Friday, October 17, 2025

FULL TEASER DAMAI BERSAMA BINTANG

 

FULL TEASER 01

Ashdaq Emry termangu sendiri sambil memandang ke langit malam. Bintang terang dan kecerahan bulan tidak mampu menunjuk jalan. Ibarat mata dibutakan dek kecantikan gadis yang dicintai Ashdaq dalam diam.

Malahan, hati juga telah buta hingga jiwa sedikit menderita. Jika dibiarkan terlalu lama, perasaan ini boleh menular ke segenap ruang jiwa. Pengakhirannya, Ashdaq pasti dirinya yang akan lebih terluka.

Tidak dinafikan, Ashdaq lelaki sejati yang telah berjaya membina kehidupan yang selesa.

Walaupun, telah kehilangan ahli keluarganya secara serentak di usia yang terlalu muda. Namun, dirinya mampu bertatih di bumi ini sendirian dan bertahan berpaksikan kenangan.

Dalam masa yang sama, mujur ada Hadad dan keluarganya. Maka dunia Ashdaq tidaklah sepi. Ibu bapa Ashdaq dan ibu bapa Hadad merupakan sahabat baik sejak zaman sekolah. Hadad dan Ashdaq pula lahir pada bulan yang sama tetapi Hadad lahir pada awal bulan dan Ashdaq lahir di pertengahan bulan. Kedua-duanya rapat sejak kecil hingga kini. Hitam putih kehidupan Hadad disaksikan oleh Ashdaq, begitu juga sebaliknya.

Di saat, Hadad menemui cinta sejati dan dikurniakan seorang puteri. Ashdaq turut menumpang bahagia. Dirinya masih sendiri. Dia lelaki kacak yang berkarisma. Penuh pesona. Tapi, hati Ashdaq sukar untuk dicuri. Belum sempat si gadis mencuba nasib, Ashdaq terlebih dahulu menutup jalan agar tiada peluang pada harapan yang palsu. Ashdaq Emry dilabel sebagai lelaki beku.

Ada rasa sunyi. Namun, kesunyian tu terubat dengan kehadiran puteri tunggal Hadad. Anak kecil itu, sentiasa memekarkan senyuman di wajah Ashdaq.

Malahan, Ashdaq seringkali membawa anak kecil tu bermain dan berbasikal di taman. Selalu juga dibawa anak perempuan itu ke shopping complex untuk dibelikan mainan dan baju baru.

Shadhia Hadad... Si kecil yang comel ini merupakan bintang hati Ashdaq. Yang sentiasa memekarkan senyuman Ashdaq.

Semakin menginjak dewasa semakin cantik dengan telatah manjanya. Ashdaq pernah mewakili Hadad ke sekolah Shadhia untuk mengambil laporan prestasi Trial SPM Shadhia pada majlis Diskusi Ibu Bapa dan Guru di sekolah. Waktu tu, Shadhia berusia tujuh belas tahun. Itu juga merupakan kali terakhir Ashdaq bertemu mata dengan Shadhia.

Flashback...

Uncle. Papa mana?”soal Shadhia dengan nada merajuk.

“Papa ada di hospital. Nek Jah jatuh bilik air. Tapi Sha jangan risau, Nek Jah dah dipindahkan ke wad biasa. Petang nanti, Papa Sha bawa Sha melawat Nek Jah.” Balas Ashdaq lembut.

Ashdaq menepuk bahu Shadhia lembut.

“Papa Sha bukan tak nak datang. Tapi memang ada kecemasan. Lagipun, Uncle kan ada ni...” Pujuk Ashdaq.

Berkerut dahi Shadhia memandang Ashdaq. Jujurnya bukan Shadhia marahkan Papa sebab tak datang. Tapi hati Sha sakit sebab Wariq. Teman lelaki Shadhia sejak di tingkatan dua. Kejap bercinta. Kejap putus. Semua tu sebab sikap Wariq yang suka melayan perempuan. Wariq dan buaya darat dah memang satu nama. Gatal.

Tapi sekarang ini, Shadhia cuba mengalihkan kemarahannya kepada Ashdaq Emry pula.

Shadhia merenung wajah Ashdaq.

