasan private pool ini. Mata Warith terfokus pada figura
Elnara yang bersinglet dan memakai pario.
Warith meluru mendekati Elnara yang
sedang asyik membaca novel inggerisnya. Bukan main santai lagi Elnara gunakan
waktu emas orang lain. Siap goyang kaki dalam air lagi.
Bengkak hati Warith memandangnya.
Nasib baiklah cinta. Kalau tak cinta dah lama Warith selamkan aje kepala Elnara
dalam kolam renang ini.
Mata Warith melilau mencari telefon
bimbit Elnara. Tersenyum sinis Warith saat terpandangkan telefon itu yang
terletak betul-betul di atas paha kanan Elnara.
Warith tanpa segan silu duduk di
sebelah Elnara. Hampir melompat Elnara kerana terkejut dengan kehadiran Warith.
Nasib baik tak tersembam dalam kolam renang ini. Elnara tarik nafas lega. Tapi,
wajah Elnara berubah pucat apabila memandang wajah beku Warith. Tekak Elnara
terasa perit.
‘Aku ada buat salah
ke?’ Elnara garu kepala sendiri.
Belum sempat Elnara berkata apa-apa,
laju sahaja tangan Warith mencapai telefon bimbit Elnara yang berada dalam
genggaman tangan kanan wanita itu. Jemari bersentuhan. Automatik wajah Elnara
berubah pink. Sekali lagi Warith pamer senyuman sinis apabila Elnara menepis
tangan Warith. Yang pasti telefon bmbit Elnara dah bertukar tangan.
Elnara terkedu apabila Warith dengan
sengaja mencampak telefon bimbitnya ke dalam kolam renang. Ternganga Elnara
melihat telefon bimbitnya tenggelam terus di dalam kolam renang.
Azad pula kelu tanpa kata dan kaki
terpasak di lantai marmar private pool ini.
Hah, sudah! Azad menekup mulutnya.
Tak percaya dengan apa yang
dilihat. ‘Perang dunia ketiga mahu
bermula. Ya, Allah. Semoga tidak ada yang hilang nyawa.’ Azad hanya mampu
berdoa di dalam hati.
Bertahun-tahun mengenali Warith, Azad
tahu sangat pasang surut angin Warith. Memang patut kalau semua atlet di KAR
sangat berhati-hati apabila mahu berurusan dengan Warith.
“Cik Elnara. Saya tunggu awak sejak
pagi sampai ke petang di kafe. Macam patung tahu tak? Kalau pakai mekap dah
lama mencair. Ingat senang ke saya nak sabarkan diri tunggu kat situ selama 5
jam. Cik Elnara jangan buat saya macam tak ada perasaan. Boleh tak telefon atau
mesej bagitahu saya yang Cik Elnara tak dapat datang. Setidak-tidaknya whatsapp
saya. Telefon bukan main canggih tapi langsung tak berfungsi.” Luah Warith
dengan suara yang agak nyaring.
Terpinga-pinga Elnara memandang
Warith. Malu ada. Segan ada. Geram ada. Sedih pun ada. ‘Dia
inikan bukan jaguh breaststroke dan backstroke aje tapi jaguh stroke kan orang
juga gamaknya.’ Bebel Elnara dalam
hati.
Kalau nak cakap
depan-depan memang taklah. Menikus. Seandainya mereka berada di kawasan
perumahan pasti satu taman boleh dengar suara Warith yang tak puas hati dengan
Elnara.
Kejap...
Kejap...
Elnara buat
salah apa erk?
Warith merenung
tajam wajah Elnara. Hatinya berasa remuk redam umpama tempayan yang pecah
berkecai disepak oleh orang yang lalu-lalang.
Bertambah sakit
hati Warith apabila Elnara tiba-tiba bangun dan meluru pergi begitu sahaja. Malas nak
layan sebab hati tak keruan dan sebal. Tiba-tiba kena serang tanpa tahu alasan.
Sambil jalan bersahaja tu jenuh juga otak Elnara duk fikir apa kesalahan diri
pada si Warith ini. Gila apa?
Telefon bimbit tu biarlah tenggelam
kat dasar tu. Jadi tak perlu juga Elnara bagi alasan pada Madam Tanusya. Elnara
pun dah bosan apabila atasannya tu selalu minta update situasi. Meroyan sangat
nak interview Hail Isyraf sampai dipaksanya ikut telunjuk Hail Isyraf.
Warith Abrar tarik nafas panjang. ‘Minta
nyawa sungguh. Selamba sahaja Cik Adik Cantik ni angkat kaki. Padahal, dia
belum habis berunding lagi. Tapi berunding ke begitu? Bukan macam gangster ke?
Lantaklah.’
Akaash yang sejak tadi mengekori
Warith dan Azad juga terkedu. Memang tadi Akaash tergerak hati nak follow
Warith. Sejak tahu Warith duk kejar si Elnara tu.
