Saturday, July 25, 2026

CIK TOURIST DAN ENCIK PILOT

 


CIK TOURIST DAN ENCIK PILOT

SINOPSIS

Melarikan diri sehari sebelum majlis pernikahan bukanlah keputusan yang mudah. Namun bagi Qairina Amlan, berkahwin dengan sepupu sendiri yang sudah berjanji mahu memadukannya demi harta pusaka keluarga adalah mimpi ngeri yang tidak sanggup dia hadap.

Takdir menemukan Qairina dengan Kapten Areeq Marteen, seorang juruterbang yang sentiasa muncul setiap kali dia memerlukan pertolongan. Bermula dengan insiden bagasi yang tertukar di Indonesia, kemudian bertemu semula di Korea, Singapura dan Sabah, hubungan mereka semakin rapat tanpa disedari.

Namun kebahagiaan itu tidak datang tanpa dugaan. Dato' Areez Marteen, abang kembar Kapten Areeq yang tegas dan sukar mempercayai orang, mula mengesyaki identiti Qairina. Apabila kad kahwin Qairina ditemui, rahsia pelariannya akhirnya terbongkar dan cinta mereka hampir musnah.

Mampukah Qairina mempertahankan hak untuk memilih pasangan hidupnya sendiri? Dan sanggupkah Kapten Areeq memperjuangkan wanita yang dicintai walaupun seluruh keluarga Qairina menentang?

Di sebalik kisah cinta yang manis, terselit kisah kekeluargaan, pengorbanan, kepercayaan dan takdir yang akhirnya menemukan dua hati pada waktu yang paling tepat.

 

TEASER 1

Dato’ Areez Marteen merenung ke wajah Kapten Areeq Marteen. Dia masih tersenyum. Masih tenang. Menyirap pula Areez melihatnya.

“Jangan sebab perempuan, kau jadi bodoh pula...” Luah Dato’  Areez geram. 

Suara garau itu memecahkan kesunyian ruang rehat khas kru penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Kapten Areeq Marteen yang sedang memegang cawan kopi yang masih panas hanya mengangkat wajah. 

Senyuman nipis masih terukir di bibirnya seolah-olah kata-kata sinis itu langsung tidak menyentuh hati.

Masalahnya sekarang ini, aku tak buat apa-apa. Aku baru observe. Dia yang heartbroken. Aku pula yang kena. Ni mesti nak marah diri sendiri tak boleh. Aku juga yang kena… Bisik Kapteen Areeq dalam hati. 

 

TEASER 2

Sejak tunang abang kembarnya itu curang dan menipu… Dato’ Areez Marteen jadi begitu. Trauma. Sampai hati pun berubah jadi beku. Mulut dia pun memang tak boleh nak cover, cakap main lepas sahaja. Tapi, kalau dia diam lagi bahaya. Umi dan Walid pun susah hati… 

Di hadapan Kapten Areeq, berdiri seorang lelaki yang wajahnya hampir seratus peratus sama dengannya. Dah nama pun kembar… 

Tapi pemikiran, tingkah, pertuturan dan riak wajah tak sama. Macam langit dengan bumi. 

Jika Areeq terkenal sebagai lelaki kacak dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir. Areez pula terkenal dengan wajah beku yang menggerunkan. Kacak pun tak guna kalau muka bengis begitu. Dah macam singa nak terkam mangsa. Lainlah Areeq… Kacak dan sweet. Ngeh. Ngeh. Ngeh. Dah kentut bau sendiri ler! 

Kalau Areeq, ibarat mentari pagi yang menenangkan, Areez pula umpama ribut petir yang membuat orang lain berasa gerun.

 

Dato' Areez Marteen merupakan abang kembar kepada Kapten Areeq Marteen yang lahir hanya lima minit lebih awal. 

Khayalan Kapten Areeq terganggu. 

“Ingat jangan jadi bodoh sebab perempuan… “ Pesan Dato’ Areez sekali lagi. 

“Kau ni… Asyik ulang ayat yang sama.” Kapten Areeq ketawa kecil. 

Bulat mata Dato’ Areez mendengar tawa kecil Kapten Areeq. 

“Aku ulang sebab kau tak faham.” Balas Dato’ Areez pula dengan wajah yang masih tiada senyuman. 

“Aku faham.” Jawab Kapten Areeq. 

“Kalau faham, kau takkan senyum-senyum siput…” Tempelak Dato’ Areez tak puas hati. 

Kapten Areeq menggeleng perlahan, “Kau fikir aku dah jatuh cinta?”

“Belum.” Luah Dato’ Areez tanpa riak. 

Kapten Areeq ketawa lagi, “Kalau dah belum, yang kau risau ni… Kenapa?”

“Jangan main-main dengan aku. Muka kau tu nampak sangat tertarik dengan perempuan tu… ” Kata Dato’ Areez dengan nada geram. 

Seketika suasana menjadi sunyi. Kapten Areeq meletakkan cawan kopinya di atas meja sebelum bersandar.

“Aku cuma tolong orang.” Kata Kapten Areeq dengan nada tenang. 

“Ramai orang kau tolong. Kenapa yang seorang ni lain macam?” Soal Dato’ Areez pula. 

Wajah Kapten Areeq sudah memerah. Kalau dengan kembarnya ini, susah nak menipu. 

“Tak ada apa-apa ler…” Balas Kapten Areeq cuba berdalih. 

“Kalau tak ada apa-apa, kenapa kau sanggup tunggu dua belas jam semata-mata nak hantar bagasi dia?”

Soalan itu membuatkan Areeq terdiam.

Memang benar.

Seumur hidup menjadi juruterbang, dia tidak pernah melakukan perkara sebegitu.

Bagasi yang tertukar biasanya diserahkan sahaja kepada pihak pengendalian bagasi.

Tetapi kali ini…

Entah mengapa dia sendiri yang menawarkan diri untuk memastikan beg wanita itu sampai ke tangan pemiliknya.

