Wednesday, August 5, 2026

AM I YOUR LOVER?

 


BLURB AM I YOUR LOVER?

AM I YOUR LOVER? Berkisahkan dua jiwa yang terluka. Mencintai tak semestinya memiliki, melainkan jika masa dah tak tertangguh. 

Force Marriage telah memusnahkan kepercayaan Syed Wazir dan dirinya hampir terkorban. Kerana cinta, Haniya merobohkan istana bahagia yang terbina lama. 

Dalam pada itu, Maya Arina tetap menjadi pelindung pada lelaki yang dicintainya. He will break you, but you will love him forever... Itu bisikan cinta dari dasar hati Maya Arina yang rapuh. 

Mungkinkah wujud peluang cinta kedua antara Syed Wazir dan Maya Arina? Sedangkan luka yang ditinggalkan Haniya begitu mematikan jiwa. Kejujuran, keikhlasan dan kasih-sayang... 

Semuanya musnah hanya kerana Syed Wazir adalah lelaki yang salah pada hati Haniya.


Novel ini berkisahkan second chance romance, bittersweet moment, silent love and silent protector.


TEASER 1

Sadisnya, kehidupan Syed Wazir tidak se gah dan stabil seperti Trisarit. Jika, Trisarit begitu berhati-hati dalam memilih staf, rakan kongsi dan pembekalnya…

Syed Wazir pula tiada pilihan dalam memilih teman hidupnya. Pernikahan yang diatur oleh dua keluarga elit bagi memastikan kegemilangan, kestabilan dan warisan dua keluarga berada dalam status quo yang sama.

Namun, apa yang diharapkan tidak berjalan lancar. Bahagia yang dicita, perlahan-lahan membuang rasa dan menggelapkan masa depan Syed Wazir.

Kebenaran yang baru sahaja terdedah ini begitu mematikan akalnya. 

Di atas meja kerja yang besar itu, pelbagai dokumen bertaburan tidak teratur. Bertimbun gambar perkahwinan mereka, gambar-gambar bukti kecurangan, laporan polis yang dicetak kemas, senarai transaksi bank yang penuh dengan nombor-nombor yang pelik dan beberapa helaian bukti lain yang akhirnya menghancurkan seluruh dunia yang dia bina dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan selama ini. Mahligai cinta yang dibina, kecundang juga.

Tangannya menggigil perlahan ketika memegang sekeping gambar… gambar perempuan yang pernah menjadi permaisuri dalam hidupnya.

Haniya. Isteri yang pernah dipeluk dengan penuh cinta, dirawat dengan penuh lembut dan dijaga seperti nyawa sendiri. Perempuan yang dia setuju untuk menemani sisa hidupnya.

Perempuan yang keluarganya percaya sepenuhnya tanpa ragu sedikit pun sebagai menantu. Perempuan yang dianggap ayah dan ibunya sebagai anak sendiri.

Dan perempuan yang sama… merancang kematiannya dengan teliti. 

Seolah-olah Haniya sedang merancang percutian bulan madu mereka dulu.


TEASER 2

“Aku tak pernah paksa kau stay,” suara Syed Wazir mula meninggi, penuh dengan kecewa yang mendalam dan luka yang baru sahaja terbuka luas. 

“Kalau kau cintakan lelaki lain… kau boleh cakap. Aku takkan halang. Aku boleh lepaskan kau dengan cara baik.” Sambung Syed Wazir lagi.

Nafasnya tersekat di kerongkong dan menyukarkan percakapannya. Air mata mula bergenang di tubir mata tanpa izin.

Dan itu lebih memalukan bagi seorang lelaki yang selalu dianggap tegas, kuat dan tidak mudah goyah oleh perasaan.

“Aku belum dayus nak simpan perempuan yang curang,” suara Syed Wazir semakin serak dek kerana menahan getaran yang kuat. 

Tangannya mengetuk permukaan meja kayu itu dengan kuat. 

Dum! Bunyi itu nyaring, namun sakit di tangannya langsung tak terasa dibandingkan dengan apa yang sedang menghancurkan jiwanya.

Walaupun, Haniya bukan pilihan Syed Wazir. 

Namun, setelah lafaz akad Syed Wazir cuba sedaya-upaya untuk belajar mencintai dan membahagiakan Haniya. 

Tidak pernah Syed Wazir mengabaikan Haniya. Bila hari bergant dan waktu berputar…

Sudah pasti rasa cinta mula subur dalam hati lelakinya sebagai seorang suami. 

Cinta mula memenuhi ruang hati Syed Wazir hingga Syed Wazir lupa menjaga dirinya sendiri, lupa memeriksa kebenaran dan lupa bahawa cinta tanpa batas boleh menjadi senjata yang paling tajam untuk melukakan hatinya.

Dan sekarang cinta itu sedang membunuh dirinya perlahan-lahan. Setiap detik terasa seperti duri yang menusuk ke jantung.

Syed Wazir memandang semula satu per satu dokumen di depan mata. Pembayaran kepada bengkel yang jauh dari rumah… yang tidak pernah dia kunjungi.

Rancangan sabotaj yang ditulis dengan tangan yang dia kenal pasti itu adalah milik Haniya.

Rekod panggilan telefon misteri yang berulang kali dibuat ke nombor yang tidak dikenalinya.

Dan laporan teknikal polis yang menyatakan kerosakan brek keretanya bukan berlaku secara semula jadi. Tetapi sengaja dilonggarkan supaya gagal berfungsi ketika dia sedang memandu laju di jalan raya.

Semua bukti yang ada tertuju pada satu nama. Haniya. Isterinya sendiri yang mahu dia mati.


TEASER 3

Suara lembut perempuan itu berbisik ‘I love you, Wazir’ di hadapan semua tetamu yang datang meraikan hari bahagia mereka. Pelukan hangat, setiap kali Syed Wazir pulang dari kerja… walaupun lewat malam tetap hangat dan membahagiakan. Kata-kata semangat Haniya yang selalu diucapkan bila dia menghadapi masalah dalam perniagaan. Semua itu terasa terlalu jijik sekarang. 

Palsu. Semuanya lakonan yang sempurna. Seluruh perkahwinan mereka selama lima tahun itu cuma penipuan yang tersusun rapi. Di mana Syed Wazir berlakon sebagai suami yang bahagia dan Haniya berlakon sebagai isteri yang setia.

“Aku ni siapa sebenarnya pada kau? Suami? Atau sekadar batu loncatan untuk kau dapatkan apa yang kau nak?” 

Matanya jatuh pada sekeping gambar di sudut meja… Gambar Haniya bersama lelaki lain yang berpakaian mewah. Mereka ketawa bebas, berpelukan rapat dan kelihatan sangat bahagia. Sedangkan waktu gambar itu diambil, Syed Wazir sedang sibuk bertemu pelabur di luar negara. Bekerja keras siang dan malam untuk membina hidup yang selesa dan mewah buat isterinya.

Bodoh. Dia terlalu bodoh sampai tak perasan tanda-tanda yang jelas di depan mata.

“Aku ingat aku suami yang gagal. Aku ingat sebab aku terlalu sibuk bekerja. Sebab aku kurang masa untuk temankan kau… Sampai kau rasa sunyi. Aku selalu rasa bersalah. Aku belikan hadiah mahal, luangkan masa yang ada, buat apa saja yang kau minta. Rupa-rupanya… aku cuma kahwin dengan perempuan yang tak pernah cintakan aku dari awal lagi.” Kata Syed Wazir dengan nada mendatar dan sebal.

Air mata pertama akhirnya jatuh perlahan menuruni pipi yang tegas itu. 

Namun, cukup untuk mematahkan seluruh ego dan kebanggaan seorang lelaki. 

Syed Wazir cepat-cepat menyapu wajahnya dengan kasar menggunakan belakang tangan.

Marah dengan dirinya sendiri kerana masih menangis untuk perempuan yang tidak berhati perut itu. Kenapa hatinya masih sakit sedangkan semua bukti sudah jelas terpampang di depan mata?

Haniya tidak pernah mencintainya. Tidak pernah sekalipun. Kalau pun cintakan lelaki lain, kenapa perlu sampai ke tahap merancang pembunuhan? Kenapa perlu menghancurkan dirinya sampai begini sekali?


TEASER 4
Maya Arina menyiasat sendiri kecurangan Haniya kerana risaukan Syed Wazir. Sememangnya, hubungan rahsia antara Haniya dan lelaki bernama Radzi tu dah lama dia musykilkan tapi tak sangka pula hingga serius begini. 

Maya Arina terkedu di balik pintu bilik pejabat Haniya. Apatah lagi melihat Radzi memeluk isteri kesayangan Syed Wazir tu dengan riak wajah sebegitu. Meremang seluruh tubuh Maya Arina.

Tambah terkejut apabila Maya Arina terasa nafas keras seseorang sedang menghembus kasar ke belakang lehernya. Maya Arina berpaling. Terbuntang matanya apabila melihat wajah penuh emosi milik Syed Wazir. 

Dalam masa yang sama, abangnya Arif Mikael juga berada di sebelah Syed Wazir.
Pantas tangan Arif Mikael mencapai lengan Maya Arina.

“Along buat apa kat sini?”soal Maya Arina cuak.

“Soalan bodoh apa kau buat ini? Aku yang patut tanya kau… Kau buat apa kat sini? Sejak bila tukar kerjaya jadi mata-mata pula? Dah tak sayang nyawa ke?” Soal Arif Mikael dengan nada bengang dan geram.

Namun, pertelingkahan mereka terganggu apabila Syed Wazir sudah meredah masuk ke dalam pejabat Haniya.

Bergegas Arif mengikut langkah Syed Wazir.

Maya Arina juga turut melangkah masuk dan tiba-tiba, tubuh Maya Arina ditolak kasar oleh Haniya.

“Kau perangkap aku, kan?” Soal Haniya garang.

Terkejut Maya Arina dibuatnya.

Syed Wazir hanya memandang Haniya dan Maya Arina dengan pandangan kosong. 

Arif Mikael sudah mula naik berang. Isteri bos tak isteri bos... Ini dah melampau! Apahal adiknya pula yang kena? Sendiri buat maksiat. Dah kantoi nak tuding jari kat orang pula.

Haniya meluru memeluk lengan Syed Wazir, “Sayang… Setiausaha you ini dah melampau tau. Dia memang cemburukan I sampai sanggup buat macam ini.”

“Dia buat apa Haniya?”soal Syed Wazir dengan suara mendatar.

“Dia suruh Radzi datang sini dan goda I?” Balas Haniya.

Bulat mata Maya Arina mendengar pengakuan gila si Haniya ni. Huh, Maya Arina dah semakin hilang sabar ini.

“Hah, gila apa! Kau yang curang nak salahkan adik aku pula?” Bentak Arif Mikael.

Berkerut dahi Haniya memandang Maya Arina dan Arif Mikael silih berganti.