Ini lagi sorang manusia yang boleh buat jiwa Shadhia kacau. Sampai otak Shadhia pun bercelaru.

“Tahu tak, kawan-kawan Sha semua ejek Sha tadi. Mereka kata, orang lain suruh Papa atau Mama yang datang untuk sesi diskusi parents dan guru. Tapi Sha bawa boyfriend pula.” Luah Shadhia bengang.

“Hah?” Ashdaq blurr.

Tunak mata Ashdaq memandang ke wajah Shadhia.

Uncle tu la... Orang... Lain kali bila datang sekolah. Pakailah proper macam orang dewasa. Formal dan nampak berkarisma. Tapi Uncle datang sini pakai hoodie dengan seluar sukan paras lutut, siap berkaca mata hitam. Pakai  headphone lagi kat kepala. Naik Kawasaki Versys pula tu. Dah semua orang salah sangka. Cikgu siap call  papa lagi tadi untuk mengesahkan status Uncle tu. Memalukan.” Luah Shadhia geram.

Ternganga Ashdaq mendengar penjelasan Shadhia.

“Okey. My mistake. Uncle minta maaf. Tapi waktu Papa Sha telefon Uncle tadi. Uncle memang tengah joging. Tak sempat nak tukar baju.” Kata Ashdaq tenang.

Entah mengapa, melihat riak mendung pada wajah Shadhia buat jiwa Ashdaq tak tenteram.

“Ni, Uncle suruh Sha balik dengan Uncle. Nak kena naik benda ni ke?” Soal Shadhia sambil memerhati motosikal berkuasa tinggi milik Ashdaq.

“Sha okey ke? Kalau tak okey, kita ambil grab. Uncle follow belakang.” Balas Ashdaq.

Shadhia diam.

Ashdaq dah capai telefon bimbit di kocek hoodienya. Untuk menempah grab memang lebih mudah jika menggunakan apps.

Namun, Ashdaq terkedu apabila Shadhia merampas telefon bimbitnya.

“Siapa kata tak okey? Sha okey aje naik motosikal ini. Sha teruja juga nak naik motor besar dengan pak we Sha. Alang-alang gosip dah menular. Baik Sha jadi aktress terpaling hebat.” Balas Shadhia sambil memeluk lengan Ashdaq.

Selamba juga Shadhia menjatuhkan kepalanya ke bahu Ashdaq sambil tangan kanan memeluk pinggang Ashdaq pula. Mujur di luar kawasan sekolah.

Ashdaq cuak.

“Sha...” Ashdaq jeda.

Uncle. Silent please. Help me to convince someone that I have spare tyre.” Luah Shadhia dengan nada serius.

What? Spare tyre? Aku... Ashdaq Emry. Spare tyre dia? Luar alam betul pemikiran anak dara Hadad ni.

Belum sempat Shadhia memanjat motosikal besar tu, datang seorang remaja lelaki menghampiri Shadhia dan Ashdaq.

“Dhia. Jangan nak cuba cuba jadi bohsia pula.” Luah Wariq lantang.

Berkerut dahi Ashdaq mendengar kata-kata remaja lelaki tu. Nak aje Ashdaq tumbuk muka tu.

Shadhia buat dono. Bahu Ashdaq dipegang erat. Shadhia terus panjat motosikal dan duduk rapat di belakang Ashdaq.

“Dhia...” Jerit Wariq kuat.

Wariq mahu menarik lengan Shadhia namun Ashdaq dah menepis tangan Wariq.

“Jalanlah. Duk layan mamat meroyan ini buat apa.” Tempelak Shadhia lantang dengan nada kasar.

Sempat Shadhia menepuk bahu Ashdaq perlahan.

Ashdaq tak tunggu lama. Terus pulas minyak.

Sepanjang perjalanan, Ashdaq tak selesa sebab Shadhia memang memeluk erat belakang tubuhnya. Malahan kedua-dua tangan Shadhia dah berada di pinggang Ashdaq.

Perasaan apa yang menular di jiwanya ini? Ashdaq cuba bertenang.

Sampai sahaja di rumah, Shadhia terkial-kial mahu membuka helmet. Ashdaq bantu.

Ashdaq terkedu melihat airmata yang masih bersisa pada wajah Shadhia.