Aneh. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Yang pasti, Kapten Areeq Marteen mahu menemui Qairina lagi. Lagi dan lagi… Kapten Areeq simpan senyum. Bimbang Dato’ Areez membebel lagi. Makin tua, makin kuat pula abang kembarnya tu membebel. Mengalahkan Umi… 

 

TEASER 3

Dato’ Areez tu dah macam polis pencen. Masih lagi dia nak berdalih. Berdalih selagi boleh Areeq. Hehehe...

Kapten Areeq menarik nafas perlahan, “Dia berada di negara orang seorang diri.”

“Jadi?” Soal Dato’ Areez laju. 

Fuh. Bukan main laju dia menjawab. Muka pun tak boleh blah. Seriau pula Kapten Areeq. 

“Bagasi tu penting.” Kata Kapten Areeq sambil tersenyum kambing. 

Tahu. Alasan tu tak kukuh. 

“Ada staf lapangan terbang.” Balas Dato’ Areez. 

“Aku tahu.” Balas Kapten Areeq pula. 

Hilang idea nak bagi alasan apa. Sebab diri sendiri pun tak pasti, kenapa dirinya jadi begitu. Mungkin dia tertarik. Mungkin juga dia dah jatuh cinta pada pandangan yang pertama. 

“Jadi?” Soal Dato?’ Areez sambil merenung dalam ke wajah Kapten Areeq. 

Kapten Areeq mengangkat bahu, “Aku cuma rasa... aku patut bantu.”

 

TEASER 4

 

Dato' Areez menghela nafas panjang. Itulah masalah adik kembarnya.

Terlalu baik.

Terlalu mudah percaya.

Terlalu lembut hati.

Sejak kecil pun dia memang begitu. Kalau nampak anak kucing cedera, Areeq akan bawa balik. Kalau nampak orang tua sedang mengangkat barang, Areeq orang pertama yang akan menghulurkan tangan untuk membantu. Kalau nampak orang menangis, dia pula yang terlebih dahulu menawarkan bahu. 

Tapi… Kapten Areeq ini lebih cepat hilang sabar kalua jumpa manusia taka da otak. Teringat pula kes Falah kena tumbuk dengan si Areeq ini.

Tapi… Dato’ Areez tak mahu adik kembarnya ini berlembut dengan Perempuan.

Kerana dunia ini, kekurangan Perempuan yang baik… Kekurangan manusia yang baik…

Dunia ini juga… tidak dipenuhi manusia yang ikhlas. Kerana ada antara manusia yang suka mengambil kesempatan. Mendaki ke puncak melaui jalan pintas. Asalkan mereka capai apa yang mereka mahu. Mereka abaikan nasib orang lain. 

“Nama dia siapa?” Soal Dato’ Areez. 

“Qairina Kuhairy.” Balas Kapten Areeq. 

“Sedap nama.” Puji Dato’ Areez ikhlas. 

Kapten Areeq tersenyum. 

“Cantik orangnya?” Soal Dato’ Areez. 

“Kira okeylah.” Balas Kapten Areeq malu-malu. 

Haish. Menyampah pula Dato’ Areez tengok. Kalau Umi pula yang tengok, mesti terus buat kenduri doa selamat. Tu petanda ada bau-bau menantu. 

“Okeylah?” Soal Dato’ Areez sekali lagi. 

Areeq tergelak, “Kau ni macam wartawan pula.”

 

“Aku serius.” Balas Dato’ Areez. 

“Cantik.” Jawab Kapten Areeq akhirnya. 

“Nah... keluar juga jawapan sebenar.” Dato’ Areez senyum sinis. 

Kapten Areeq menggeleng sambil ketawa, “Kau ni memang suka mengusik.”

“Aku tak mengusik. Aku nak buat report bertulis pada Umi… Dan jangan lupa bagi semua maklumat yang kau tahu tentang dia… Orang aku akan siasat. Aku nak pastikan, dia clean. Aku tak mahu kau jatuh cinta pada perempuan yang salah.” Kata Dato' Areez tegas. 

Renungan Dato’ Areez tajam.

Kapten Areeq telan liur sendiri. 

Dalam masa yang sama, Dato’ Areez sambung ayat, “Dengar sini baik-baik. Aku tak tipu bila aku kata aku pernah nampak muka dia. Cuma aku tak sure… Dia anak siapa? Yang pasti, aku ada rasa ragu dengan identiti dia. Jangan bagi hati dulu Areeq, sebelum aku cari tahu. Aku tak nak kau rasa apa yang aku dah rasa.”

Hah, sudah! Kapten Areeq tersenyum kelat. Dah tak guna dah, bagi nasihat begitu kot… Huhuhu, Kapten Areeq rasa macam… Macam hati rasa dag dig dug… Cintakah? Kapten Areeq diam sahaja. Tak gila lagi nak bagitahu si Areez ni… 

 

Areeq terus diam.

 

 


KISAH YANG DITAKDIRKAN

 

BLURB
Dato’ Areez Marteen, seorang jutawan dingin, mudah marah, dan pernah hancur kerana dikhianati tunangnya sendiri.
Sehingga dia bertemu Haura. Sekali pandang, hati terus terpaut. Dia ikat Haura sebagai isteri… bukan untuk main-main, tapi untuk miliki sepenuhnya.

Haura setuju, bukan sebab harta, tapi untuk lari dari keluarga toksik yang terlalu posesif. Benarkah? 
Tapi hidup sebagai isteri jutawan tak semudah cerita dongeng. Tekanan mula mengganggu fikirannya. Dan yang paling memalukan, mereka ditangkap khalwat… sedangkan mereka suami isteri sah!
Rahsia terbongkar. Keluarga terkejut. Wujudkah restu untuk mereka berdua? 

Adakah takdir ini akan membawa kebahagiaan, atau sekadar ujian yang terlalu berat? 