“Korang berdua ini, memang bijak kan. Kau memang sengaja guna adik kau untuk jatuhkan aku dan perangkap suami aku. Dasar tak kenang budi. Dah makan gaji tapi cuba pula nak gapai takhta tertinggi.” Tengking Haniya sambil menolak tubuh Maya Arina sekali lagi.

Namun kali ini, tangan sasa Syed Wazir sudah mencapai pinggang ramping Maya Arina.



 



Saturday, July 25, 2026

CIK TOURIST DAN ENCIK PILOT

 


CIK TOURIST DAN ENCIK PILOT

SINOPSIS

Melarikan diri sehari sebelum majlis pernikahan bukanlah keputusan yang mudah. Namun bagi Qairina Amlan, berkahwin dengan sepupu sendiri yang sudah berjanji mahu memadukannya demi harta pusaka keluarga adalah mimpi ngeri yang tidak sanggup dia hadap.

Takdir menemukan Qairina dengan Kapten Areeq Marteen, seorang juruterbang yang sentiasa muncul setiap kali dia memerlukan pertolongan. Bermula dengan insiden bagasi yang tertukar di Indonesia, kemudian bertemu semula di Korea, Singapura dan Sabah, hubungan mereka semakin rapat tanpa disedari.

Namun kebahagiaan itu tidak datang tanpa dugaan. Dato' Areez Marteen, abang kembar Kapten Areeq yang tegas dan sukar mempercayai orang, mula mengesyaki identiti Qairina. Apabila kad kahwin Qairina ditemui, rahsia pelariannya akhirnya terbongkar dan cinta mereka hampir musnah.

Mampukah Qairina mempertahankan hak untuk memilih pasangan hidupnya sendiri? Dan sanggupkah Kapten Areeq memperjuangkan wanita yang dicintai walaupun seluruh keluarga Qairina menentang?

Di sebalik kisah cinta yang manis, terselit kisah kekeluargaan, pengorbanan, kepercayaan dan takdir yang akhirnya menemukan dua hati pada waktu yang paling tepat.

 

TEASER 1

Dato’ Areez Marteen merenung ke wajah Kapten Areeq Marteen. Dia masih tersenyum. Masih tenang. Menyirap pula Areez melihatnya.

“Jangan sebab perempuan, kau jadi bodoh pula...” Luah Dato’  Areez geram. 

Suara garau itu memecahkan kesunyian ruang rehat khas kru penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Kapten Areeq Marteen yang sedang memegang cawan kopi yang masih panas hanya mengangkat wajah. 

Senyuman nipis masih terukir di bibirnya seolah-olah kata-kata sinis itu langsung tidak menyentuh hati.

Masalahnya sekarang ini, aku tak buat apa-apa. Aku baru observe. Dia yang heartbroken. Aku pula yang kena. Ni mesti nak marah diri sendiri tak boleh. Aku juga yang kena… Bisik Kapteen Areeq dalam hati. 

 

TEASER 2

Sejak tunang abang kembarnya itu curang dan menipu… Dato’ Areez Marteen jadi begitu. Trauma. Sampai hati pun berubah jadi beku. Mulut dia pun memang tak boleh nak cover, cakap main lepas sahaja. Tapi, kalau dia diam lagi bahaya. Umi dan Walid pun susah hati… 

Di hadapan Kapten Areeq, berdiri seorang lelaki yang wajahnya hampir seratus peratus sama dengannya. Dah nama pun kembar… 

Tapi pemikiran, tingkah, pertuturan dan riak wajah tak sama. Macam langit dengan bumi. 

Jika Areeq terkenal sebagai lelaki kacak dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir. Areez pula terkenal dengan wajah beku yang menggerunkan. Kacak pun tak guna kalau muka bengis begitu. Dah macam singa nak terkam mangsa. Lainlah Areeq… Kacak dan sweet. Ngeh. Ngeh. Ngeh. Dah kentut bau sendiri ler! 

Kalau Areeq, ibarat mentari pagi yang menenangkan, Areez pula umpama ribut petir yang membuat orang lain berasa gerun.

 

Dato' Areez Marteen merupakan abang kembar kepada Kapten Areeq Marteen yang lahir hanya lima minit lebih awal. 

Khayalan Kapten Areeq terganggu. 

“Ingat jangan jadi bodoh sebab perempuan… “ Pesan Dato’ Areez sekali lagi. 

“Kau ni… Asyik ulang ayat yang sama.” Kapten Areeq ketawa kecil. 

Bulat mata Dato’ Areez mendengar tawa kecil Kapten Areeq. 

“Aku ulang sebab kau tak faham.” Balas Dato’ Areez pula dengan wajah yang masih tiada senyuman. 

“Aku faham.” Jawab Kapten Areeq. 

“Kalau faham, kau takkan senyum-senyum siput…” Tempelak Dato’ Areez tak puas hati. 

Kapten Areeq menggeleng perlahan, “Kau fikir aku dah jatuh cinta?”

“Belum.” Luah Dato’ Areez tanpa riak. 

Kapten Areeq ketawa lagi, “Kalau dah belum, yang kau risau ni… Kenapa?”

“Jangan main-main dengan aku. Muka kau tu nampak sangat tertarik dengan perempuan tu… ” Kata Dato’ Areez dengan nada geram. 

Seketika suasana menjadi sunyi. Kapten Areeq meletakkan cawan kopinya di atas meja sebelum bersandar.

“Aku cuma tolong orang.” Kata Kapten Areeq dengan nada tenang. 

“Ramai orang kau tolong. Kenapa yang seorang ni lain macam?” Soal Dato’ Areez pula. 

Wajah Kapten Areeq sudah memerah. Kalau dengan kembarnya ini, susah nak menipu. 

“Tak ada apa-apa ler…” Balas Kapten Areeq cuba berdalih. 

“Kalau tak ada apa-apa, kenapa kau sanggup tunggu dua belas jam semata-mata nak hantar bagasi dia?”

Soalan itu membuatkan Areeq terdiam.

Memang benar.

Seumur hidup menjadi juruterbang, dia tidak pernah melakukan perkara sebegitu.

Bagasi yang tertukar biasanya diserahkan sahaja kepada pihak pengendalian bagasi.

Tetapi kali ini…

Entah mengapa dia sendiri yang menawarkan diri untuk memastikan beg wanita itu sampai ke tangan pemiliknya.

Aneh. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Yang pasti, Kapten Areeq Marteen mahu menemui Qairina lagi. Lagi dan lagi… Kapten Areeq simpan senyum. Bimbang Dato’ Areez membebel lagi. Makin tua, makin kuat pula abang kembarnya tu membebel. Mengalahkan Umi… 

 

TEASER 3

Dato’ Areez tu dah macam polis pencen. Masih lagi dia nak berdalih. Berdalih selagi boleh Areeq. Hehehe...

Kapten Areeq menarik nafas perlahan, “Dia berada di negara orang seorang diri.”

“Jadi?” Soal Dato’ Areez laju. 

Fuh. Bukan main laju dia menjawab. Muka pun tak boleh blah. Seriau pula Kapten Areeq. 

“Bagasi tu penting.” Kata Kapten Areeq sambil tersenyum kambing. 

Tahu. Alasan tu tak kukuh. 

“Ada staf lapangan terbang.” Balas Dato’ Areez. 

“Aku tahu.” Balas Kapten Areeq pula. 

Hilang idea nak bagi alasan apa. Sebab diri sendiri pun tak pasti, kenapa dirinya jadi begitu. Mungkin dia tertarik. Mungkin juga dia dah jatuh cinta pada pandangan yang pertama. 

“Jadi?” Soal Dato?’ Areez sambil merenung dalam ke wajah Kapten Areeq. 

Kapten Areeq mengangkat bahu, “Aku cuma rasa... aku patut bantu.”

 

TEASER 4

 

Dato' Areez menghela nafas panjang. Itulah masalah adik kembarnya.

Terlalu baik.

Terlalu mudah percaya.

Terlalu lembut hati.

Sejak kecil pun dia memang begitu. Kalau nampak anak kucing cedera, Areeq akan bawa balik. Kalau nampak orang tua sedang mengangkat barang, Areeq orang pertama yang akan menghulurkan tangan untuk membantu. Kalau nampak orang menangis, dia pula yang terlebih dahulu menawarkan bahu. 

Tapi… Kapten Areeq ini lebih cepat hilang sabar kalua jumpa manusia taka da otak. Teringat pula kes Falah kena tumbuk dengan si Areeq ini.

Tapi… Dato’ Areez tak mahu adik kembarnya ini berlembut dengan Perempuan.

Kerana dunia ini, kekurangan Perempuan yang baik… Kekurangan manusia yang baik…

Dunia ini juga… tidak dipenuhi manusia yang ikhlas. Kerana ada antara manusia yang suka mengambil kesempatan. Mendaki ke puncak melaui jalan pintas. Asalkan mereka capai apa yang mereka mahu. Mereka abaikan nasib orang lain. 

“Nama dia siapa?” Soal Dato’ Areez. 

“Qairina Kuhairy.” Balas Kapten Areeq. 

“Sedap nama.” Puji Dato’ Areez ikhlas. 

Kapten Areeq tersenyum. 

“Cantik orangnya?” Soal Dato’ Areez. 

“Kira okeylah.” Balas Kapten Areeq malu-malu. 

Haish. Menyampah pula Dato’ Areez tengok. Kalau Umi pula yang tengok, mesti terus buat kenduri doa selamat. Tu petanda ada bau-bau menantu. 

“Okeylah?” Soal Dato’ Areez sekali lagi. 

Areeq tergelak, “Kau ni macam wartawan pula.”

 

“Aku serius.” Balas Dato’ Areez. 

“Cantik.” Jawab Kapten Areeq akhirnya. 

“Nah... keluar juga jawapan sebenar.” Dato’ Areez senyum sinis. 

Kapten Areeq menggeleng sambil ketawa, “Kau ni memang suka mengusik.”

“Aku tak mengusik. Aku nak buat report bertulis pada Umi… Dan jangan lupa bagi semua maklumat yang kau tahu tentang dia… Orang aku akan siasat. Aku nak pastikan, dia clean. Aku tak mahu kau jatuh cinta pada perempuan yang salah.” Kata Dato' Areez tegas. 

Renungan Dato’ Areez tajam.

Kapten Areeq telan liur sendiri. 

Dalam masa yang sama, Dato’ Areez sambung ayat, “Dengar sini baik-baik. Aku tak tipu bila aku kata aku pernah nampak muka dia. Cuma aku tak sure… Dia anak siapa? Yang pasti, aku ada rasa ragu dengan identiti dia. Jangan bagi hati dulu Areeq, sebelum aku cari tahu. Aku tak nak kau rasa apa yang aku dah rasa.”

Hah, sudah! Kapten Areeq tersenyum kelat. Dah tak guna dah, bagi nasihat begitu kot… Huhuhu, Kapten Areeq rasa macam… Macam hati rasa dag dig dug… Cintakah? Kapten Areeq diam sahaja. Tak gila lagi nak bagitahu si Areez ni… 

 

Areeq terus diam.