“Sha... Kenapa Sha menangis?”soal Ashdaq prihatin.

“Huh, entahlah tak tahu kenapa hati ni rapuh sangat. Lelaki macam tu juga yang disuka dan disayang. Tapi hari ni Sha puas sebab dapat sakitkan hati dia pula. Biar dia yang menggila sebab cemburu buta.” Balas Shadhia sambil mengesat airmata yang tersisa.

Ashdaq terdiam.

“Tak kisahlah apa Sha nak buat. Ni, Papa tahu tak yang Sha bercinta kat sekolah? Mujur laporan prestasi tu excellent. Jika ke laut, Uncle yang tazkirahkan Sha dulu. Then baru Papa Sha. But this is not the final. SPM tu mesti lebih baik daripada ni. Ingat Sha, pelajaran tu penting. Lagi satu, jika lelaki tu, tak memenuhi syarat imam terbaik. Tinggalkan...” Nasihat Ashdaq dengan nada celaru.

Seolah-olah, Ashdaq pula yang cemburukan Shadhia. Baru tingkatan lima dah ada teman lelaki?

Agak memalukan.

Sebab Ashdaq sampai ke hari ini, masih tak ada teman wanita. Usahkan yang the real one... Calon pun tak ada... Sedih betul.

Shadhia peluk tubuh Ashdaq. Erat. Lama. Selamba juga Shadhia membenamkan wajah ke dada bidang Ashdaq.

“Hurm... Kalau nak Sha tinggalkan dia. Uncle kena jadi calon Sha ler.” Kata Shadhia lembut.

“Calon? Calon apa pula?”soal Ashdaq blur.

Wajah Shadhia dipandang. Dalam masa yang sama, Ashdaq menarik tubuh Shadhia agar ada jarak antara mereka berdua.

“Ouh salah. Bukan calon...” Shadhia tersenyum menawan.

“Hah?” Ashdaq blurr lagi.

Uncle nak tak jadi boyfriend Sha? Selain boleh jadi imam terbaik. Uncle pun kacak...”

Kalau tak bersandar pada motosikalnya tu, Ashdaq boleh jatuh tergolek sebab lemah lutut.

“Huh. Jadi bila muka macam ni, terus approved jadi boyfriend Sha la?” Soal Ashdaq bengang.

Of course. Sha memang suka lelaki kacak ini. Sebenarnya... You are so adorable bila datang dengan penampilan macam ni. Rugi. Sebab Sha terpaksa kongsi... Uncle kacak ni kat semua orang.” Luah Shadhia sedih.

“Shadhia. Respect your Uncle, please...” Kata Ashdaq tegas.

Shadhia juling mata ke atas.

Thanks, Uncle. I love You...” Luah Shadhia lembut dan menggoda kalbu.

Shadhia tersenyum manis dan berpaling melangkah ke dalam rumah. Sempat juga Shadhia melambai-lambaikan tangan ke arah Ashdaq. Siap bagi flying kiss lagi.

Hah, sudah. Apa yang berlaku ni? Shadhia, kenapa padam garis sempadan jiwa?

Harapan palsu tu terlalu menyakitkan. Ashdaq yang bakal menderita. Dalam diam menahan rasa.

Dan sejak tu, emosi Ashdaq tak menentu. Jiwa bercelaru. Akhirnya, Ashdaq mengambil keputusan untuk terbang ke Australia dengan alasan mahu menyambung pelajarannya ke peringkat doktor falsafah. Ashdaq Emry, terus hilang dari radar Shadhia.

Bagi Ashdaq...

Mengapa mesti mempertaruhkan harapan pada sesuatu yang tak mungkin untuk digapai. Mencintai gadis yang terlalu jauh jurang usianya pasti akan dikecam oleh masyarakat sekeliling.

Jika ada yang tahu, rahsia di jiwa. Pasti Ashdaq dikatakan lelaki mental atau psiko. Jatuh cinta pada gadis bawah umur. Anak sahabat baik pula tu.

Membesar depan mata. Alih-alih, terjatuh cinta. Takkan ada yang akan percaya jika Ashdaq kata ini adalah cinta sejati.