Risau. Mak dan ayah Akaash memang
minta Akaash tengok-tengokkan Elnara. Satu-satunya anak saudara perempuan mak
dan ayah Akaash yang dijaga oleh keluarganya sejak bayi lagi. Akaash dengan
Elnara pun dah macam adik beradik kandung. Memang hilang jiwa kejap bila dapat
tahu Warith cintakan Elnara. Angin tak, ribut pun tak… Tiba-tiba aje laut
bergelora. Jangan nanti hujan rintik-rintik pula. Elnara tu dahlah cengeng.
Azad geleng kepala.
Warith ini nak ajak Elnara menikah
tapi macam ajak pergi perang pula. Nasib kaulah Cik Elnara sebab menjadi pujaan
Warith Abrar. Jangan tak tahu, Warith ini walaupun berkelakuan bengis begitu
tetap hatinya selembut tisu.
Iyer ke, tapi kalau ditilik macam
berhati batu? Kejam pun yea juga.
Azad mengerling pandang ke wajah
Warith yang sudah merah wajahnya dek kerana menahan marah. Seriau pula Azad
melihat wajah Warith itu. Umpama melihat percikan bunga api.
“Akaash, kau bagitahu walid dan umi
kau. Hujung minggu ni rombongan meminang aku akan datang meminang Elnara untuk
dijadikan isteri pada Warith Abrar. Titik. Tak ada koma, tanda seru atau tanda
soal. Aku gerenti mak dan ayah kau tak tolak aku. Tapi kalau Elnara yang menolak…. Nanti aku
humban dia dalam penjara cinta aku sampai mati. Biar hidup dalam mati.” Luah
Warith geram.
Azad jeda.
Akaash dan Azad berpandangan sesama
sendiri. Ini
main-main ke betul-betul ini.
“Tapi Warith, Elnara tu kepala batu. Kau
dengan dia memang dua-dua macam hantu. Memang tak sebulu. Mana tidaknya, kalau
Elnara tu gunung berapi maka kau umpama lahar dan magmanya. Seriau aku nak
masuk campur badai cinta korang berdua ini. Walaupun Elnara tu, sepupu aku. Kau
ingat dia tu lembu? Mudah untuk aku tarik pada pengembala sekejam kau ini?
Nasib kaulah sebab jatuh cinta pada Elnara yang tepu tu. Aku tak nak masuk
campur. Silap haribulan Elnara tu tambat kaki aku, gantung kaki kat atas dan
kepala ke bawah pada pokok mangga depan rumah aku tu. Scary tahu... Dia
tu bukan budak-budak. Dah tua bangka. Tua daripada aku pula tu.” Luah Akaash
bagai hilang jiwa mendengar permintaan gila Warith.
Warith berpaling
merenung tajam ke wajah Akaash.
“Kau tahu scary?
Sekarang aku nak tanya, kau takutkan Elnara tu meletup atau aku yang menggila?
Kau kata aku adalah sahabat dunia akhirat. Tapi minta tolong sikit sudah
berkira. Apa sangatlah yang Elnara tu boleh buat pada lelaki sado macam kau
ini? Kalau tak boleh bagitahu, tak apa. Nanti aku bagitahu walid sendiri.”
Warith tarik muka masam.
Akaash dan Azad
terkedu.
‘Pulak dah. Aku juga
yang salah. Bagitahu walid? Eh, walid tu bapa aku. Bukan bapa dia.
Warith ni biar betul. Apa kata Dato’
Abrar nanti. Adoiii, sakit otak aku
dengan Warith ni. Suka ikut kepala mereng dia.’
Ke kanan salah, ke kiri lagi salah.
Akaash memandang wajah Azad dan Warith resah.
“Tak payah nak buat muka seposen
begitu. Hati aku sedikit pun tak terusik. Hati aku ni masih berapi dengan perangai
kakak sepupu kau. Silap haribulan marahkan Elnara, kau pula yang aku karate
kan.”
Akaash tersenyum kelat.
“Dalam banyak-banyak perempuan kat
dunia ni, kenapa kau boleh terpaut pada Elnara. Pertama kali jumpa dah sangkut.
Aku bukan nak mengata keturunan sendiri. Tapi Elnara tu tak pandai layan
lelaki. Beku. Makan hati kau nanti.” Usik Akaash dengan senyum kambingnya.
Warith tersenyum manis. Mata Warith
berseri-seri menambahkan gusar di hati Akaash dan Azad. Mata tu lain macam.
Nampak gayanya Elnara tak dapat lari. Kena hadap godaan Warith. Cinta apa yang
datang menerjah kotak hati Warith ini, kalau si kekasih hati ibarat musuh di
medan tempur. Asyik berkelahi bila masa cinta mahu bersemi?
“Kau patut berbangga sebab Elnara
menjadi pilihan aku. Tak nak ke bersedara dengan aku. Walid dengan umi kau
mesti hepi punya. Automatik aku jadi menantu dia juga. Lebih kuranglah… Menantu
sedara… Menantu anak saudara…” Warith tersenyum penuh makna.
Azad geleng kepala melihat telatah
mereng Warith. Tak sangka pula Azad dapat tengok sisi Warith yang sebegini.
Selalunya muka tu kelat pahit. Ingatkan tak pandai senyum. Muka garang
mengalahkan singa. Tapi hati bunga-bunga juga.
No comments:
Post a Comment