 

 


KISAH YANG DITAKDIRKAN

 

BLURB
Dato’ Areez Marteen, seorang jutawan dingin, mudah marah, dan pernah hancur kerana dikhianati tunangnya sendiri.
Sehingga dia bertemu Haura. Sekali pandang, hati terus terpaut. Dia ikat Haura sebagai isteri… bukan untuk main-main, tapi untuk miliki sepenuhnya.

Haura setuju, bukan sebab harta, tapi untuk lari dari keluarga toksik yang terlalu posesif. Benarkah? 
Tapi hidup sebagai isteri jutawan tak semudah cerita dongeng. Tekanan mula mengganggu fikirannya. Dan yang paling memalukan, mereka ditangkap khalwat… sedangkan mereka suami isteri sah!
Rahsia terbongkar. Keluarga terkejut. Wujudkah restu untuk mereka berdua? 

Adakah takdir ini akan membawa kebahagiaan, atau sekadar ujian yang terlalu berat? 


TEASER 1
Menara pencakar langit milik Kumpulan Marteen tersergam gah di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Di ruang pejabat yang luas yang terletak di tingkat paling atas, kelihatan satu cahaya samar dari lampu meja… Masih menyala. 
Seorang lelaki duduk bersandar sambil mata memandang terus ke arah langit malam dari balik tingkap kaca lutsinar. 
Bulan bintang yang kelihatan indah dan terang, tidak mampu memberi sinar pada hatinya yang gelap. Beku. 
Dia adalah Dato’ Areez Marteen.
Pada usia yang baru mencecah tiga puluh dua tahun, namanya sudah terukir sebagai salah seorang usahawan paling berjaya dan berpengaruh di rantau ini. Kekayaannya dikira dalam angka berjuta, malah melebihi nilai juta. 
Namun…
Di sebalik pakaian mewah yang kemas, jam tangan berharga dan pangkat yang dihormati. Tersembunyi satu hati yang tertutup rapat, seolah-olah dikunci dan dikuburkan di tempat yang paling dalam.
Malam itu, dia tidak sibuk menyemak laporan kewangan mahupun merangka strategi perniagaan baharu. Matanya hanya terpaku pada sehelai kertas yang terletak di atas meja, bersama dengan sekotak cincin berlian yang dulunya melambangkan janji kasih seumur hidup. 
Ingatannya melayang kembali ke masa lalu, kira-kira lima tahun yang lalu.
Dahulu, Dato’ Areez Marteen pernah percaya bahawa dia telah menemui seseorang yang boleh melengkapkan hidupnya. Seorang wanita yang lembut tutur kata, sentiasa senyum dan nampak begitu ikhlas setiap kali memandang wajahnya. Dan kerana pesona itu juga, dia terpukau dan mempertaruhkan cinta. Pertunangan diikat. 
Tapi ternyata, cintanya tersalah mendarat pada hati yang sesat.
Dato’ Areez Marteen tidak pernah berkira soal harta atau kedudukan. Walaupun, Qadeeja gadis yatim piatu dan sederhana. Dia tetap menjadi pilihan Dato’ Areez Marteen. 
Untuk Qadeeja… Dato’ Areez Marteen membuka pintu hatinya seluas-luasnya. Memberikan kepercayaan yang tidak terhingga dan merancang masa depan yang indah bersama wanita itu.
Sadisnya, semua impian itu hancur berkecai dalam sekelip mata.
Kejujuran dan kesetiaan yang dia sangka wujud itu hanyalah lakonan yang sangat sempurna. 
Wanita yang dia ingin jadikan isteri itu sebenarnya sudah mempunyai pasangan yang sah. Paling menyakitkan apabila, suami wanita itu merupakan orang kepercayaan Dato’ Areez sendiri. Memang kecewa sangat apabila dikhianati sebegitu rupa. 

Di sisi Areez, Qadeeja terus berpura-pura menjadi kekasih setia yang nampak bahagia menanti hari perkahwinan. Namun, dia juga isteri rahsia pada Falah. 
Setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Akhirnya, Qadeeja kantoi apabila sijil nikahnya tersebar di media sosial. 
Berita itu tersebar seperti api yang menjalar di musim kemarau. 
Dunia elit Dato’ Areez dan masyarakat mula bergosip. Ada yang berasa kasihan, ada yang menjadikan ia bahan jenaka dan tidak kurang juga yang memandang Dato’ Areez dengan pandangan sinis. Seolah-olah, dia adalah seorang lelaki yang mudah ditipu. Bodoh.
Namun, Dato’ Areez tidak membenarkan perasaan marah meluap-luap sehingga hilang pertimbangan. Sebaliknya, dia berubah menjadi lebih tenang tetapi ketenangan itu adalah tanda bahawa hatinya telah mati terhadap perasaan percaya.
Dia tidak membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja. Melalui peguamnya, dia memfailkan tuntutan mahkamah bukan untuk membalas dendam secara kasar, tetapi untuk menuntut ganti rugi atas kerosakan nama baik dan emosi yang dialaminya. Saman malu atas penipuan status. 
Proses perbicaraan berjalan lancar dan keputusan muktamad berpihak kepadanya. Mahkamah memerintahkan bekas tunangnya itu membayar sejumlah wang yang cukup besar sebagai pampasan. Apabila wang itu akhirnya masuk ke dalam akaunnya, Dato’ Areez hanya memandang angka itu dengan pandangan kosong. Wang itu tidak dapat memulihkan luka di hatinya, tidak dapat memadamkan rasa dikhianati dan tidak dapat mengembalikan kepercayaan yang sudah hilang. 

TEASER 2
Sampai sekarang masih berjalan ansuran saman tersebut daripada pihak Qadeeja dan Falah. 
“Aku saman memang sebab aku nak kau susah.” Kata Dato’ Areez tenang. 
Sejak hari itu, Dato’ Areez Marteen menjadi lelaki yang berbeza. Sifatnya yang dulunya sekadar pendiam kini bertukar menjadi dingin dan tidak mempedulikan orang sekeliling. 
Baginya, cinta hanyalah satu bentuk kelemahan. 
Bagi Dato’ Areez, setiap perempuan yang mendekatinya pasti mempunyai kepentingan tersendiri. 
Sama ada mengejar harta, pangkat atau nama. Justeru, dia membina tembok yang tinggi dan kukuh… Berjanji dalam hati bahawa tidak akan ada sesiapa pun yang berpeluang melukakan hatinya lagi, buat kali kedua.
Hari demi hari berlalu dan hidupnya kembali teratur mengikut jadual yang ketat. Kerja menjadi pelariannya dan kesibukan menjadi penenang kepada luka yang belum sembuh sepenuhnya. 
Bagi orang luar, dia adalah lelaki yang sempurna, kaya dan berkuasa. Malahan, tiada apa yang kurang. Namun, hanya dia sendiri yang tahu betapa sunyinya hidup. Mungkin… Tidak akan pernah ada cinta untuk aku. Bisik Dato’Areez Marteen perlahan pada diri sendiri. Semua yang datang hanya gilakan harta dan statusnya. 
Dia memandang bayangannya di tingkap kaca. Kelihatan seorang lelaki yang kelihatan kuat, tetapi sebenarnya sangat takut untuk jatuh cinta lagi.
Tiada lagi ruang untuk pengkhianatan. Tiada lagi ruang untuk rasa percaya. Biarlah hati ini kekal begini. Lebih baik dingin dan sunyi, daripada membuka ruang dan kemudian dilukai sekali lagi. Bisiknya perlahan dan suaranya hanya bergema di dalam ruang sunyi ini. 
Walaupun, Dato’ Areez telah memutuskan untuk menutup pintu hati untuk selamanya. Namun, takdir datang tanpa disangka. 
Tidak lama lagi, takdir akan membawanya bertemu dengan seseorang yang datang bukan dengan niat untuk mengambil kesempatan. Tetapi hanya membawa kesederhanaan dan kebahagiaan… 
Seseorang yang tanpa disedari, akan mula meresap masuk ke dalam celah-celah tembok yang dibina dan secara perlahan-lahan mengubah segala keyakinan yang sudah dipegang teguh selama ini.
Dan pada ketika itu, dia belum tahu bahawa pertemuan itu bukan sekadar kebetulan. Ia adalah permulaan kepada satu kisah baharu yang akan menguji semula apa itu cinta, kesetiaan dan sama ada hati yang sudah membeku itu masih mampu berdenyut sekali lagi. Kerana gadisnya kini berbeza… Haura Irani. 


TEASER 3
Hari ini merupakan hari pengumuman keputusan STPM. Haura sendirian datang ke sekolah. Tidak ditemani Mama atau Pak Ngah. Haura, okey. Sebagai anak angkat dalam keluarga Hajah Amna… Haura tidak meminta sesuatu yang melebih-lebih. Kasih sayang yang selama ini mereka pamerkan pun sudah cukup banyak.
Lagipun, Mama dan Pak Ngah… Masing-masing sibuk dengan tanggungjawab yang lebih penting.
Haura duduk diam di kerusi sambil cuba bertenang. Berdebar-debar sungguh Haura. Tapi bukan Haura seorang sahaja yang berperasaan sebegini. Boleh dikatakan kesemua yang mengambil STPM ini… berdebar. Malahan, pihak sekolah termasuk guru-guru dan Pengetua juga turut berdebar. 
Normal.
Pengisian pihak sekolah pada hari pengumuman ini agak padat dengan pelbagai taklimat. Selain itu, ada banyak booth-booth promosi daripada pelbagai ipt yang menawarkan pelbagai program. 
Teruja Haura melihat flyers dan brochures mereka. Tak sabarnya nak masuk universiti. 
Suara rakan-rakan bergema di pekarangan sekolah sebaik sahaja keputusan STPM diumumkan. 
Haura juga ada menggunakan aplikasi dalam talian untuk mengetahui keputusan STPMnya. Masa menunjukkan pukul 10 pagi dan tibalah masanya… Berpeluh dahi dan ketiak.
Berdebar-debar Haura mahu melihat skrin telefon bimbitnya.
“Haura! Kau dapat berapa pointer?” Soal Atifa. 
Haura memandang skrin telefon bimbit di tangannya berkali-kali. Tangannya menggigil. Air mata Haura, akhirnya gugur juga.
“Alhamdulillah…” Luah Haura Irani dengan nada syukur dan lega.
Haura menekup mulut. Dadanya berombak menahan sebak. Keputusan yang diimpikannya selama ini benar-benar menjadi kenyataan.
Keputusan cemerlang. Sangat cemerlang.
“Haura!” jerit sahabatnya, Syifa.
Atifa dan Syifa terus memeluknya selepas sama-sama melihat ke skrin telefon bimbit Haura.
“Aku tahu kau boleh! Aku tahu!” Luah Atifa girang.
Haura tersenyum sambil mengesat air mata.
“Lepas ni kau mesti dapat sambung ke IPT terbaik dengan biasiswa…” Kata Atifa lagi.

Syifa mengangguk laju.