Entah-entah ada  yang menuduhnya lelaki tak sedar diri. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Ada hati nak bercinta dengan budak sekolah yang belum sampai usia tujuh belas tahun pula. Sebelum parah dan memalukan diri sendiri, maka lebih baik Ashdaq lari membawa hati.

 

FULL TEASER 02

Kembali ke tanah air, Ashdaq Emry ditemani Nayla. Gadis yang mengejar cinta Ashdaq sepanjang Ashdaq berada di luar negara. Ashdaq masih ragu-ragu dengan hati sendiri. Tapi apabila melihat Nayla yang bersemangat dan tak pernah putus asa menawan hati Ashdaq. Maka, Ashdaq setuju untuk menikahi Nayla.

Lagipun, Ashdaq tidak mahu jiwanya terusik lagi dengan istilah forbidden love. Shadhia pun dah bahagia dan tenang-tenang aje dengan kehidupannya.

Tidak kecewa walaupun Ashdaq hilang.

Tetap hebat dan mendapat keputusan terbaik dalam SPM. Berjaya mendapatkan biasiswa JPA atau Jabatan Perkhidmatan Awam. Kini, Shadhia Hadad sedang menyambung pelajarannya di Universiti of Tokyo. Alhamdulillah. Gadis kecil tu, tetap bersinar. Membanggakan Ashdaq, Hadad dan Hajah Alijah.

Namun, berbeza dengan Ashdaq. Kisah cinta Ashdaq tetap suram. Diuji dengan pelbagai halangan. Masih silap meletakkan hati dan cinta. Sering sandarkan cinta pada perempuan yang salah.

Hari ini... Ashdaq terpaksa akur dengan takdir Tuhan.

Bahagia yang Ashdaq harap-harapkan tak berpanjangan. Tak perlu menunggu tahun berganti tahun atau bulan berganti bulan. Hari berganti hari juga terlalu lama untuk ditamatkan.

Kebahagiaan palsu ini begitu mengecewakan Ashdaq Emry. Air mata lelakinya mahu jatuh namun ditahan agar diri tak nampak lemah.

Ashdaq terduduk kaku di sofa di ruang tamu rumah mentuanya. Umi dan Abi masih merenungnya. Pak Ngah, Mak Ngah, Mak Lang dan Pak Lang serta beberapa lagi keluarga Nayla turut menfokuskan pandangan ke wajah Ashdaq.

Berat dugaan ini.

“Ceraikan I, Ashdaq. I minta maaf. I terburu-buru buat keputusan. I keliru dengan situasi. I sangka kebaikan you boleh ubah rasa cinta I daripada terus mencintai Mikael. Tapi tidak.” Pinta Nayla dengan esakan tangis yang tak berhenti sejak tadi.

Tiga jam lalu, di Masjid Ubaidullah menjadi saksi akad yang terlafaz oleh Ashdaq untuk Nayla.

Malangnya, Nayla memanggil Ashdaq ke rumah dengan tangisan menggila. Kelam-kabut Ashdaq ke rumah mentuanya.

Majlis persandingan Ashdaq dan Nayla sepatutnya berlangsung jam dua petang ini. Tinggal tak sampai sejam pun lagi.

Tapi...

“Nayla. Tak ada ruang ke untuk Ash? Kita dah sampai ke tahap ini, kenapa tak mahu mempertahankan rumahtangga kita?”soal Ashdaq lirih dan menahan getar nadanya.

Nayla menggeleng laju, “Rumahtangga tanpa cinta hanya menyakitkan dua jiwa. I tak mahu jadi isteri yang curang. Menjadi isteri you tapi hati I untuk Mikael. I tak mahu you menyimpan harapan sedangkan I tak pernah mahu bertahan. I merayu. Lepaskan I. I nak hidup dengan Mikael, bukan dengan you. Maafkan I, Ashdaq. I tahu I salah sebab I yang ajak you kahwin. I yang salah sebab memang I yang bagi harapan. Tapi... I tak sangka, Mikael setia dengan I. Dia tak pernah curang. I yang salah sangka pada dia.”