TEASER 1
Menara pencakar langit milik Kumpulan Marteen tersergam gah di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Di ruang pejabat yang luas yang terletak di tingkat paling atas, kelihatan satu cahaya samar dari lampu meja… Masih menyala. 
Seorang lelaki duduk bersandar sambil mata memandang terus ke arah langit malam dari balik tingkap kaca lutsinar. 
Bulan bintang yang kelihatan indah dan terang, tidak mampu memberi sinar pada hatinya yang gelap. Beku. 
Dia adalah Dato’ Areez Marteen.
Pada usia yang baru mencecah tiga puluh dua tahun, namanya sudah terukir sebagai salah seorang usahawan paling berjaya dan berpengaruh di rantau ini. Kekayaannya dikira dalam angka berjuta, malah melebihi nilai juta. 
Namun…
Di sebalik pakaian mewah yang kemas, jam tangan berharga dan pangkat yang dihormati. Tersembunyi satu hati yang tertutup rapat, seolah-olah dikunci dan dikuburkan di tempat yang paling dalam.
Malam itu, dia tidak sibuk menyemak laporan kewangan mahupun merangka strategi perniagaan baharu. Matanya hanya terpaku pada sehelai kertas yang terletak di atas meja, bersama dengan sekotak cincin berlian yang dulunya melambangkan janji kasih seumur hidup. 
Ingatannya melayang kembali ke masa lalu, kira-kira lima tahun yang lalu.
Dahulu, Dato’ Areez Marteen pernah percaya bahawa dia telah menemui seseorang yang boleh melengkapkan hidupnya. Seorang wanita yang lembut tutur kata, sentiasa senyum dan nampak begitu ikhlas setiap kali memandang wajahnya. Dan kerana pesona itu juga, dia terpukau dan mempertaruhkan cinta. Pertunangan diikat. 
Tapi ternyata, cintanya tersalah mendarat pada hati yang sesat.
Dato’ Areez Marteen tidak pernah berkira soal harta atau kedudukan. Walaupun, Qadeeja gadis yatim piatu dan sederhana. Dia tetap menjadi pilihan Dato’ Areez Marteen. 
Untuk Qadeeja… Dato’ Areez Marteen membuka pintu hatinya seluas-luasnya. Memberikan kepercayaan yang tidak terhingga dan merancang masa depan yang indah bersama wanita itu.
Sadisnya, semua impian itu hancur berkecai dalam sekelip mata.
Kejujuran dan kesetiaan yang dia sangka wujud itu hanyalah lakonan yang sangat sempurna. 
Wanita yang dia ingin jadikan isteri itu sebenarnya sudah mempunyai pasangan yang sah. Paling menyakitkan apabila, suami wanita itu merupakan orang kepercayaan Dato’ Areez sendiri. Memang kecewa sangat apabila dikhianati sebegitu rupa. 

Di sisi Areez, Qadeeja terus berpura-pura menjadi kekasih setia yang nampak bahagia menanti hari perkahwinan. Namun, dia juga isteri rahsia pada Falah. 
Setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Akhirnya, Qadeeja kantoi apabila sijil nikahnya tersebar di media sosial. 
Berita itu tersebar seperti api yang menjalar di musim kemarau. 
Dunia elit Dato’ Areez dan masyarakat mula bergosip. Ada yang berasa kasihan, ada yang menjadikan ia bahan jenaka dan tidak kurang juga yang memandang Dato’ Areez dengan pandangan sinis. Seolah-olah, dia adalah seorang lelaki yang mudah ditipu. Bodoh.
Namun, Dato’ Areez tidak membenarkan perasaan marah meluap-luap sehingga hilang pertimbangan. Sebaliknya, dia berubah menjadi lebih tenang tetapi ketenangan itu adalah tanda bahawa hatinya telah mati terhadap perasaan percaya.
Dia tidak membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja. Melalui peguamnya, dia memfailkan tuntutan mahkamah bukan untuk membalas dendam secara kasar, tetapi untuk menuntut ganti rugi atas kerosakan nama baik dan emosi yang dialaminya. Saman malu atas penipuan status. 
Proses perbicaraan berjalan lancar dan keputusan muktamad berpihak kepadanya. Mahkamah memerintahkan bekas tunangnya itu membayar sejumlah wang yang cukup besar sebagai pampasan. Apabila wang itu akhirnya masuk ke dalam akaunnya, Dato’ Areez hanya memandang angka itu dengan pandangan kosong. Wang itu tidak dapat memulihkan luka di hatinya, tidak dapat memadamkan rasa dikhianati dan tidak dapat mengembalikan kepercayaan yang sudah hilang. 

TEASER 2
Sampai sekarang masih berjalan ansuran saman tersebut daripada pihak Qadeeja dan Falah. 
“Aku saman memang sebab aku nak kau susah.” Kata Dato’ Areez tenang. 
Sejak hari itu, Dato’ Areez Marteen menjadi lelaki yang berbeza. Sifatnya yang dulunya sekadar pendiam kini bertukar menjadi dingin dan tidak mempedulikan orang sekeliling. 
Baginya, cinta hanyalah satu bentuk kelemahan. 
Bagi Dato’ Areez, setiap perempuan yang mendekatinya pasti mempunyai kepentingan tersendiri. 
Sama ada mengejar harta, pangkat atau nama. Justeru, dia membina tembok yang tinggi dan kukuh… Berjanji dalam hati bahawa tidak akan ada sesiapa pun yang berpeluang melukakan hatinya lagi, buat kali kedua.
Hari demi hari berlalu dan hidupnya kembali teratur mengikut jadual yang ketat. Kerja menjadi pelariannya dan kesibukan menjadi penenang kepada luka yang belum sembuh sepenuhnya. 
Bagi orang luar, dia adalah lelaki yang sempurna, kaya dan berkuasa. Malahan, tiada apa yang kurang. Namun, hanya dia sendiri yang tahu betapa sunyinya hidup. Mungkin… Tidak akan pernah ada cinta untuk aku. Bisik Dato’Areez Marteen perlahan pada diri sendiri. Semua yang datang hanya gilakan harta dan statusnya. 
Dia memandang bayangannya di tingkap kaca. Kelihatan seorang lelaki yang kelihatan kuat, tetapi sebenarnya sangat takut untuk jatuh cinta lagi.
Tiada lagi ruang untuk pengkhianatan. Tiada lagi ruang untuk rasa percaya. Biarlah hati ini kekal begini. Lebih baik dingin dan sunyi, daripada membuka ruang dan kemudian dilukai sekali lagi. Bisiknya perlahan dan suaranya hanya bergema di dalam ruang sunyi ini. 
Walaupun, Dato’ Areez telah memutuskan untuk menutup pintu hati untuk selamanya. Namun, takdir datang tanpa disangka. 
Tidak lama lagi, takdir akan membawanya bertemu dengan seseorang yang datang bukan dengan niat untuk mengambil kesempatan. Tetapi hanya membawa kesederhanaan dan kebahagiaan… 
Seseorang yang tanpa disedari, akan mula meresap masuk ke dalam celah-celah tembok yang dibina dan secara perlahan-lahan mengubah segala keyakinan yang sudah dipegang teguh selama ini.
Dan pada ketika itu, dia belum tahu bahawa pertemuan itu bukan sekadar kebetulan. Ia adalah permulaan kepada satu kisah baharu yang akan menguji semula apa itu cinta, kesetiaan dan sama ada hati yang sudah membeku itu masih mampu berdenyut sekali lagi. Kerana gadisnya kini berbeza… Haura Irani. 