“Itulah impian aku.” Luah Haura pula.
Haura ketawa kecil. Dalam fikirannya mula melakar pelbagai impian.
Universiti. Ijazah Sarjana Muda. Kehidupan kampus.
Haura tak mengimpikan universiti swasta kerana Haura tak mahu menyusahkan Mama atau Pak Ngah. Haura hanya berdoa agar nanti dirinya mendapat tempat di universiti awam. 
Dia mahu menjadi orang berjaya.
Dia mahu mengubah hidup.
Dia mahu membalas jasa Mama dan Pak Ngah yang telah membesarkannya sejak berusia lima tahun. Walaupun bukan darah daging sendiri, wanita itu sanggup menjaganya selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan.
Selama tujuh belas tahun… Wanita itu menjadi satu-satunya insan yang dipanggil mama. Walaupun, hanya sekadar Mama angkat tetap juga Engku Amna memberi impak dalam kehidupan Haura Irani. 
“Mama kau mesti bangga…” Kata Atifa dengan senyuman.
Syifa turut mengangguk tanda mengiyakan ayat tersebut.
Haura juga mengangguk perlahan, “Harapnya begitulah…”
Jauh di sudut hati, Haura memang benar-benar berharap agar hari ini menjadi hari paling menggembirakan dalam hidup mereka.
Mama pasti tersenyum. Mama pasti bangga. Mama pasti mengizinkannya menyambung pelajaran.
Dengan hati yang berbunga-bunga, Haura memandu cermat. Kereta yang dipandu oleh Haura ini merupakan hadiah daripada Pak Ngah Badri. Sempena meraikan kejayaan Haura kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Hmm, kali ini agaknya apa pula hadiah Pak Ngah? Kembang berbunga hati Haura.
Sepanjang perjalanan, dia tidak berhenti tersenyum.


TEASER 4
Slip keputusan itu dipandang berkali-kali. Jarinya mengusap perlahan setiap aksara dan angka yang tercetak. Ini untuk ibu juga… Bisik Haura perlahan kepada arwah ibu kandungnya. Haura tak ingat bagaimana wajah ibunya tapi dengan gambar yang Mama bagi… Haura dapat mengenal susuk wajah ibu kandungnya. Ibu kandungnya Warda merupakan sahabat baik Mama atau lebih dikenali dengan gelaran Engku Amna.
Rindu. Rindu sangat pada arwah ibu dan ayah kandungnya. Teringin sangat nak bertemu. Tapi sudah suratan… Kedua-dua ibu dan ayahnya meninggal dunia di saat Haura masih kecil.
Jika arwah masih ada, pasti mereka akan tersenyum bangga. 
Kereta yang dipandu oleh Haura memasuki pekarangan rumah Engku Amna. Tersergam indah. Banglo mewah yang sederhana besar. Berkali-kali Haura bersyukur kerana dijadikan anak angkat di rumah ini. Jika tidak, pasti tempat Haura tercampak ke Rumah Anak Yatim. Melalui Mama, Haura dapat tahu yang arwah ibu dan ayahnya juga merupakan anak yatim piatu dan membesar di Rumah Anak Yatim.
Haura keluar dari kereta sambil memeluk fail biru yang menyimpan keputusan STPMnya.
Langkahnya pantas. Haura sudah membayangkan perbualan dengan mama.
Suara mama kedengaran lantang dari dapur.
Haura melangkah masuk ke ruangan dapur.
“Mama…” Panggil Haura lembut dengan senyuman manis.
Wanita berusia lima puluh lima tahun itu sedang memegang secawan kopi panas dengan wajah masam.
Engku Amna langsung tidak memandangnya. Hati haura sedikit terguris.
Haura tetap tersenyum lebar, “Mama tengok ni.”
Haura menghulurkan slip keputusan, “Mama… Haura dapat keputusan terbaik.”
Wanita itu menyambutnya tanpa banyak reaksi.
Sekali pandang. Dua kali pandang. Kemudian diletakkan begitu sahaja di atas meja.
“Hmm.” Luah Engku Amna.
Hanya itu. Senyuman Haura perlahan-lahan pudar.
“Baguslah.” Sambung Engku Amna lagi.
Nada itu terlalu dingin. Tiada ucapan tahniah. Tiada pelukan. Tiada senyuman.
Haura cuba memujuk hati. Mungkin Mama penat. Tapi pelik… Sebab Mama jarang begini dengan Haura. Selalunya Mama seorang yang penyayang. Malahan, Haura juga pelik kerana hari ini Mama tak mahu menemani Haura ke sekolah. Pak Ngah juga. Sejak kebelakangan ini seolah-olah mencipta jarak dengan Haura.

“Mama…” Panggil Haura lembut.
“Apa lagi?” Soal Hajah Amna senada.
“Haura nak minta izin…” Kata Haura berhati-hati.
Engku Amna akhirnya memandang tepat ke wajah Haura.
“Izin apa?” Soal Engku Amna.
“Haura nak sambung belajar…” Kata Haura penuh pengharapan.
Belum sempat dia menghabiskan ayat...
“Mama tak izinkan…” Kata Engku Amna dan jeda.
Haura terkedu, “Ma… Mama…”
“Tak payah sambung belajar. Mama dah buat keputusan…” Engku Amna jeda lagi.
“Tapi mama…” Haura sendiri sedikit terkejut mendengar kata-kata Mama.
Dunia Haura terasa berhenti berputar, “Mama... kenapa?”
Wanita itu meletakkan cawan kopinya ke atas meja.
“Hujung bulan ni Haura nikah.” Kata Engku Amna tegas.
Haura membulatkan mata, “Ni... nikah?”
“Ya.” Jawab Engku Amna ringkas.
“Dengan siapa?” Soal Haura cuba memberanikan diri untuk bertanya.
Takkan nak diam. Ini hal paling besar dalam kehidupannya.
“Pak Ngah.” Jawab Engku Amna.
Fail di tangan Haura terlepas lalu jatuh ke lantai, “Pa... Pak Ngah?”
“Ya.” Jawab Engku Amna lagi.
Haura terkejut. Terdiam beberapa saat. Cuba berfikir dengan waras. Namun, air mata Haura terus mengalir. Logik apakah ini? Gurauan? Mimpi? 
“Mama… mama bergurau kan?” Soal Haura lagi.
“Aku tak ada masa nak bergurau.” Kata Engku Amna dengan wajah ketat dan tegang.
“Tapi... Pak Ngah tu...” Haura jeda pula.
“Kenapa dengan dia?” Soal Engku Amna sambil merenung tajam ke wajah Haura.
“Dia... dia jauh lebih tua daripada Haura…” Kata Haura perlahan.
“Jadi?” Soal Engku Amna sepatah.
“Dia, adik aku. Dia lelaki baik. Dia mampu jaga kau...” Luah Engku Amna lagi.

“Tapi mama…” Haura cuba membantah dan mencipta alasan.
Tapi otak Haura rasa tepu. Haura menggeleng berkali-kali.
“Tak... tak... Haura tak boleh…” Kata Haura lagi.
Mana mungkin Haura bersetuju. Selama ini, Haura hanya menganggap Pak Ngah sebagai bapa saudaranya. Walaupun, hanya bapa saudara angkat kerana Pak Ngah Badri tu adik kandung Mama… Tapi Pak Ngah tetap susuk lelaki yang Haura hormat dan menganggapnya sebagai lelaki yang tak patut Haura nikahi.
“Haura nak sambung belajar.” Kata Haura lagi.
“Boleh sambung belajar jika Engku Badri izinkan. Yang pastu, jadi isteri Engku Badri dahulu… Hal yang lain, bincang kemudian...” Sambung Engku Amna lagi.
Haura mengeluh, “Mama… Itu Pak Ngah. Haura dah anggap macam Pak Ngah kandung Haura sendiri. Sekarang ini, Haura nak sambung belajar. Bukan nak kahwin…”
Engku Amna menoleh ke arah Haura, “Mama kata tak perlu!”
Suara wanita itu meninggi.
Haura sudah menangis tersedu-sedu.
“Mama... tolonglah…” Kata Haura cuba meraih simpati.

TEASER 5
Hati Mama keras macam batu!
“Mama dah besarkan kau. Aku bawa kau ke rumah ini. Besarkan kau dengan sempurna. Bagi kasih sayang. Bagi kemewahan. Bagi kau bersekolah. Bagi kau jadi pandai begini. Tapi sekarang satu aje aku minta daripada kau… Jadi isteri Engku Badri.” Luah Mama dengan nada yang lebih tegas.
Haura terus diam. Ayat itu menikam jantungnya. Setiap patah perkataan membuatkan kepala Haura semakin tertunduk.
Haura terduduk di kerusi yang berada dekat dengannya.
“Anggap sahaja, kau sedang membalas budi. Aku tak minta apa-apa. Aku cuma nak kau jadi isteri Engku Badri.” Kata Engku Amna lagi.
Haura menangis teresak-esak, “Mama… Haura memang nak balas budi. Tapi bukan dengan cara begini.”
Engku Amna merampas slip keputusan STPM yang berada di atas meja.
Haura segera menghampiri, “Mama jangan…”
“Sebab keputusan ini, kau berani lawan cakap aku?” Soal Engku Amna geram.
“Tak!” Balas Haura laju.
Haura cuba berkompromi, “Mama… itu hasil usaha Haura…”
Krakkk!
Belum sempat Haura menghabiskan ayat… Slip keputusan itu dikoyakkan tepat di hadapan matanya.
“Mama!” Haura menjerit.
Air mata Haura semakin deras, “Mama jangan!”
Kertas itu dikoyak lagi. Dan lagi. Sehingga menjadi cebisan kecil.
Haura jatuh melutut. Tangannya cuba mengutip cebisan-cebisan itu.
“Mama…” Suara Haura sudah hilang.
Impian Haura untuk ke menara gading ibarat mimpi yang hilang selepas terbangun daripada tidur. Haura memandang cebisan slip keputusan STPMnya.
Segala penat lelahnya.
Segala usahanya.
Segala malam yang dihabiskan dengan buku.
Semuanya seolah-olah musnah dalam sekelip mata.