Abi merenung wajah Ashdaq, “Lepaskan anak ayah, Ashdaq. Dia tak sempurna untuk kamu. Abi yakin ada perempuan lain yang lebih sepadan untuk kamu. Abi sedih sebab kamu bukan pilihan Nayla. Tapi Abi tak mahu campur tangan atau memaksa Nayla. Abi tak mahu kamu lebih kecewa dan terluka. Cinta ini... Bahaya kalau kita tak pandai mengawalnya. Jadi macam inilah... Dah Tuhan aturkan takdirnya... Mahu menolak pula. Tapi abi anggap takdir Nayla memang begini. Ini yang dia mahu. Abi hanya minta kamu lepaskan Nayla dengan cara baik. Abi tak mahu tengok dia buat maksiat dengan lelaki lain sedangkan dia dah bersuamikan kamu. Jadi, penceraian mungkin jalan terbaik. Abi harap, Ashdaq faham maksud Abi.”

Hadad memegang bahu Ashdaq. Mujurlah tak ramai sahabat yang datang menemani Ashdaq di majlis akad nikah pada pagi ini.

Hanya Hadad, sahabat baik Ashdaq yang ada menemani. Malu juga Ashdaq dengan Hadad apabila berlaku perkara sebegini.

“Nayla binti Sulaymani. Aku ceraikan kau dengan talak satu.”Kata Ashdaq bergetar nadanya dengan sekali lafaz.

Saat itu, tidak sedikitpun Ashdaq memandang ke wajah Nayla. Malahan, tangan Nayla yang mahu bersalaman dengan Ashdaq juga tidak Ashdaq endahkan.

Ashdaq meluru bangun dan bersalaman dengan abi, umi dan beberapa orang saudara-mara Nayla. Tanda hormat terakhir daripada bekas menantu tiga jam. Kelakar takdir ni. Mempermainkan jiwa. Sudahnya, kecewa.

“Saya minta maaf jika ada kata atau tingkah laku saya yang melukakan hati sepanjang saya berkenalan dan tiga jam bernikah dengan dia. Saya harap dia bahagia.” Kata Ashdaq sambil melangkah ke pintu utama rumah keluarga Nayla.

Hadad juga turut bersalaman dengan abi dan saudara-mara lelaki Nayla. Kemudian,  Hadad meluru mengejar langkah Ashdaq.

Ashdaq masuk ke dalam kereta di sebelah pemandu.

“Aku minta maaf, Hadad. Kau datang jauh-jauh ke majlis aku untuk hadap semua kejadian yang sia-sia ini. Mujur ibu kau tak ikut sama.” Luah Ashdaq menahan emosi.

Hadad pandang wajah Ashdaq. Bahu Ashdaq ditepuk perlahan.

“Jangan risaukan aku, Ashdaq. Risaukan diri sendiri. Aku tahu hati kau sakit. Aku tahu kau sedih dan kecewa. Apapun, baguslah kau lepaskan dia. Kau dah cuba memujuk tapi dia yang tak mahu. Jadi, buat apa lagi mahu bertahan dan mempertahankan sesuatu yang tidak menghargai kau.” Pujuk Hadad.

“Aku tahu. Cuma aku terkilan sebab pernah jadi suami dia selama tiga jam. Bagusnya jika dia berterus-terang sebelum proses ijab dan kabul tadi. Tapi... Dah takdir begini. Aku reda...” Kata Ashdaq cuba tersenyum.

Ashdaq sedih. Memang sedih. Selama ini, Ashdaq berteka-teki sendiri mahu mengetahui apa yang terbuku di hati Nayla. Sesungguhnya, perkenalan antara Ashdaq dan Nayla adalah takdir. Nayla yang mencari Ashdaq dan datang mewarnai hidup Ashdaq. Bermula dari rakan sekuliah menjadi sahabat dan tiga jam bergelar isteri.

Walaupun, ada rasa ragu untuk melamar Nayla menjadi isteri, namun disebabkan Nayla yang mahu menjadi isteri Ashdaq. Ashdaq ikutkan sahaja. Sangka Ashdaq, hati Nayla memang untuk Ashdaq. Tapi palsu...

“Kau cutikan? Ikut aku baliklah... Kita healing sama-sama. Lupakan kisah hari ini. Lupakan Nayla. Buka buku baru. Mana tahu dapat perempuan lebih hot dan cantik lagi.” Usik Hadad dengan sengihan.

