Tuesday, February 24, 2026

kombo lazat

1️⃣ NASI KANDAQ TEH TARIK (Arianna Delisha)
Kisah tentang menebus silap lalu. Aisyah Hasli dan Ariff Ibrahim—dua jiwa yang mencari jawapan di sebalik hiruk-pikuk hospital dan aroma rempah kandaq. Adakah maaf itu semanis teh tarik, atau sepedas realiti?
2️⃣ MATCHA STRAWBERRY CALON SUAMI (Dalia Maritza Novelist)
Hanisa, doktor bedah yang hilang segalanya. Dzarin Effendy pula muncul dengan matcha strawberry yang seimbang pahit manisnya. Namun, adakah Dzarin 'calon suami' yang mampu membersihkan nama Hanisa yang dicalit fitnah?
🎁 BONUS PERCUMA:
Setiap pembelian kombo akan menerima e-book FIRMAN CINTA RHEA (Dalia Maritza) secara PERCUMA! 3 naskhah dalam satu harga

Monday, February 2, 2026

OPERASI GODA ISTERI SYURGA



 🌹OPERASI : GODA ISTERI SYURGA mengisahkan pertembungan takdir antara Haris Rafael dan Bella Innara. Dua insan yang tak pernah kenal, disatukan bukan kerana cinta tetapi oleh dendam lama dua keluarga yang bermusuhan.


Perkahwinan mereka dirancang sebagai jalan damai. Namun, hidup sebumbung selepas nikah antara Haris Rafael dan Bella Innara tak semudah akad yang dilafazkan. Setiap senyuman penuh makna tersirat. Kesudahannya, salah faham menggugat bahtera rumahtangga mereka berdua.

Apatah lagi, Mama Haris sentiasa menguji kesabaran Bella Innara.

“Bila kahwin sebab dendam, jatuh cinta pula jadi kesalahan?” – Haris Rafael

“Kau hanya isteri Haris Rafael di atas kertas, tapi bagaimana dengan hati?” – Sara Othman

“Awak masuk bilik saya tanpa ketuk lagi, saya saman awak atas kesalahan melanggar sempadan isteri sendiri…” Bella Innara

Apabila dua keluarga mempunyai agenda tersendiri, Haris pula menyimpan operasi rahsia. Bella Innara? Dia enggan tunduk pada perasaan yang semakin mengganggu jiwa.

Persoalannya kini, bukan lagi tentang agenda tersembunyi tapi tentang dua hati.
Adakah benci akan terus diwarisi, atau cinta akan mekar di hati tanpa disedari? Bila benci bertukar rindu, siapa yang akan mengalah dulu?


RANDOM TEASER PABILA RINDU TAK PERNAH SEMBUH

 



PABILA RINDU TAK PERNAH SEMBUH

 

TEASER 1

“Fia.” Panggil Zamani mesra.

Meluat.

Tak ada lelaki lain yang elok sikit ke perangai yang duk nak try dia?

Langkah Wafia terhenti.

Di belakang Zamani kelihatan susuk tubuh papa, Engku Hamdan.

Tajam mata Engku Hamdan memandang ke  wajah Engku Wafia.

Malapetaka apa pula ni? Gerutu Wafia dalam hati.

Engku Hamdan jika datang ke bilik pejabat Wafia, pasti ada berita yang mengejutkan. Atau pasti ada perubahan yang bakal berlaku. Maka, percanggahan pendapat akan wujud. Wafia tarik nafas panjang.

“Kau buat apa kat sini, Zamani?”soal Engku Hamdan tegang.

Engku Wafia tersenyum dalam hati. Bagus juga jika papa ada. Boleh halau cepat-cepat sikit si Zamani ni.

Engku Hamdan berdiri di ambang pintu, wajahnya tenang tetapi matanya mengerling ke arah Zamani yang selamba datang duduk di sofa di sebelahnya.

“Kau tak ada kerja erh? Asyik datang ofis aku aje.” Sindir Engku Wafia pula.