Ketika itu terdengar bunyi enjin kereta yang berhenti di halaman luar rumah. Kereta Pak Ngah.
“Assalamualaikum.” Kata Pak Ngah sambil melangkah masuk.
Jujurnya, Engku Badri tergesa-gesa pulang mahu bertemu Haura untuk mengetahui keputusan STPMnya.
Wajah lelaki yang berusia empat puluh satu tahun itu berubah sebaik melihat Haura menangis di lantai.
“Kenapa ni?” Soal Engku Badri.
Engku Amna menjawab tenang, “Aku dah beritahu dia pasal nikah.”
Pak Ngah menghela nafas panjang. Dia memandang Haura yang sedang mengutip cebisan keputusan STPM.
“Haura…” Panggil Engku Badri.
Haura langsung tidak memandang.
“Boleh kita bincang elok-elok?” Pak Ngah bersuara perlahan kepada kakaknya.
“Tak ada apa nak bincang.” Balas Engku Amna.
“Tapi Haura baru dapat keputusan. Sepatutnya, kita meraikan dahulu. Bukan mematahkan semangat dia. Kehidupan dia masih panjang kak…” Kata Engku Badri lembut.
“Aku dah buat keputusan.” Kata Engku Amna tanpa sedikit pun memandang ke wajah Haura atau Engku Badri.
“Biar dia fikir dulu.” Kata Engku Badri tenang lagi.
“Tak perlu.” Balas Engku Amna pula.
“Dia masih muda.” Kata Engku Badri sambil merenung ke wajah Haura.
Haura masih tunduk dan menahan esakannya.
“Bagi dia sambung belajar dulu…” Kata Engku Badri.
Haura mendongak. Matanya merah. Buat pertama kali ada seseorang mempertahankannya.
Namun… Engku Amna terus menghentak meja.
“Tak!”
Engku Badri terdiam. Hilang kosa kata. Engku Amna jika mengamuk memang begini. Engku Badri sendiri tak mampu nak memujuk. Selama inipun, Engku Badri sendiri banyak terhutang budi dengan kakak kandungnya, Engku Amna. 
“Kau sendiri pernah cakap nak kahwin. Lagipun, usia kau tu bukan muda lagi. Aku dah lama sabar dengan alasan kau selama ini. Asyik nak bertangguh sahaja. Sampai bila? Sampai kau tak boleh nak bagi pewaris juga? Macam aku? Ingat Badri, kita perlukan pewaris… Aku nak Haura jadi pewaris sah dan aku nak Haura yang bakal melahirkan penyambung keturunan kau. Kau dah janji Badri. Aku cuma tuntut janji kau. Aku dah mudahkan urusan… Haura dah tahu. Jadi, jangan nak berdalih lagi. Kau tetap akan jadi suami Haura pada hujung bulan ini.” Kata Engku Amna panjang lebar.
Haura merangkak menghampiri Engku Amna. Dia memegang hujung blouse Engku Amna.
“Mama… Tolonglah. Haura rayu sangat. Haura nak sambung belajar.” Kata Haura dengan nada tersekat-sekat.
“Jangan menangis depan aku. Airmata kau takkan mengubah keputusan aku. Aku sayang kau, Haura. Sayang sangat. Aku hanya mahu kau jadi sebahagian daripada keluarga aku. Aku harap kau dapat balas segala jasa dan pengorbanan aku membesarkan kau. Kahwin dengan Engku Badri… Aku yakin, Engku Badri akan izinkan kau sambung belajar…” Kata Engku Amna.
Haura terdiam. Haura terasa seperti seluruh impiannya musnah. Cita-citanya menjauh.
Ayat itu lebih menyakitkan. Dia memang terhutang budi. Mama yang membesarkannya. Mama yang memberinya makan. Mama yang menghantarnya ke sekolah. Mama yang menjaganya ketika sakit. Bagaimana mungkin dia mampu melawan?
Tetapi…
Bagaimana pula dengan impiannya? Bagaimana dengan masa depannya? Bagaimana dengan cita-cita yang baru sahaja terasa begitu dekat? Dia memandang cebisan-cebisan keputusan STPM di atas lantai.
Air matanya menitis tanpa henti.
Pak Ngah hanya mampu menghela nafas panjang. Wajah lelaki itu jelas serba salah. Dia sendiri tidak menyangka keputusan itu dibuat tanpa persetujuan Haura. Namun setiap kali dia cuba membuka mulut, kakaknya akan mematikan segala ruang untuk berbincang.
Suasana menjadi hening. Hanya bunyi tangisan halus Haura yang masih kedengaran.
Di luar rumah, matahari petang masih bersinar indah. Tetapi bagi Haura, hari yang bermula dengan senyuman dan seribu impian itu berakhir dengan kekecewaan. sebuah keputusan yang memusnahkan seluruh masa depannya. Lebih menyakitkan Haura tidak tahu sama ada dirinya masih mempunyai kekuatan untuk mempertahankan impian itu… Atau sekadar menurut demi membalas budi wanita yang telah membesarkannya sejak kecil.


MR KOCI MISS MISI

 


BLURB MR. KOCI & MISS MISI
Cabaran senior itu mudah... Perlu menawan hati Kaer Salimin. Lelaki yang digelar Mr. Koci. Dikenali sebagai seorang lelaki yang berhati beku, kasar dan sukar ditakluki hatinya. Bagi Nellydia atau Miss Misi pula, ini adalah satu cabaran yang perlu untuk dia hadap untuk survive di kolej ini. 
Nellydia tidak mahu dibuli. Apatah lagi, kolej ini merupakan kolej elit yang para pelajarnya majoriti merupakan anak-anak orang kaya. Nellydia? Hanya anak kepada orang gaji sahaja. Tak mungkin sekufu dengan mereka semua. 
Dengan seketul kuih koci buatan air tangan sendiri, Nellydia perlahan-lahan meruntuhkan tembok pertahanan Mr. Koci. 
Tapi rahsia terbongkar dan kemarahan Mr. Koci meletus. Dia rasa ditipu dan rasa dipermainkan.
Hinggalah satu kemalangan mengubah segalanya. Nellydia sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkannya. Sejak hari itu, lelaki berhati besi berubah sepenuhnya menjadi lelaki yang sopan tutur katanya apabila berdepan dengan Nellydia. Prihatin dan sentiasa menjaga keselamatan Nellydia. Hingga kadangkala, Nellydia pula yang rimas.
Dalam pada itu, takdir juga belum mahu memudahkan jalan. Sebaik sahaja cabaran tamat dan cinta mereka berputik indah.
Nellydia hilang tanpa pesan dan tanpa jejak.
Membiarkan Mr. Koci hancur luluh. Kecewa, terluka dan rasa tercabar.
Lima tahun kemudian, mereka bertemu semula. Mr. Koci terkenal dengan gelaran bintang bola sepak negara yang kacak dan berbakat. Nellydia pula bekerja sebagai jururawat di hospital yang menaja pasukan bola sepak yang disertai Mr. Koci.
Pertemuan yang tak disangka itu mengundang dendam lama yang kembali membara.
Tapi hati masih menyintai...
Salah faham dan ujian perasaan menyusul bertalu-talu. Kali ini, giliran Mr. Koci pula yang beraksi di pentas hati. Misi memikat Nellydia dan apabila terpikat Mr. Koci mahu melakukan perkara yang sama. Mematahkan hati yang tulus menyintai.
Mungkinkah dendam mengubah hati?
Adakah cinta yang bermula dengan cabaran akan berakhir dengan perpisahan? Adakah kisah yang bermula dengan helah akan berakhir dengan bahagia? Atau kuih koci itu sememangnya jambatan takdir yang menyatukan dua hati yang dicipta untuk bersama?



TEASER 1
Bunyi ketawa yang bergema di kafeteria kampus itu seakan tidak berkesan pada Nellydia. Dia duduk di sudut meja, jari jemari memetik hujung buku nota sambil mendengar dengan separuh hati arahan seniornya, Kak Ju a.k.a Juna binti Kohar.
"Kau mesti dapatkan hati dia, faham tak?" suara Kak Ju tegas. 
Matanya merenung tajam ke arah lelaki yang duduk sendirian di hujung koridor. 
"Siapa saja perempuan yang cuba dekat dengan dia, semuanya ditolak kasar. Aku nak kau pikat dia habis-habisan. Kemudian, tinggalkan dia!" - Juna
Lelaki yang dimaksudkan itu adalah Kaer Solimin, atau Mr. Koci. Badannya tegap dan berkulit sawo matang. Rambut hitamnya tersisir rapi namun sedikit berantakan di bahagian dahi. Kacak!
Tapi yang paling menonjol ialah matanya yang tajam dan wajahnya yang dingin. Dia tidak pernah tersenyum, jarang bercakap dan setiap kali ada yang cuba menyapa... Jawapannya selalu ringkas dan kasar.
"Kenapa saya, Kak Ju? Ramai lagi perempuan lain yang lebih pandai berbicara, lebih cantik daripada saya dan lebih teruja untuk mendekati dia..." - Nellydia
“Sebab itu, kau yang paling sesuai. Sudahlah, aku tak mahu alasan. Buat aje. Kau buat, aku gerenti kehidupan kau kat kolej ini... Akan tenang-tenang aje.” – Juna
Pelik aje, selalunya kalau berjaya memikat pelajar lelaki paling kacak dan berbakat di kampus akan dibenci oleh pelajar-pelajar perempuan yang sememangnya ada hati pada lelaki gred A sebegini. Ini terbalik pula!
Boleh pakai ke formula dan fakta si Juna ini? Terima, menyusahkan aku. Tak terima? Lagi menyusahkan. Nellydia menarik nafas panjang.
“Saya setuju. Lagipun, saya tak ada pilihan dah. Tolak pun tetap dipaksa juga.” – Nellydia
Maka, bermulalah misi memikat Mr. Koci. Plan yang selalu tak jadi. Di tolak hingga memalukan diri. Tapi Nellydia pula yang tekad. 


TEASER 2
"Kau makan aje, tak tahu siapa hantar," - Ilman "Mana tahu ada orang yang suka pada kau tapi tak berani cakap." - Adam
Kaer menggeleng perlahan, menelan kuih di mulutnya sebelum menjawab dengan nada tenang namun tegas.
"Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Kalau ada orang yang nak bagi, terima saja. Tak perlu cari masalah untuk tahu siapa dia." – Mr. Koci / Kaer
"Tapi kalau itu orang yang baik?" - Iman 
"Kau tak rasa pelik ke? Orang lain cuba dekat dengan kau, kau tolak kasar. Tapi kuih ini datang tanpa nota, kau terima tanpa banyak soal. Entah-entah datang sekali dengan ilmu pengasih." – Adam
Tersembur habis kuih koci yang dimakan Kaer apabila mendengar kata-kata Adam itu.
“Kau ini... spoil ler! Boleh tak jangan banyak bunyi. Kuih ini sedap kot. Lagipun, aku tahu... Siapa yang hantar.” – Mr. Koci / Kaer
Tercengang-cengang Ilman dan Adam memandang wajah Kaer.
Senyuman tu... Senyuman itu paling menakutkan. Senyum ada makna tersirat. Meremang pula Ilman dan Adam. Moga hal yang baik-baik sahaja yang berlaku.