TEASER 3
Hari ini merupakan hari pengumuman keputusan STPM. Haura sendirian datang ke sekolah. Tidak ditemani Mama atau Pak Ngah. Haura, okey. Sebagai anak angkat dalam keluarga Hajah Amna… Haura tidak meminta sesuatu yang melebih-lebih. Kasih sayang yang selama ini mereka pamerkan pun sudah cukup banyak.
Lagipun, Mama dan Pak Ngah… Masing-masing sibuk dengan tanggungjawab yang lebih penting.
Haura duduk diam di kerusi sambil cuba bertenang. Berdebar-debar sungguh Haura. Tapi bukan Haura seorang sahaja yang berperasaan sebegini. Boleh dikatakan kesemua yang mengambil STPM ini… berdebar. Malahan, pihak sekolah termasuk guru-guru dan Pengetua juga turut berdebar. 
Normal.
Pengisian pihak sekolah pada hari pengumuman ini agak padat dengan pelbagai taklimat. Selain itu, ada banyak booth-booth promosi daripada pelbagai ipt yang menawarkan pelbagai program. 
Teruja Haura melihat flyers dan brochures mereka. Tak sabarnya nak masuk universiti. 
Suara rakan-rakan bergema di pekarangan sekolah sebaik sahaja keputusan STPM diumumkan. 
Haura juga ada menggunakan aplikasi dalam talian untuk mengetahui keputusan STPMnya. Masa menunjukkan pukul 10 pagi dan tibalah masanya… Berpeluh dahi dan ketiak.
Berdebar-debar Haura mahu melihat skrin telefon bimbitnya.
“Haura! Kau dapat berapa pointer?” Soal Atifa. 
Haura memandang skrin telefon bimbit di tangannya berkali-kali. Tangannya menggigil. Air mata Haura, akhirnya gugur juga.
“Alhamdulillah…” Luah Haura Irani dengan nada syukur dan lega.
Haura menekup mulut. Dadanya berombak menahan sebak. Keputusan yang diimpikannya selama ini benar-benar menjadi kenyataan.
Keputusan cemerlang. Sangat cemerlang.
“Haura!” jerit sahabatnya, Syifa.
Atifa dan Syifa terus memeluknya selepas sama-sama melihat ke skrin telefon bimbit Haura.
“Aku tahu kau boleh! Aku tahu!” Luah Atifa girang.
Haura tersenyum sambil mengesat air mata.
“Lepas ni kau mesti dapat sambung ke IPT terbaik dengan biasiswa…” Kata Atifa lagi.

Syifa mengangguk laju.

“Itulah impian aku.” Luah Haura pula.
Haura ketawa kecil. Dalam fikirannya mula melakar pelbagai impian.
Universiti. Ijazah Sarjana Muda. Kehidupan kampus.
Haura tak mengimpikan universiti swasta kerana Haura tak mahu menyusahkan Mama atau Pak Ngah. Haura hanya berdoa agar nanti dirinya mendapat tempat di universiti awam. 
Dia mahu menjadi orang berjaya.
Dia mahu mengubah hidup.
Dia mahu membalas jasa Mama dan Pak Ngah yang telah membesarkannya sejak berusia lima tahun. Walaupun bukan darah daging sendiri, wanita itu sanggup menjaganya selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan.
Selama tujuh belas tahun… Wanita itu menjadi satu-satunya insan yang dipanggil mama. Walaupun, hanya sekadar Mama angkat tetap juga Engku Amna memberi impak dalam kehidupan Haura Irani. 
“Mama kau mesti bangga…” Kata Atifa dengan senyuman.
Syifa turut mengangguk tanda mengiyakan ayat tersebut.
Haura juga mengangguk perlahan, “Harapnya begitulah…”
Jauh di sudut hati, Haura memang benar-benar berharap agar hari ini menjadi hari paling menggembirakan dalam hidup mereka.
Mama pasti tersenyum. Mama pasti bangga. Mama pasti mengizinkannya menyambung pelajaran.
Dengan hati yang berbunga-bunga, Haura memandu cermat. Kereta yang dipandu oleh Haura ini merupakan hadiah daripada Pak Ngah Badri. Sempena meraikan kejayaan Haura kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Hmm, kali ini agaknya apa pula hadiah Pak Ngah? Kembang berbunga hati Haura.
Sepanjang perjalanan, dia tidak berhenti tersenyum.