Ashdaq tersenyum nipis sambil menggelengkan kepala, “Suka hati kaulah, nak bawa aku ke mana. Aku pun memang nak healing. Tak mahu aku terkurung dalam kisah sedih ni. Bahagia tak semestinya berdua dengan dia. Dengan kau pun, boleh.”

Hadad tergelak kecil memandang ke wajah Ashdaq.

“Hahaha... Itu aku setuju. Balik ni, ibu aku dah standby asam pedas pari memantul untuk kita. Jom gerak.” Kata Hadad sambil menekan pedal minyak kereta Ashdaq.

Tak jauh manapun rumah Hadad. Sejam perjalanan daripada rumah Nayla ini. Yang jauhnya, rumah Ashdaq. Lima jam perjalanan untuk ke rumah Nayla.

Kasihan Ashdaq. Semua jadi sia-sia. Duit habis. Penat dapat. Hati tercarik luka. Kalau tak ada perempuan yang nak duda berhias yang hot macam kau ni. Bagi aku jerlah peluang tu... Untuk anak tunggal aku. Aku tak kisah kalau kau jadi menantu aku. Senang hati lagi ada... Bisik hati Hadad teruja dengan harapan yang tak pernah padam.

Tak tahulah sejak bila Hadad punya impian yang sebegini. Tapi sungguh, Hadad memang tak kisah jika Hadad berjodoh dengan Shadhia.

Cuma... Bagaimana nak wujudkan love spark antara kedua-duanya? Jika berjodoh, tak ke mana... Tak perlu nak try hard sangat. Tapi... Jika sorang di sana dan sorang lagi di sini. Mana nak bertemu dua jiwa tu.

Hadad tersenyum sambil memandu. Sekali-sekala pandangan Hadad terarah ke wajah Ashdaq yang sedang memandang ke luar tingkap. Melayan perasaanlah tu. Kasihan. Kacak. Baik. Cukup agama. Memang rugi si Nayla tu tolak Ashdaq. Tak apalah Ashdaq, mana tahu berjodoh dengan Shadhia pula. Memang selautan Laut China Selatan aku tadahkan.

Hadad muram tiba-tiba apabila terkenangkan anak tunggalnya yang jauh beribu-ribu batu. Rindu. Sampai hati anak bertuah ni. Pergi belajar jauh-jauh. Mula-mula okey. Dah tahun terakhir ni, dia boleh lupa pula yang dia ada papa kat Malaysia ni. Nek Alijah yang menjaga dia sejak kecil, pun dia lupa.

Nak aje Hadad terbang ke Jepun tu. Tapi, kesihatan ibunya tak berapa baik. Hadad bimbang nak tinggalkan ibu sendirian. Sudahlah, Hadad sahaja satu-satunya anak yang Hajah Alijah ada.

Apapun, Hadad sedikit lega sebab anak tunggalnya tu ada jugalah buat video call. Walaupun, setahun mungkin hanya beberapa kali. Tak macam awal-awal dulu, hari-hari buat video call dan mengadu domba.

Nak aja, Hadad upah private investigation untuk skodeng kehidupan anak tunggalnya di Jepun. Tapi kos mahal pula. Bukan Hadad tak ada duit.

Ada. Tapi duit yang ada Hadad simpan untuk urusan kecemasan. Lebih-lebih lagi urusan bil hospital. Hidup ni keras. Duit tu tak boleh boros sembarangan. Perlu ada simpanan dan pelaburan masa hadapan. In case anything happen to Hadad. Shadhia dan Ibu takkan hidup susah.

Lagipun, ibunya Hajah Alijah, memang ada sakit buah pinggang dan memerlukan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu. Kos setiap sesi rawatan antara RM160 hingga RM250. Kos berbeza-beza sama ada di pusat swasta atau NGO atau hospital. Tapi selalunya Hadad bawa ibu ke pusat swasta yang berdekatan dengan rumah mereka. Mahu ibu selesa dan tak penat dengan perjalanan yang jauh.

Selebihnya, wang simpanan yang ada adalah untuk Shadhia. Untuk masa depan Shadhia.

 

FULL TEASER 03

Terminal 3. Haneda airport atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo (Tokyo-Haneda). Ruang legar kelihatan padat dan sibuk. Shadhia berlari-lari anak di segenap ruang dan tingkat. Mencari satu wajah. Malangnya, penat lelah sahaja yang Shadhia dapat.