TEASER 3
Suatu hari selepas kuliah tamat, Kaer menghampiri Nellydia yang sedang menyusun buku yang selesai digunakannya di rak perpustakaan. 
Langkahnya penuh pesona hingga beberapa pasang mata yang ada di situ turut mencuri pandang ke arahnya.
Riak wajah dingin dan menggerunkan.
Terkebil-kebil Nellydia apabila Kaer mendekatinya diam-diam begitu. Nellydia memandang di sekelilingnya. Ada beberapa kumpulan pelajar yang sudah mula bergosip tentang mereka.
Nellydia menarik Kaer ke belakang rak buku yang sedikit terlindung.
“Awak buat apa kat sini?” -Nellydia
“Aku nak kau jadi pom pom girl aku untuk pertandingan Sabtu ini.” - Mr. Koci / Kaer
“Apa? Pompom girl? Kau mimpi ngeri erh, malam tadi?” – Nellydia
“Aku arahkan kau. Bukan bagi pilihan.” - Mr. Koci / Kaer
"Mulai esok, kau datang ke padang setiap petang pukul empat. Kau akan jadi pompom girl aku. Ingat Nelly. Pompom girl aku... Petang ni, datang awal. Aku nak kau rehearsal dulu. Jangan pula nanti kau memalukan aku waktu pertandingan persahabatan tu nanti." - Mr. Koci / Kaer
Nellydia terkejut sehingga buku di tangannya hampir jatuh. 
"Mana saya tahu nak buat benda tu?" – Nellydia
“Kau nak sangat pikat aku, kan? Buktikanlah kesungguhan tu. Kalau aku menang, kau juga yang dapat nama nanti. Jumpa kau petang ni. Jangan lambat. Jangan tak datang pula. Aku serbu rumah sewa kau tu nanti...” - Mr. Koci / Kaer
Tanpa menunggu jawapan Nellydia, dia berpaling dan melangkah pergi. 
Nellydia terkebil-kebil memandang figura Kaer.  Tidak faham mengapa dia yang dipilih sedangkan ramai lagi gadis yang berminat menjadi pompom girl lelaki itu. Lantaklah! Kau nak sangat kan? Baik. Aku sedia berjuang. Jangan kau pula yang pengsan nanti.


TEASER 4
Kaer melangkah laju menghampiri Nellydia. Tangannya mencengkam lengan gadis itu dengan kuat. 
"Kau nak lari ke mana? Dah puas permainkan aku?" - Mr. Koci / Kaer
Nellydia terkejut. Dia tak mampu menafikannya. Dia hanya mengangguk perlahan dengan mata yang sudah berkaca. 
"Maafkan saya." - Nellydia
“Maaf? Lambat lagi aku nak maafkan kau. Kenapa kau bodoh sangat terima cadangan Juna dan ahli kelab bodoh dia tu?” - - Mr. Koci / Kaer
"Tak, bukan macam tu! Dengar dulu penjelasan saya!" rayu Nellydia dan cuba melepaskan tangannya daripada cengkaman Kaer.
"Tak perlu! Aku tak nak dengar apa-apa lagi!" Kaer melepaskan lengan Nellydia dengan kasar sehingga gadis itu hampir terjatuh. 
Terkejut dan terkedu Nellydia. Memang muka Kaer tu garang. Tapi sebelum ini, Kaer tak pernah berkasar begini dengannya.
"Jangan harap aku akan maafkan kau. Ingat Nellydia. Mulai hari ini... Kau kena ikut semua arahan aku. Alang-alang kau berani terima cabaran dorang. Sekarang, hadap perangai aku. Nak sangat bercinta dengan aku? Silakan..." -- Mr. Koci / Kaer
Senyuman sinis dan renungan tajam Kaer tu buat jantung Nellydia berdebar-debar. Bala apa lagi yang bakal muncul? Letihlah nak hadap perangai lelaki ini.
“Sekarang ikut aku. Kita makan di kampus. Senyum sikit. Kata bercinta... Takkan nak pamer muka macam janda kematian suami pula. Aku ada aje depan mata ini.” - Mr. Koci / Kaer
Nellydia terduduk di tempatnya. Dia tahu dia sepatutnya memberitahu kebenaran dari awal, tapi dia takut Kaer akan menolaknya. Dan misi Nellydia, gagal. Pasti kehidupannya takkan tenang.
Tapi sekarang ini, tenang ke?
“Apa lagi tu? Berangan? Atau menyesal?” - Mr. Koci / Kaer
Nellydia menjeling. Mulut dia ini kan memang minta kena cabai tau. Berani ke?
Terkulat-kulat Nellydia mengikut langkah Kaer. Terima sahajalah apa yang bakal dilakukan oleh Kaer. Asalkan tak menyalahi hukum Allah. Dia buat benda tak elok, aku tumbuk muka kacak dia itu. Biar herot!



Wednesday, July 22, 2026

KasihkuAmani: ebook | Ritma Yang Tertulis Takdir oleh Dalia Maritza

KasihkuAmani: ebook | Ritma Yang Tertulis Takdir oleh Dalia Maritza: Assalamualaikum.. Hye semua.. Bila baca novel ini kan memang terasa kesian pada mereka yang bergelar penyanyi ini tambahan pula yang memilik...

Monday, June 22, 2026

SI CANTIK BERSELIPAR JEPUN Karya Dalia Maritza

 


Sesiapa yang membeli Si Cantik Berselipar Jepun akan dapat special gift ebook My Unforgetable Love karya Dalia Maritza...



RM18 untuk DUA EBOOK

BLURB

Kisah Aryana yang mencari kekasih adiknya semata mahu melunaskan hajat terakhir Aryani. Bila nafas Aryani terhenti, hidup Aryana berubah. Sakit jiwa apabila kehilangan kembar yang selama ini membesar bersama. Sakit otak juga dengan penyamaran Aryani. Sehingga Aryana hampir keliru yang mana dunianya yang realiti dan yang mana yang palsu ciptaan Aryani. Hidup Aryana jadi lebih kalut dengan kemunculan Kapten Israr a.k.a kekasih maya arwah adik kembarnya. Israr hanya mengenali  Doktor Aryana Johari. Wajah yang sama. Kerjaya yang sama.  Cuma personaliti Aryana sebenar apabila bertentang empat mata agak berbeza.


Israr keliru. Siapa yang dia cinta? Siapa pula yang cintakan dia?

Mengenali Aryana buat Israr yakin bahawa hatinya terikat dengan bayang yang dicipta Aryani untuk diri Israr. Aryana juga tahu, dia mulai jatuh hati pada Israr. Tapi setiap kali mahu membuka ruang cinta, Aryana berasa bersalah pada Aryani. Kenapa dia yang bahagia? Sedangkan Aryani menderita ketika hidup dan cinta pun tak kesampaian? Kapten Israr merupakan lelaki yang Aryani cinta sampai mati. Malah di saat-saat akhirpun Aryani tetap ingat pada lelaki itu.

 

Aryana tekad. Kapten Israr bukan jodohnya. Setiap kali dia memandang Israr, jiwanya terluka. Aryana tidak mahu menjadi bayang-bayang Aryani. Tidak mahu Israr menerimanya kerana simpati.

"Kau buat aku jatuh cinta. Kemudian, kau nak blah macam tu aje?" - Kapten Israr

 

"Kau dah tahu. Jadi, tugas aku dah selesai. Aku hanya mahu kau tahu hal sebenar. Dan, berhenti jadi manusia hilang rasa. Enjoy your life selagi bernyawa. Cari bahagia." - Doktor Aryana

 

Apabila rahsia terbongkar satu per satu, seketika Israr hilang jiwa. Hati terpaut pada siapa? Yang mati atau yang hidup? Bagaimana jika hatinya berkali-kali jatuh cinta? Yang mati membawa hatinya terkubur sepi. Yang hidup memberi cahaya penyuluh bahagia. Salahkah kalau Israr mahu memiliki keduanya? Yang tiada di depan mata jadi kenangan. Yang ada di depan mata jadi masa depan.

 

Tapi hati Aryana begitu teguh dengan prinsip bodohnya. Akan kecewakah Israr buat kali kedua? Atau ada pelangi indah yang sedang menunggu masa untuk muncul semula?

 

RANDOM TEASER 1

Bunyi mesin di Wad Onkologi itu tidak pernah benar-benar senyap. Ia berdetik, berdesir, dan bernafas. Seolah-olah menggantikan nafas manusia yang semakin lemah.

Jika lemah semangat dan hati tisu, semestinya air mata akan terus mengalir. Mata pula memerah sentiasa. Sebak. Sayu. Pilu. Emosi tu semuanya bercampur-aduk.

Aryana berdiri di sisi katil, jari-jarinya menggenggam hujung cadar putih yang sudah berkedut sama seperti hatinya yang kusut sejak beberapa bulan lalu.

Di sisinya, Aryani terbaring kaku. Wajahnya pucat, jauh berbeza daripada Aryani yang Aryana kenal.

Sejak kecil, adik kembarnya ini adalah anak yang petah, mudah ketawa, degil, dan selalu berlagak walaupun hakikatnya seorang yang cengeng.

Rambut Aryani kini menipis. Disorokkan di balik tudung nipis berwarna biru tua. Bibirnya merekah dan matanya separa terpejam. Namun, nafasnya masih ada.

“Aryana…” suara itu kedengaran seperti berbisik dan  hampir tenggelam.

Aryana tersentak.

Aryana segera duduk di sisi katil, menggenggam tangan Aryani yang sejuk seperti air batu.

“Ya, Yani. Aku, ada.” Balas Aryana lembut dan sedikit berbisik ke telinga Aryani.

Mata Aryani terbuka sedikit. Pandangannya kabur, namun bibirnya tetap melengkung memberikan senyuman semanis mungkin. Aryani mencuba seboleh mungkin untuk tidak menampakkan segala kesakitan dan kehampaan pada wajahnya.

Aryani tidak mahu Aryana susah hati dan berduka.

“Kau tahu... Sakit ni tak sama macam dalam cerita. Dalam novel yang aku selalu baca tu, orang sakit selalu pergi dengan cantik. Tenang. Tapi aku... Makin tak rupa orang...” Kata Aryani tersekat-sekat.

Aryana menelan air liur.

Dadanya terasa sesak.

“Kau jangan cakap macam tu.” Tegur Aryana sebak.          

“Tapi aku dah penat. Penat melawan penyakit ni. Penat pura-pura kuat.” Aryani memejamkan mata seketika sambil mengumpul sisa tenaga.

Aryana menggenggam tangan itu lebih erat. Aryana seorang doktor. Dia tahu tanda-tanda ini.

Terlalu tahu. Namun sebagai kakak kembar kepada pesakit kanser tahap empat, Aryana masih berharap pada keajaiban yang sudah lama tidak berpihak padanya.

 

RANDOM TEASER 2

“Kalau aku dah tak ada nanti. Kau tolong aku, boleh?”soal Aryani lembut dan perlahan.

Jantung Aryana berdegup laju. Nalurinya menjerit supaya menghentikan perbualan ini, tapi dia tahu ini bukan masa untuk menipu diri.

“Tolong apa?” suara Aryana bergetar.

Aryani menarik nafas panjang, nafas yang berbunyi seperti luka yang akan ditinggalkan tanpa rela.

“Israr.” Luah Aryani tenang.

Nama itu jatuh seperti pisau yang mencucuk dalam ke dada Aryana.

Israr. Atau yang dikenali Aryana dengan gelaran Kapten Israr Ghilbran.