TEASER 4
Slip keputusan itu dipandang berkali-kali. Jarinya mengusap perlahan setiap aksara dan angka yang tercetak. Ini untuk ibu juga… Bisik Haura perlahan kepada arwah ibu kandungnya. Haura tak ingat bagaimana wajah ibunya tapi dengan gambar yang Mama bagi… Haura dapat mengenal susuk wajah ibu kandungnya. Ibu kandungnya Warda merupakan sahabat baik Mama atau lebih dikenali dengan gelaran Engku Amna.
Rindu. Rindu sangat pada arwah ibu dan ayah kandungnya. Teringin sangat nak bertemu. Tapi sudah suratan… Kedua-dua ibu dan ayahnya meninggal dunia di saat Haura masih kecil.
Jika arwah masih ada, pasti mereka akan tersenyum bangga. 
Kereta yang dipandu oleh Haura memasuki pekarangan rumah Engku Amna. Tersergam indah. Banglo mewah yang sederhana besar. Berkali-kali Haura bersyukur kerana dijadikan anak angkat di rumah ini. Jika tidak, pasti tempat Haura tercampak ke Rumah Anak Yatim. Melalui Mama, Haura dapat tahu yang arwah ibu dan ayahnya juga merupakan anak yatim piatu dan membesar di Rumah Anak Yatim.
Haura keluar dari kereta sambil memeluk fail biru yang menyimpan keputusan STPMnya.
Langkahnya pantas. Haura sudah membayangkan perbualan dengan mama.
Suara mama kedengaran lantang dari dapur.
Haura melangkah masuk ke ruangan dapur.
“Mama…” Panggil Haura lembut dengan senyuman manis.
Wanita berusia lima puluh lima tahun itu sedang memegang secawan kopi panas dengan wajah masam.
Engku Amna langsung tidak memandangnya. Hati haura sedikit terguris.
Haura tetap tersenyum lebar, “Mama tengok ni.”
Haura menghulurkan slip keputusan, “Mama… Haura dapat keputusan terbaik.”
Wanita itu menyambutnya tanpa banyak reaksi.
Sekali pandang. Dua kali pandang. Kemudian diletakkan begitu sahaja di atas meja.
“Hmm.” Luah Engku Amna.
Hanya itu. Senyuman Haura perlahan-lahan pudar.
“Baguslah.” Sambung Engku Amna lagi.
Nada itu terlalu dingin. Tiada ucapan tahniah. Tiada pelukan. Tiada senyuman.
Haura cuba memujuk hati. Mungkin Mama penat. Tapi pelik… Sebab Mama jarang begini dengan Haura. Selalunya Mama seorang yang penyayang. Malahan, Haura juga pelik kerana hari ini Mama tak mahu menemani Haura ke sekolah. Pak Ngah juga. Sejak kebelakangan ini seolah-olah mencipta jarak dengan Haura.

“Mama…” Panggil Haura lembut.
“Apa lagi?” Soal Hajah Amna senada.
“Haura nak minta izin…” Kata Haura berhati-hati.
Engku Amna akhirnya memandang tepat ke wajah Haura.
“Izin apa?” Soal Engku Amna.
“Haura nak sambung belajar…” Kata Haura penuh pengharapan.
Belum sempat dia menghabiskan ayat...
“Mama tak izinkan…” Kata Engku Amna dan jeda.
Haura terkedu, “Ma… Mama…”
“Tak payah sambung belajar. Mama dah buat keputusan…” Engku Amna jeda lagi.
“Tapi mama…” Haura sendiri sedikit terkejut mendengar kata-kata Mama.
Dunia Haura terasa berhenti berputar, “Mama... kenapa?”
Wanita itu meletakkan cawan kopinya ke atas meja.
“Hujung bulan ni Haura nikah.” Kata Engku Amna tegas.
Haura membulatkan mata, “Ni... nikah?”
“Ya.” Jawab Engku Amna ringkas.
“Dengan siapa?” Soal Haura cuba memberanikan diri untuk bertanya.
Takkan nak diam. Ini hal paling besar dalam kehidupannya.
“Pak Ngah.” Jawab Engku Amna.
Fail di tangan Haura terlepas lalu jatuh ke lantai, “Pa... Pak Ngah?”
“Ya.” Jawab Engku Amna lagi.
Haura terkejut. Terdiam beberapa saat. Cuba berfikir dengan waras. Namun, air mata Haura terus mengalir. Logik apakah ini? Gurauan? Mimpi? 
“Mama… mama bergurau kan?” Soal Haura lagi.
“Aku tak ada masa nak bergurau.” Kata Engku Amna dengan wajah ketat dan tegang.
“Tapi... Pak Ngah tu...” Haura jeda pula.
“Kenapa dengan dia?” Soal Engku Amna sambil merenung tajam ke wajah Haura.
“Dia... dia jauh lebih tua daripada Haura…” Kata Haura perlahan.
“Jadi?” Soal Engku Amna sepatah.
“Dia, adik aku. Dia lelaki baik. Dia mampu jaga kau...” Luah Engku Amna lagi.

“Tapi mama…” Haura cuba membantah dan mencipta alasan.
Tapi otak Haura rasa tepu. Haura menggeleng berkali-kali.
“Tak... tak... Haura tak boleh…” Kata Haura lagi.
Mana mungkin Haura bersetuju. Selama ini, Haura hanya menganggap Pak Ngah sebagai bapa saudaranya. Walaupun, hanya bapa saudara angkat kerana Pak Ngah Badri tu adik kandung Mama… Tapi Pak Ngah tetap susuk lelaki yang Haura hormat dan menganggapnya sebagai lelaki yang tak patut Haura nikahi.
“Haura nak sambung belajar.” Kata Haura lagi.
“Boleh sambung belajar jika Engku Badri izinkan. Yang pastu, jadi isteri Engku Badri dahulu… Hal yang lain, bincang kemudian...” Sambung Engku Amna lagi.
Haura mengeluh, “Mama… Itu Pak Ngah. Haura dah anggap macam Pak Ngah kandung Haura sendiri. Sekarang ini, Haura nak sambung belajar. Bukan nak kahwin…”
Engku Amna menoleh ke arah Haura, “Mama kata tak perlu!”
Suara wanita itu meninggi.
Haura sudah menangis tersedu-sedu.
“Mama... tolonglah…” Kata Haura cuba meraih simpati.