Sejam yang lalu, Shadhia dapat maklumat yang Wariq akan bercuti ke Korea bersama skandal baru dia. Shadhia pun keliru perempuan blonde yang mana satu yang dibawa dek Wariq. Sebab skandal Wariq ni dah ramai. Setiap semester berganti. Sama aje perangai sejak zaman sekolah dulu. Tak berubah. Makin teruk lagi ada.

Tragisnya, Wariq gebang dirinya adalah tunangan Shadhia. Tapi terang-terangan curang dan buat Shadhia macam sampah. Tunang yang tak berguna. Sporting? Itu bodoh namanya.

Pada awalnya, Wariq memang tak mahu ada lelaki lain yang mengganggu Shadhia. Bagi Wariq, Shadhia Hadad hanya milik Wariq Zeemat. Oleh yang demikian, sengaja Wariq gebang yang Shadhia tu tunangan Wariq. Poyo aje mamat ni. Pentingkan diri sendiri. Sudahnya, Shadhia yang sasau sendiri.

Shadhia berdiri betul-betul di depan Sky Market.

Lelah. Pasrah.

Lantak dialah. Lagipun dah banyak kali aku bodohkan diri duk kejar dia dan pujuk dia agar tak cultural shock. Esok-esok perlu pulang ke Malaysia juga. Atau mungkin Wariq memang dah suka duduk di negara asing. Tu yang duk try minah salleh, minah Korea dan minah Jepun. Buang masa aku aje datang sini. Akhirnya, aku juga yang sakit hati.

Perut Shadhia rasa lapar pula. Cacing dalam perut dah menyanyi lagu rock kapak dah. Pagi tadi Shadhia tak sempat makan. Berkejar naik Tokyo Monorail semata-mata nak jumpa Wariq. Kononnya, nak halang Wariq dari melancong ke Korea dan buat maksiat di sana.

Lapar.

Nak makan kat mana ni? Perut dah pedih ni. Datang gastrik jadi susah pula hidup. Dahlah tertinggal ubat kat beg sandang kolej. Ni bawa diri, telefon bimbit dan dompet sahaja. Hah, dengan kad pelajar yang elok tergantung kat leher ni lagi. Lantaklah. Memang student pun, nak malu buat apa? Bangga lagi ada.

Berkerut dahi Shadhia mahu mencari restoran Halal di lapangan terbang ni. Tak ada masa dah nak mencari restoran halal kat luar lapangan terbang. Cacing di dalam perut dah menggigit-gigit dinding perut. Sat lagi, kalau cacing hyper ni gigit usus sampai terburai... Rosak pula sistem pencernaan.

Berpusing-pusing tubuh Shadhia memandang ke segenap ruang Terminal Tiga ni.

“Auch...” Shadhia mengaduh kesakitan apabila tubuhnya dilanggar seseorang.

Mujur tak tersembam kat lantai airport. Tapi tak sempat tubuh Shadhia jatuh melayang pun sebab tubuhnya kini elok sahaja berada dalam pelukan seseorang.

Wangian maskulin yang dipakai begitu membuai perasaan Shadhia. Shadhia angkat wajah.

Walawey... Handsome siak mata Pak Cik ni. Siap berjambang lagi. Look like Captain America. Si Chris Evans tu. Walah. Walah. Kalau Papa tahu yang kata hati Shadhia sebegini, mahu kena ikat kat tiang seri rumah. Eleh, tapi Papa memang tahu yang Shadhia minat sangat dengan aktor tu. Argh, rindu papa dan Nek Alijah pula.

Sorry. My mistake. Are you Malaysian?”soal lelaki asing yang kacak gila tu.

Lelaki tu tak gila. Yang hampir gila sekarang, Shadhia ni hah. Suara tu... Shadhia teruja memandang ke wajah lelaki yang sebaya Papanya.

Shadhia betulkan posisi badan dan menapak ke belakang setapak bagi mencipta jarak. Nak berbual pun tak boleh kalau dekat-dekat begini. Jantung rasa tersasar arah dah. Boleh terbabas rel kalau Shadhia yang bawa Keikyu Line atau Tokyo Monorail. Gila!