Nama yang selama ini Aryana simpan jauh di sudut fikirannya. Nama yang dia tahu, tapi pura-pura tidak peduli. Lelaki yang wujud dalam telefon Aryani. Dalam mesej panjang yang dibaca berulang kali. Dan dalam senyuman Aryani setiap kali skrin telefon berbunyi.

“Masa macam ini, kau masih fikir tentang dia?” Aryana cuba menenangkan suara.

“Bukan fikir tapi aku risau,” Aryani menggeleng lemah.

“Risau apa?” Soal Aryana tanpa riak.

 

“Risau sebab Abang Israr tak tahu apa-apa. Tiga tahun berkenalan. Dia benar-benar dah jatuh cinta pada kita.” Mata Aryani berkaca.

 

Kita? Berdenyut-denyut kepala Aryana dibuatnya.

 

RANDOM TEASER 3

“Kau kena janji dengan aku. Cari Israr. Beritahu dia hal sebenar. Jangan biarkan dia tunggu orang yang takkan pernah muncul.” Aryani merayu.

Aryana memejam mata.

Dadanya sakit.

“Kenapa aku perlu buat semua tu? Kau yang mulakan. Kenapa aku pula yang kena cari dia? Kau kena sihat. Kau yang kena cari dia sendiri...” Luah Aryana tegas nadanya.

“Kau nak suruh aku cari dalam keadaan aku begini? Aku ni hanya menunggu mati. Kalau macam tu, kita discharge. Kau usahakan agar kita berdua dapat terbang ke Dubai. Segera. Aku dah tak ada masa.” Balas Aryani tegas juga.

Aryana terdiam. Dia ingin marah. Ingin menegur. Ingin mengatakan perbuatan itu salah.

Namun apa guna kebenaran, jika nyawa di hujung waktu? Yang penting sekarang adalah diri Aryani yang perlu dirisaukan, bukan Israr.

“Aku tak mahu mati tanpa pernah jadi seseorang dalam hidup orang lain. Aku nak Abang Israr tahu aku, Aryani Johari yang menyintai dia. Bukan kau kak...” Air mata mengalir laju di kelopak mata Aryani.

“Sekurang-kurangnya, Abang Israr tahu yang aku pernah wujud.” Sambung Aryani lagi.

“Kalau Israr benci kau?” Aryana bertanya perlahan.

Aryani tersenyum. Senyuman yang rapuh.

“Hanya kau yang tinggal untuk mewakili aku. Aku mahu kemaafan daripada dia.” Luah Aryani tenang.

Aryani memandang kakak kembarnya, “Abang Israr lelaki baik. Dia mungkin payah untuk didekati tapi jika dah dekat kau akan rasa dihargai dan sayangi. Seadanya....”  Luah Aryani lagi.

Aryana menggeleng, “Aku bukan kau. Macam mana aku nak berdepan dengan dia? Sesaat pun mungkin dia dapat membezakan kita berdua. Yea, wajah yang kau sematkan di minda dia adalah wajah aku. Tapi... Personaliti kita berbeza. Amat berbeza Aryani...”

“Tak apa. Kau cuma perlu jadi diri kau sendiri” Aryani menggenggam tangan Aryana dengan sisa kudrat yang ada.

Mesin di sebelah katil berbunyi lebih laju. Jururawat masuk tergesa-gesa, namun Aryani mengangkat tangan perlahan, meminta masa.

“Kak Aryana…” suaranya semakin perlahan.

“Kalau nanti Israr jatuh cinta pada kau. Aku tak marah. Aku takkan menghantui kau dalam mimpi. Aku reda. Asalkan kau bahagia dan Abang Israr bahagia. Ingat tu...” Sambung Aryani tersekat-sekat dan perlahan.

Terbeliak mata Aryana mendengar ayat-ayat tersebut. Dalam masa yang sama, Aryana hilang kata, keadaan Aryani sangat menghentak jiwanya.

Aryana memang seorang doktor. Tapi apabila pesakit yang menunggu mati itu merupakan adik kembarnya, sedih dan sabar itu hilang semerta.

“Aryani... Jangan tinggalkan aku.” Luah Aryana dengan juraian air mata.

Jururawat dan doktor yang ada sudah tidak mampu berbuat apa-apa.

“Janji dengan aku... Cari Abang ... Israr.” Pesan Aryani tersekat-sekat.

“Doktor Aryana. Turutkan sahaja hajat terakhirnya tu. Biar dia pergi dengan tenang...” Pujuk salah seorang jururawat yang bernama Asma.

Aryana menggenggam tangan Aryani dan terpaksa mengangguk apabila melihat keadaan Aryani yang lemah dengan nafas yang tercungap perlahan.

“Aku janji. Aku cari dia. Aku janji, aku turutkan permintaan kau...” Luah Aryana hiba.

Aryani tersenyum dan air mata menitis.

Aryani menghembus nafas panjang. Jari-jarinya melonggar. Senyuman kecil terukir pada saat nafas terakhirnya terhenti.

Senyuman seseorang yang sudah selesai dengan dunia. Mesin itu berbunyi panjang.

Aryana kaku memeluk tubuh Aryani.

Dan untuk pertama kalinya dalam hidup Aryana sebagai doktor, dia berharap realiti di depan matanya ini adalah dusta dan mimpi semata.

Tapi hampa. Aryani sudah pergi meninggalkan Aryana sendirian. Sakit. Sedih yang bertimpa.

Aryana pengsan.

 

 

RANDOM TEASER 4

Rumah itu jadi sunyi dan sepi. Aryana berdiri di tengah ruang tamu dan masih berbaju hitam. Tudungnya belum ditanggalkan sejak pulang dari tanah perkuburan.

Walaupun sebelum ini Aryana sebenarnya tidak bertudung namun entah mengapa hari ini, Aryana selesa memakainya.

Bau tanah basah masih melekat di hujung deria bau. Bercampur dengan bau susu basi yang Aryani tinggalkan dua hari lepas. Susu terakhir yang Aryana buat untuk adik kembarnya, tapi tak sempat Aryani habiskan.

Cawan itu masih di sinki. Tak pecah. Tak bergerak. Tak berubah.

Kerana sepanjang dua hari lepas, Aryana berada di hospital menemani Aryani.

Ruang terasa gelap. Sepi pula ibarat menusuk jiwa Aryana. Akalnya kosong. Sama seperti hidup Aryana yang seakan-akan terhenti di satu titik.

Titik di mana Aryani berhenti bernafas dan telah pergi meninggalkan Aryana selamanya.

Sendirian.

Yang tinggal hanya kenangan. Membebankan perasaan.

Aku dah janji. Aryana berkata sendiri.

Suara itu bergema dalam rumah kosong. Rumah yang sebelum ini penuh dengan bunyi ketawa kecil Aryani, bunyi selipar jepun diseret malas di lantai dan bunyi pintu bilik yang tak pernah ditutup rapat.

Aryani memang suka berselipar jepun di dalam rumah. Malahan jika keluar ke mana-mana, selipar itu juga yang menjadi pilihannya.

Di dalam rumah ini, selipar jepun milik Aryani memang banyak.

Di ruang tamu, di bilik air, di ruang belakang dapur, di tangga depan rumah dan di bilik tidur dia pun ada. Dia tak mahu selipar lain. Nak selipar tu juga. Nampak pelik. Tapi dia selesa.

Aryani tergelak kecil dengan wajah yang suram.

Kini, semuanya hilang.

Perlahan-lahan Aryana melangkah ke bilik Aryani. Seperti biasa, pintu itu terbuka sedikit. Bau losyen bayi lembut yang Aryani suka, masih dapat dihidu.

Aryana melabuhkan punggung di atas katil yang Aryani selalu baring. Selipar jepun di tepi katil, disauk dan disarungkan ke kaki. Terkelip-kelip Aryana memandang kaki sendiri.

Air mata Aryana mengalir lagi.

Tak baik menangisi pemergian arwah. Tapi nak buat macam mana? Aryana sedih sangat. Rasa kehilangan yang berganda. Dulu sewaktu ayah dan ibu meninggal, Aryana ada Aryani. Sekarang ini?

Tangisan bergema lagi.

 

RANDOM TEASER 5

Aryana meletakkan telefon bimbit Aryani di atas katil. Skrin gelap bukan kerana auto off screen tapi kerana bateri sudah mati.

Aryana terkelip-kelip memandang telefon bimbit itu. Jari-jemarinya teragak-agak sebelum mencapai telefon itu.

Berat hati mahu mengecas telefon bimbit tersebut.

Jujurnya, jika tidak dicas pun tidak mengapa kerana arwah Aryani tidak ada banyak kenalan.

Kebanyakan kenalan arwah Aryani pula tahu nombor telefon bimbit Aryana.

Tapi...

Jika tidak dihidupkan, bimbang seseorang akan jadi gila meroyan pula. Siapa lagi jika bukan Israr?

Sejak di tanah perkuburan lagi, telefon arwah Aryani ni bergegar di dalam beg sandang Aryana. Nama Israr memang tertera di skrin telefon tersebut sebelum habis bateri dan terpadam sendiri.

Aryana mengeluh. Aryana bersandar di kepala katil dan mengecas telefon tersebut.

Dalam masa yang sama telefon bimbit tersebut cuba dihidupkan.

Skrin menyala perlahan. Wallpaper gambar Aryani dan Aryana sewaktu raya tiga tahun lepas tertera. Gambar lama. Gambar sebelum dunia menjadi kelam.

Aryana mengalihkan pandangan. Rasa mual tiba-tiba datang. Gastrik mungkin menyerang.

Maklumlah, dua tiga hari kebelakangan ini memang Aryana tidak makan dengan teratur.

Roti yang berada di dalam beg sandangnya diambil dan dibuka plastiknya. Aryana memaksa diri untuk makan. Aryana tidak mahu sakit. Banyak benda yang Aryana perlu uruskan.

Aryana punya tanggungjawab. Aryana juga perlu cari Israr.

Dalam masa yang sama, Aryana perlu teruskan kehidupan.

Inbox mesej terbuka.

Israr. Israr. Israr.

Nama itu muncul berulang kali. Panggilan tak terjawab. Mesej yang tidak dibaca.

Mesej suara juga terus memanggil, tanpa tahu orang di hujung talian sudah tiada.

Aryana menutup mata.

Cari Israr. Beritahu dia hal sebenar. Suara arwah Aryani bergema di ruang akalnya.

Janji yang perlu dilunasi. Dan kini, janji itu ibarat berdenyut di kepalanya seperti migrain.

Aku bukan kau. Aku tak tahu macam mana aku nak jadi kau. Aku tak tahu macam mana aku nak berdepan dengan dia. Bisik Aryana pada ruang yang kosong.

Telefon itu bergetar dalam genggamannya. Mesej baharu masuk ke nombor Aryani.

Israr: Aryana, saya dah balik Malaysia.

Israr: Permanently.

Israr: Masa untuk bertemu empat mata. Dah penat bercinta dengan orang halimunan.