TEASER 5
Hati Mama keras macam batu!
“Mama dah besarkan kau. Aku bawa kau ke rumah ini. Besarkan kau dengan sempurna. Bagi kasih sayang. Bagi kemewahan. Bagi kau bersekolah. Bagi kau jadi pandai begini. Tapi sekarang satu aje aku minta daripada kau… Jadi isteri Engku Badri.” Luah Mama dengan nada yang lebih tegas.
Haura terus diam. Ayat itu menikam jantungnya. Setiap patah perkataan membuatkan kepala Haura semakin tertunduk.
Haura terduduk di kerusi yang berada dekat dengannya.
“Anggap sahaja, kau sedang membalas budi. Aku tak minta apa-apa. Aku cuma nak kau jadi isteri Engku Badri.” Kata Engku Amna lagi.
Haura menangis teresak-esak, “Mama… Haura memang nak balas budi. Tapi bukan dengan cara begini.”
Engku Amna merampas slip keputusan STPM yang berada di atas meja.
Haura segera menghampiri, “Mama jangan…”
“Sebab keputusan ini, kau berani lawan cakap aku?” Soal Engku Amna geram.
“Tak!” Balas Haura laju.
Haura cuba berkompromi, “Mama… itu hasil usaha Haura…”
Krakkk!
Belum sempat Haura menghabiskan ayat… Slip keputusan itu dikoyakkan tepat di hadapan matanya.
“Mama!” Haura menjerit.
Air mata Haura semakin deras, “Mama jangan!”
Kertas itu dikoyak lagi. Dan lagi. Sehingga menjadi cebisan kecil.
Haura jatuh melutut. Tangannya cuba mengutip cebisan-cebisan itu.
“Mama…” Suara Haura sudah hilang.
Impian Haura untuk ke menara gading ibarat mimpi yang hilang selepas terbangun daripada tidur. Haura memandang cebisan slip keputusan STPMnya.
Segala penat lelahnya.
Segala usahanya.
Segala malam yang dihabiskan dengan buku.
Semuanya seolah-olah musnah dalam sekelip mata.

Ketika itu terdengar bunyi enjin kereta yang berhenti di halaman luar rumah. Kereta Pak Ngah.
“Assalamualaikum.” Kata Pak Ngah sambil melangkah masuk.
Jujurnya, Engku Badri tergesa-gesa pulang mahu bertemu Haura untuk mengetahui keputusan STPMnya.
Wajah lelaki yang berusia empat puluh satu tahun itu berubah sebaik melihat Haura menangis di lantai.
“Kenapa ni?” Soal Engku Badri.
Engku Amna menjawab tenang, “Aku dah beritahu dia pasal nikah.”
Pak Ngah menghela nafas panjang. Dia memandang Haura yang sedang mengutip cebisan keputusan STPM.
“Haura…” Panggil Engku Badri.
Haura langsung tidak memandang.
“Boleh kita bincang elok-elok?” Pak Ngah bersuara perlahan kepada kakaknya.
“Tak ada apa nak bincang.” Balas Engku Amna.
“Tapi Haura baru dapat keputusan. Sepatutnya, kita meraikan dahulu. Bukan mematahkan semangat dia. Kehidupan dia masih panjang kak…” Kata Engku Badri lembut.
“Aku dah buat keputusan.” Kata Engku Amna tanpa sedikit pun memandang ke wajah Haura atau Engku Badri.
“Biar dia fikir dulu.” Kata Engku Badri tenang lagi.
“Tak perlu.” Balas Engku Amna pula.
“Dia masih muda.” Kata Engku Badri sambil merenung ke wajah Haura.
Haura masih tunduk dan menahan esakannya.
“Bagi dia sambung belajar dulu…” Kata Engku Badri.
Haura mendongak. Matanya merah. Buat pertama kali ada seseorang mempertahankannya.
Namun… Engku Amna terus menghentak meja.
“Tak!”
Engku Badri terdiam. Hilang kosa kata. Engku Amna jika mengamuk memang begini. Engku Badri sendiri tak mampu nak memujuk. Selama inipun, Engku Badri sendiri banyak terhutang budi dengan kakak kandungnya, Engku Amna. 
“Kau sendiri pernah cakap nak kahwin. Lagipun, usia kau tu bukan muda lagi. Aku dah lama sabar dengan alasan kau selama ini. Asyik nak bertangguh sahaja. Sampai bila? Sampai kau tak boleh nak bagi pewaris juga? Macam aku? Ingat Badri, kita perlukan pewaris… Aku nak Haura jadi pewaris sah dan aku nak Haura yang bakal melahirkan penyambung keturunan kau. Kau dah janji Badri. Aku cuma tuntut janji kau. Aku dah mudahkan urusan… Haura dah tahu. Jadi, jangan nak berdalih lagi. Kau tetap akan jadi suami Haura pada hujung bulan ini.” Kata Engku Amna panjang lebar.
Haura merangkak menghampiri Engku Amna. Dia memegang hujung blouse Engku Amna.
“Mama… Tolonglah. Haura rayu sangat. Haura nak sambung belajar.” Kata Haura dengan nada tersekat-sekat.
“Jangan menangis depan aku. Airmata kau takkan mengubah keputusan aku. Aku sayang kau, Haura. Sayang sangat. Aku hanya mahu kau jadi sebahagian daripada keluarga aku. Aku harap kau dapat balas segala jasa dan pengorbanan aku membesarkan kau. Kahwin dengan Engku Badri… Aku yakin, Engku Badri akan izinkan kau sambung belajar…” Kata Engku Amna.
Haura terdiam. Haura terasa seperti seluruh impiannya musnah. Cita-citanya menjauh.
Ayat itu lebih menyakitkan. Dia memang terhutang budi. Mama yang membesarkannya. Mama yang memberinya makan. Mama yang menghantarnya ke sekolah. Mama yang menjaganya ketika sakit. Bagaimana mungkin dia mampu melawan?
Tetapi…
Bagaimana pula dengan impiannya? Bagaimana dengan masa depannya? Bagaimana dengan cita-cita yang baru sahaja terasa begitu dekat? Dia memandang cebisan-cebisan keputusan STPM di atas lantai.
Air matanya menitis tanpa henti.
Pak Ngah hanya mampu menghela nafas panjang. Wajah lelaki itu jelas serba salah. Dia sendiri tidak menyangka keputusan itu dibuat tanpa persetujuan Haura. Namun setiap kali dia cuba membuka mulut, kakaknya akan mematikan segala ruang untuk berbincang.
Suasana menjadi hening. Hanya bunyi tangisan halus Haura yang masih kedengaran.
Di luar rumah, matahari petang masih bersinar indah. Tetapi bagi Haura, hari yang bermula dengan senyuman dan seribu impian itu berakhir dengan kekecewaan. sebuah keputusan yang memusnahkan seluruh masa depannya. Lebih menyakitkan Haura tidak tahu sama ada dirinya masih mempunyai kekuatan untuk mempertahankan impian itu… Atau sekadar menurut demi membalas budi wanita yang telah membesarkannya sejak kecil.