“Papa pula buat apa kat sini?” soal Wafia, pelik.

“Ini pejabat papa juga. Salahkah datang untuk menjenguk? Jenguk anak papa juga.” Balas Engku Hamdan tenang.

“Kalau papa datang untuk urusan syarikat, kita boleh berbincang secara formal.” Luah Wafia.

“Ini bukan tentang syarikat. Ini tentang hidup kamu.” Nada Engku Hamdan serius.

Wafia memandang ke wajah Zamani, “Kau... Boleh tak balik ofis kau. Jangan duk buang masa kat sini. Aku tak suka jika pejabat aku jadi tempat orang melepak sesuka hati.”

Uncle, I stay sekejap. Lagipun, I nak tahu juga apa yang Uncle nak bincang dengan Wafia. Tentang hidup Wafia, kan?” soal Zamani selamba.

Engku Hamdan diam sahaja. Mengiyakan, tidak. Menggeleng, tidak. Memandang Zamani pun tidak.

Wafia memalingkan wajah, “Hidup Fia terkawal. Papa tak perlu risau.”

Engku Hamdan tersenyum kecil, senyum seorang ayah yang sudah terlalu lama melihat anaknya membina tembok tinggi pada jiwanya sendiri.

Melihat Wafia yang cuba menepis godaan Zamani inipun dah buat Engku Hamdan rasa sebal.

Zamani ni jenis tak makan saman. Degil. Suka ikut kepala dia aje.

Ada hati nak jadi menantu Engku Hamdan? Memang takkan approved sampai bila-bila.

“Itulah yang papa risaukan. Sentiada terkawal. Sampai kamu bina tembok besar dalam hati kamu tu. Papa nak menantu...” Kata Engku Hamdan terang dan jelas.

Zamani tersengih-sengih memandang ke arah Engku Hamdan. Dengan harapan, Engku Hamdan akan melihat dirinya dengan jelas sebagai calon menantu pilihan.

Wafia diam.

Wafia menyilangkan tangan dan bersedia mempertahankan diri.

Apatah lagi jika papa mengusulkan Zamani sebagai calon suaminya.

Rela Wafia membujang sampai ke mati.

“Papa dah buat Keputusan, papa nak kamu berkahwin.” Sambung Engku Hamdan perlahan.

Dahi Wafia berkerut, “Fia tak ada masa untuk benda remeh macam tu.”

“Ini bukan hal remeh.” Engku Hamdan menghela nafas.

“Papa dah pilihkan calon.” Kata Engku Hamdan tenang.

Sekarang ini, Wafia yang jadi tak tenang dan kalut. Janganlah papa pilih mamat depan mata ini.

“Papa tak berhak atur hidup Fia.” Balas Wafia bengang.

“Papa, penjaga kamu. Ayah kandung kamu. Papa hanya mahukan yang terbaik untuk kamu. Lagipun, papa tak mahu kamu dihurung lelaki sembarangan. Merunsingkan papa. Calon papa, adalah yang terbaik untuk kamu. Kuat iman. Berjiwa besar. Penyayang. Yang penting, penyabar. Papa dah uji hati dia. Papa dah bagi dia situasi yang payah. Dan, papa approved dia adalah calon suami kamu yang boleh papa sandarkan harapan untuk jaga kamu. Bimbing kamu.” Kata Engku Hamdan panjang lebar.

Wafia lega. Yang pasti, bukan Zamani. Kuat iman. Berjiwa besar. Penyayang. Itu bukan Zamani. Pasti.

Berkerut dahi Zamani mendengar kata-kata Engku Hamdan.

Wait the minute. Uncle pilih siapa untuk Fia?” Soal Zamani dengan suara yang panik.

Engku Hamdan tersenyum sinis, “Balik Zamani. I need a time to talk in private with my precious daughter.”

Wafia tahan senyum melihat wajah tak puas hati Zamani.