Israr: Kenapa senyap?

Nafas Aryana tersekat. Balik Malaysia?

Kepala Aryana berpusing. Ini terlalu cepat. Terlalu mendesak. Seolah-olah takdir tidak memberi ruang untuk Aryana bernafas.

Aku belum bersedia. Aryana menggeleng dan air mata mengalir tanpa disedari.

Telefon itu jatuh ke tepi katil. Aryana bangun secara tiba-tiba, melangkah mundar-mandir di dalam bilik sempit itu.

Fikirannya bercelaru antara logik dan emosi. Antara doktor dan pesakit. Antara kakak dan adik. Antara kebenaran dan janji. Antara yang hidup dan yang mati.

Jika dia beritahu Israr sekarang, lelaki itu akan hancur.

Terluka teruk.

Jika dia diam, dia mengkhianati janjinya pada arwah Aryani.

Jika dia menyamar pula, dia seolah-olah mengkhianati diri sendiri.

Apa yang kau nak buat, Aryana? Suaranya meninggi dan hampir menjerit.

Otaknya buntu.

Aryana menekup muka. Tangisnya pecah, berat dan tidak terkawal.

Selama ini, dia menyimpan air mata agar tak mengalir laju.

Menjadi doktor mengajarnya untuk kuat, untuk tenang dan untuk rasional. Tapi di sini, dalam bilik arwah adiknya ini, tembok tegas dan tenangnya runtuh.


RANDOM TEASER 6

“Kau dah makan?”soal Doktor Hania sambil merenung wajah Aryana.

Aryana mengangguk perlahan.

“Jangan banyak sangat ambil overtime dan ganti shift orang. Tubuh badan sendiri pun kena jaga juga.

Aryana tersenyum kelat, “Hospital sahaja yang boleh buat aku bahagia.”

“Pindah duduk dengan aku. Takpun cari calon suami dan nikah.” Balas Doktor Hania selamba.

Aryana menepuk bahu Hania lembut.

“Buat lawak pula dia...” Balas Aryana tanpa riak.

“Aku tak buat lawak. Aku sungguh-sungguh.” Balas Doktor Hania lagi.

“Kalau duduk sekali dengan kau pun, sama juga. Shift kita tak menentu. Kadang boleh bertembung, kadang lama tak nampak muka. Masing-masing ada tanggungjawab berbeza. Sama sahaja. Kesudahannya, aku sendiri juga nanti.” Balas Aryana pula.

Hania menggeleng dengan wajah masam.

“Tahu dah jawapan kau tu. Tak apa. Kalau sama-sama cuti. Aku datang lepak dan bermalam di rumah kau. Minta izin untuk jadikan rumah kau sebagai rumah sewa kedua aku.” Kata Doktor Hania dengan senyumnya.

Aryana mengangguk, “Boleh. Datang aje.”

“Okeylah. Kau tu, rehat. Aku on duty ni.” Kata Doktor Hania sambil bangun dan menepuk lembut bahu Aryana.

Aryana sekadar mengangguk tanda faham.


RANDOM TEASER 7

“Abang balik Malaysia sebab awak. Abang nak jumpa awak. Abang pernah janji, kalau abang balik Malaysia kita jumpa dan kita bertunang. Kalau nak nikah terus pun abang dah bersedia.” Kata Israr lancar.

Aryana terduduk perlahan di sofa. Jantungnya berdentum tidak sekata.

“Maaf,” hanya itu yang keluar.

Israr ketawa kecil, tapi bunyinya kosong.

“Aryana tahu tak macam mana rasa ditinggalkan tanpa sebab? Awak janji tunggu abang. Tapi awak tiba-tiba diam. Buat abang takut dan menggelabah. Hati awak tak berubah, kan Aryana?” Soal Israr jujur.

Setiap kata itu menampar hati Aryana.

“Aryana janji tunggu abang. Awak masih berpegang pada janji, kan?” Israr menyambung.

Aryana menggigit bibir. Air mata menitis.

“Ada benda yang Israr tak tahu,” Aryana berkata perlahan.

Israr terdiam.

“Israr? Erm... Kenapa suara awak lain?” Israr tiba-tiba bertanya.

“Awak sakit ke?” Soal Israr lagi.

Aryana pula yang terdiam.

Inilah titiknya. Sekarang atau tidak pernah.

“Israr,” Aryana menelan air liur.

“Nama saya, Aryana.” Sambung Aryana tersekat-sekat.

Senyap di hujung talian.

“Abang tahu. Sejak dulu pun awak dah bagitahu yang nama awak, Aryana.” Balas Israr dengan gelak kecil.

“Saya kakak, Aryani. Orang yang awak kenal tu Aryani bukan Aryana. Nama tu nama saya, tapi yang bermesej, berbual dan bercinta dengan awak tu bukan saya. Tapi Aryani...” Tutur Aryana lancar.

 

RANDOM TEASER 8

“Aryana, awak dah buat abang jatuh cinta pada awak. Dan bila abang dah balik Malaysia untuk awak. Awak prank abang macam ini pula,” suara Israr kedengaran sedikit ragu dan tidak mempercayai segala kata-kata Aryana.

“Saya tak prank sesiapa.” Balas Aryana menahan sebak di dada.

“Jangan main-main Aryana. Abang dah jatuh cinta pada awak. Jangan awak nak blah macam tu aje? Abang dah bagitahu keluarga abang tau pasal awak... Mereka semua tak sabar nak jumpa awak.” Kata Israr lembut dalam panasaran.

Aryana terkejut.

Air mata Aryana mengalir tanpa henti.

“Saya tak berniat nak hampakan sesiapa. Saya tak berbohong. Aryani memang cintakan awak juga, Israr. Tapi Aryani dah tak ada. Dia dah meninggal minggu lepas.” Jelas Aryana susah payah.

Diam.

“Meninggal? Kau buat lawak apa ni? Minggu lepas dia ada reply mesej aku...” Hambur Israr bengang.

Hatinya mula berang.

Aryana menutup mata rapat.

“Yang balas mesej awak tu, saya. Aryani dah meninggal dunia. Saya serba salah nak bagitahu hal sebenar. Saya takut jadi macam inilah...” Kata Aryana lirih.

Kata-kata itu jatuh satu persatu, berat dan kejam pada Israr. Di hujung talian, Israr tidak bersuara. Aryana hampir boleh mendengar nafas lelaki itu yang tidak teratur.

“Apa maksud kau?” Israr bertanya dengan nada was-was.

“Aryani meninggal sebab kanser. Dia pinjam nama, wajah dan personaliti saya untuk berkenalan dengan awak, Israr.” Aryana menjawab perlahan.

Sunyi.
Kemudian bunyi sesuatu jatuh, mungkin telefon dan mungkin hati Israr pun turut sama jatuh jika diimaginasikan.

“Jadi… selama ni, aku memang cintakan manusia halimunanlah?” Israr ketawa pendek dan sinis.

Air mata Aryana jatuh tak terbendung.

“Aryani memang cintakan awak, Israr.” Kata Aryana mempertahankan arwah Aryani.

“Dan kau? Dia guna nama, wajah dan latar belakang kau... Malahan, kau juga pernah jadi dia... Korang adik-beradik ni memang jaguh permainkan perasaan orang ke?” suara Israr tajam.

Aryana terdiam lama.

“Saya minta maaf, Israr. Saya dapat tahu pun, bila awak dan dia memang dah bercinta. Saya cuma orang yang tinggal, yang mahu melunaskan janji orang yang dah pergi. Arwah Aryani memang mahu saya cari awak dan bagitahu hal yang sebenar... Tapi saya tak tahu nak mulakan macam mana. Maafkan saya kalau penjelasan saya yang melulu ini buat awak keliru, marah dan kecewa,” kata Aryana lembut.

Israr menarik nafas panjang, “Jumpa aku.”

Arahan itu membuatkan Aryana tersentak.

“Apa?” Soal Aryana keliru.

“Jumpa aku,” Israr mengulang arahannya.

“Aku nak lihat wajah yang buat aku jatuh cinta dan benci serentak. Aku juga nak tengok wajah orang yang perbodohkan aku. Tahu tapi diam dan buat-buat tak tahu...” Kata Israr tegas dan lantang.


RANDOM TEASER 9

Vending machine ini tak perlu pengawal keselamatan. Jadi, tak perlu kau nak duk tercegat lama kat depan ini.” Tutur Doktor Hania lembut.

“Aku kat sini nak beli air.” Kata Aryana ringkas.

“Nak beli? Belilah... Yang duk tenung lelama tu, kenapa pula? Nampak bakal imam?” Soal Doktor Hania dengan nada menyindir.

Aryana menjeling manja. Dalam masa yang sama, Aryana memasukkan duit dan menekan butang air cincau.

Gedegang.

Hah, mungkin tu sebabnya nama lain vending machine ini adalah air gedegang.

Aryana duduk di bangku yang berada bersebelahan dan membuka penutup air tin yang dipegangnya.

Rasa segar, walaupun tak sejuk sangat.

“Nasib baik kau tak pakai jubah putih dengan selipar jepun kau ini sambil merayau di dalam hospital.” Tegur Doktor Hania.

Aryana tergelak.

“Aku tahulah etika berpakaian kat hospital ini waktu kerja. Ini... Aku dah nak balik dah.” Balas Aryana selamba.

“Yea. Tapi staf yang kenal tu dah berkali-kali memandang sambil mulut tu bergosip. Jagalah sikit imej tu.” Kata Doktor Hania lagi.

Aryana merengus, “Lantaklah dorang. Hmm, aku nak balik dah. Kau on call, kan?”

Doktor Hania mengangguk.

“Balik terus. Jangan duk berkhayal dan termenung kat jalan raya pula. Dah sampai rumah mesej aku.” Pesan Doktor Hania lembut.

 

RANDOM TEASER 10

“Doktor Aryana Johari... Jadi kau memang betul Aryana.” Tutur Israr.

“Kapten Israr Ghilbran... Nama dan kerjaya... Itu memang saya... Memang seperti yang Aryani gambarkan. Wajah pun wajah yang sama. Tapi kalau awak tengok betul-betul masa video call dengan Aryani... Awak akan nampak perbezaan antara gambar dan wajah masa video call tu.” Hambur Aryana geram.

Sinis tanpa riak.

“Atau aku patut panggil kau, Aryani? Bagi kad pengenalan kau...” Pinta Israr kasar.

Otak Israr pun sudah keliru. Tak tahu yang mana asli dan yang mana palsu. Nak bezakan yang benar dan tipu pun, susah ini.

“Saya, Aryana. Nah...” Kata Aryana dengan nada keras.

Aryana menghulurkan kad pengenalannya kepada Israr.

“Buka laci dashboard tu. Ada sijil kat situ.” Kata Aryana tenang.

Berkerut dahi Israr.

“Sijil apa? Aku dan Aryana belum menikah.” Balas Israr semberono.

Bulat mata Aryana memandang ke wajah Israr.

“Sijil mati.” Balas Aryana perlahan.