MR KOCI MISS MISI

 


BLURB MR. KOCI & MISS MISI
Cabaran senior itu mudah... Perlu menawan hati Kaer Salimin. Lelaki yang digelar Mr. Koci. Dikenali sebagai seorang lelaki yang berhati beku, kasar dan sukar ditakluki hatinya. Bagi Nellydia atau Miss Misi pula, ini adalah satu cabaran yang perlu untuk dia hadap untuk survive di kolej ini. 
Nellydia tidak mahu dibuli. Apatah lagi, kolej ini merupakan kolej elit yang para pelajarnya majoriti merupakan anak-anak orang kaya. Nellydia? Hanya anak kepada orang gaji sahaja. Tak mungkin sekufu dengan mereka semua. 
Dengan seketul kuih koci buatan air tangan sendiri, Nellydia perlahan-lahan meruntuhkan tembok pertahanan Mr. Koci. 
Tapi rahsia terbongkar dan kemarahan Mr. Koci meletus. Dia rasa ditipu dan rasa dipermainkan.
Hinggalah satu kemalangan mengubah segalanya. Nellydia sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkannya. Sejak hari itu, lelaki berhati besi berubah sepenuhnya menjadi lelaki yang sopan tutur katanya apabila berdepan dengan Nellydia. Prihatin dan sentiasa menjaga keselamatan Nellydia. Hingga kadangkala, Nellydia pula yang rimas.
Dalam pada itu, takdir juga belum mahu memudahkan jalan. Sebaik sahaja cabaran tamat dan cinta mereka berputik indah.
Nellydia hilang tanpa pesan dan tanpa jejak.
Membiarkan Mr. Koci hancur luluh. Kecewa, terluka dan rasa tercabar.
Lima tahun kemudian, mereka bertemu semula. Mr. Koci terkenal dengan gelaran bintang bola sepak negara yang kacak dan berbakat. Nellydia pula bekerja sebagai jururawat di hospital yang menaja pasukan bola sepak yang disertai Mr. Koci.
Pertemuan yang tak disangka itu mengundang dendam lama yang kembali membara.
Tapi hati masih menyintai...
Salah faham dan ujian perasaan menyusul bertalu-talu. Kali ini, giliran Mr. Koci pula yang beraksi di pentas hati. Misi memikat Nellydia dan apabila terpikat Mr. Koci mahu melakukan perkara yang sama. Mematahkan hati yang tulus menyintai.
Mungkinkah dendam mengubah hati?
Adakah cinta yang bermula dengan cabaran akan berakhir dengan perpisahan? Adakah kisah yang bermula dengan helah akan berakhir dengan bahagia? Atau kuih koci itu sememangnya jambatan takdir yang menyatukan dua hati yang dicipta untuk bersama?



TEASER 1
Bunyi ketawa yang bergema di kafeteria kampus itu seakan tidak berkesan pada Nellydia. Dia duduk di sudut meja, jari jemari memetik hujung buku nota sambil mendengar dengan separuh hati arahan seniornya, Kak Ju a.k.a Juna binti Kohar.
"Kau mesti dapatkan hati dia, faham tak?" suara Kak Ju tegas. 
Matanya merenung tajam ke arah lelaki yang duduk sendirian di hujung koridor. 
"Siapa saja perempuan yang cuba dekat dengan dia, semuanya ditolak kasar. Aku nak kau pikat dia habis-habisan. Kemudian, tinggalkan dia!" - Juna
Lelaki yang dimaksudkan itu adalah Kaer Solimin, atau Mr. Koci. Badannya tegap dan berkulit sawo matang. Rambut hitamnya tersisir rapi namun sedikit berantakan di bahagian dahi. Kacak!
Tapi yang paling menonjol ialah matanya yang tajam dan wajahnya yang dingin. Dia tidak pernah tersenyum, jarang bercakap dan setiap kali ada yang cuba menyapa... Jawapannya selalu ringkas dan kasar.
"Kenapa saya, Kak Ju? Ramai lagi perempuan lain yang lebih pandai berbicara, lebih cantik daripada saya dan lebih teruja untuk mendekati dia..." - Nellydia
“Sebab itu, kau yang paling sesuai. Sudahlah, aku tak mahu alasan. Buat aje. Kau buat, aku gerenti kehidupan kau kat kolej ini... Akan tenang-tenang aje.” – Juna
Pelik aje, selalunya kalau berjaya memikat pelajar lelaki paling kacak dan berbakat di kampus akan dibenci oleh pelajar-pelajar perempuan yang sememangnya ada hati pada lelaki gred A sebegini. Ini terbalik pula!
Boleh pakai ke formula dan fakta si Juna ini? Terima, menyusahkan aku. Tak terima? Lagi menyusahkan. Nellydia menarik nafas panjang.
“Saya setuju. Lagipun, saya tak ada pilihan dah. Tolak pun tetap dipaksa juga.” – Nellydia
Maka, bermulalah misi memikat Mr. Koci. Plan yang selalu tak jadi. Di tolak hingga memalukan diri. Tapi Nellydia pula yang tekad. 


TEASER 2
"Kau makan aje, tak tahu siapa hantar," - Ilman "Mana tahu ada orang yang suka pada kau tapi tak berani cakap." - Adam
Kaer menggeleng perlahan, menelan kuih di mulutnya sebelum menjawab dengan nada tenang namun tegas.
"Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Kalau ada orang yang nak bagi, terima saja. Tak perlu cari masalah untuk tahu siapa dia." – Mr. Koci / Kaer
"Tapi kalau itu orang yang baik?" - Iman 
"Kau tak rasa pelik ke? Orang lain cuba dekat dengan kau, kau tolak kasar. Tapi kuih ini datang tanpa nota, kau terima tanpa banyak soal. Entah-entah datang sekali dengan ilmu pengasih." – Adam
Tersembur habis kuih koci yang dimakan Kaer apabila mendengar kata-kata Adam itu.
“Kau ini... spoil ler! Boleh tak jangan banyak bunyi. Kuih ini sedap kot. Lagipun, aku tahu... Siapa yang hantar.” – Mr. Koci / Kaer
Tercengang-cengang Ilman dan Adam memandang wajah Kaer.
Senyuman tu... Senyuman itu paling menakutkan. Senyum ada makna tersirat. Meremang pula Ilman dan Adam. Moga hal yang baik-baik sahaja yang berlaku.



TEASER 3
Suatu hari selepas kuliah tamat, Kaer menghampiri Nellydia yang sedang menyusun buku yang selesai digunakannya di rak perpustakaan. 
Langkahnya penuh pesona hingga beberapa pasang mata yang ada di situ turut mencuri pandang ke arahnya.
Riak wajah dingin dan menggerunkan.
Terkebil-kebil Nellydia apabila Kaer mendekatinya diam-diam begitu. Nellydia memandang di sekelilingnya. Ada beberapa kumpulan pelajar yang sudah mula bergosip tentang mereka.
Nellydia menarik Kaer ke belakang rak buku yang sedikit terlindung.
“Awak buat apa kat sini?” -Nellydia
“Aku nak kau jadi pom pom girl aku untuk pertandingan Sabtu ini.” - Mr. Koci / Kaer
“Apa? Pompom girl? Kau mimpi ngeri erh, malam tadi?” – Nellydia
“Aku arahkan kau. Bukan bagi pilihan.” - Mr. Koci / Kaer
"Mulai esok, kau datang ke padang setiap petang pukul empat. Kau akan jadi pompom girl aku. Ingat Nelly. Pompom girl aku... Petang ni, datang awal. Aku nak kau rehearsal dulu. Jangan pula nanti kau memalukan aku waktu pertandingan persahabatan tu nanti." - Mr. Koci / Kaer
Nellydia terkejut sehingga buku di tangannya hampir jatuh. 
"Mana saya tahu nak buat benda tu?" – Nellydia
“Kau nak sangat pikat aku, kan? Buktikanlah kesungguhan tu. Kalau aku menang, kau juga yang dapat nama nanti. Jumpa kau petang ni. Jangan lambat. Jangan tak datang pula. Aku serbu rumah sewa kau tu nanti...” - Mr. Koci / Kaer
Tanpa menunggu jawapan Nellydia, dia berpaling dan melangkah pergi. 
Nellydia terkebil-kebil memandang figura Kaer.  Tidak faham mengapa dia yang dipilih sedangkan ramai lagi gadis yang berminat menjadi pompom girl lelaki itu. Lantaklah! Kau nak sangat kan? Baik. Aku sedia berjuang. Jangan kau pula yang pengsan nanti.


TEASER 4
Kaer melangkah laju menghampiri Nellydia. Tangannya mencengkam lengan gadis itu dengan kuat. 
"Kau nak lari ke mana? Dah puas permainkan aku?" - Mr. Koci / Kaer
Nellydia terkejut. Dia tak mampu menafikannya. Dia hanya mengangguk perlahan dengan mata yang sudah berkaca. 
"Maafkan saya." - Nellydia
“Maaf? Lambat lagi aku nak maafkan kau. Kenapa kau bodoh sangat terima cadangan Juna dan ahli kelab bodoh dia tu?” - - Mr. Koci / Kaer
"Tak, bukan macam tu! Dengar dulu penjelasan saya!" rayu Nellydia dan cuba melepaskan tangannya daripada cengkaman Kaer.
"Tak perlu! Aku tak nak dengar apa-apa lagi!" Kaer melepaskan lengan Nellydia dengan kasar sehingga gadis itu hampir terjatuh. 
Terkejut dan terkedu Nellydia. Memang muka Kaer tu garang. Tapi sebelum ini, Kaer tak pernah berkasar begini dengannya.
"Jangan harap aku akan maafkan kau. Ingat Nellydia. Mulai hari ini... Kau kena ikut semua arahan aku. Alang-alang kau berani terima cabaran dorang. Sekarang, hadap perangai aku. Nak sangat bercinta dengan aku? Silakan..." -- Mr. Koci / Kaer
Senyuman sinis dan renungan tajam Kaer tu buat jantung Nellydia berdebar-debar. Bala apa lagi yang bakal muncul? Letihlah nak hadap perangai lelaki ini.
“Sekarang ikut aku. Kita makan di kampus. Senyum sikit. Kata bercinta... Takkan nak pamer muka macam janda kematian suami pula. Aku ada aje depan mata ini.” - Mr. Koci / Kaer
Nellydia terduduk di tempatnya. Dia tahu dia sepatutnya memberitahu kebenaran dari awal, tapi dia takut Kaer akan menolaknya. Dan misi Nellydia, gagal. Pasti kehidupannya takkan tenang.
Tapi sekarang ini, tenang ke?
“Apa lagi tu? Berangan? Atau menyesal?” - Mr. Koci / Kaer
Nellydia menjeling. Mulut dia ini kan memang minta kena cabai tau. Berani ke?
Terkulat-kulat Nellydia mengikut langkah Kaer. Terima sahajalah apa yang bakal dilakukan oleh Kaer. Asalkan tak menyalahi hukum Allah. Dia buat benda tak elok, aku tumbuk muka kacak dia itu. Biar herot!



Wednesday, July 22, 2026

KasihkuAmani: ebook | Ritma Yang Tertulis Takdir oleh Dalia Maritza

KasihkuAmani: ebook | Ritma Yang Tertulis Takdir oleh Dalia Maritza: Assalamualaikum.. Hye semua.. Bila baca novel ini kan memang terasa kesian pada mereka yang bergelar penyanyi ini tambahan pula yang memilik...