Shadhia mengangguk perlahan sambil mata masih memandang tunak ke wajah lelaki kacak tu.

“Ouh, baguslah. Saya juga dari Malaysia.” Kata Ashdaq sambil tersenyum memandang wajah gadis cantik yang dilanggarnya tadi.

Bukan Ashdaq sengaja nak langgar tapi ada seorang pelancong dari negara mana entah main langgar badan Ashdaq dengan Travel Backpack dia, large capacity pula tu.

Sakit urat badan sebab tujuh jam lebih duduk dalam kapal terbang tadi pun tak hilang lagi. Ni dapat physical accident pula.

“Awak tahu kat mana nak cari makanan halal kat airport ni? Perut saya dah berdendang dah ni. Kat flight tak makan. Jadi, sekarang rasa lapar sangat.” Soal Ashdaq tanpa segan.

Shadhia mengangguk perlahan.

“Urm, kat terminal ni, banyak makanan halal berbanding Terminal 1 yang tiada langsung makanan halal. Terminal 2 tu ada juga, Mrs. Istanbul... Makanan Turkish. Saya memang nak pergi makan ni. Lapar juga. Nak join?”soal Shadhia mesra.

Mungkin Shadhia rindu sangat dengan Papa sampai selamba mengajak lelaki di depannya ini makan bersama. Tapi tidak. Yang pasti sebab muka dia klon Captain America. Lebih tepat lagi, klon seseorang yang Shadhia rindu. Adakah lelaki di hadapannya ini merupakan lelaki yang sama yang Shadhia rindui? Kacak. Wangi.

My missing half! Shadhia memang sedaya upaya mencuba untuk tenangkan diri. Jangan nampak murah Shadhia.

“Boleh. Lagipun, saya memang pertama kali datang Jepun ni. Hilang arah kejap.” Kata Ashdaq jujur.

Shadhia memandang Ashdaq lama. Sampai segan juga Ashdaq. Mujur dapat control macho.

“Tapi... Saya nak ke Kebab Stand sahaja. Kat terminal ni juga. Okey?”soal Shadhia.

Ashdaq sekadar mengangguk.

“Nama siapa?” Soal Ashdaq sambil menggalas Travel Backpacknya.

Itu sahaja beg yang Ashdaq bawa. Tiada bagasi. Malas nak bawa banyak barang.

“Shadhia. Shadhia binti Hadad. Pelajar Tahun Akhir Universiti Tokyo.” Balas Shadhia dengan senyuman.

Sengaja memperkenalkan diri secara formal.

Buk. Terjatuh beg sandang Ashdaq tatkala mendengar gadis di hadapannya ini memperkenalkan diri.

Cantik gila anak Hadad ni. Astaghfirullah. Baru ada niat nak buat pick up line banyak-banyak tadi. Mana tahu sangkut. Berkali-kali pandang, baru Ashdaq akui... Di depan matanya ini adalah Shadhia Hadad. Makin cantik. Makin matang. Kalau dulu bertocang. Sekarang rambut ikal mayang separas pinggang tu, begitu menggetarkan iman Ashdaq.

Takdir Tuhan. Mungkin niat Ashdaq Emry memang ikhlas mahu membantu Hadad maka dipermudahkan urusan. Apatah lagi, doa Hadad dan Hajah Alijah mengiringinya.

“Abang, okey ke?”soal Shadhia blur.

Nak panggil Uncle tapi tak sampai hati. Kacak sangat. Tak sesuai. Elok jadi calon pengganti si Wariq ni. Papa selalu kata bahawa setiap pertemuan itu ada cerita. Bukan sesaje Tuhan wartakan.

Jadi mungkin Ashdaq Emry ni lelaki yang dihantar oleh Allah SWT untuk mengubat duka di hati Shadhia. Ashdaq Emry... Nama pun sedap je nak sebut. Tak tergeliat pun lidah nak sebut berulang kali. Tak macam nama Wariq Zeemat tu. Huh...

Shadhia tersenyum dalam hati. Gelabah begini. Shadhia yakin Ashdaq tak pernah melupakan Shadhia. Kalaupun Ashdaq lupa nama Shadia. Apabila memperkenalkan diri sebagai Shadhia binti Hadad. Tak mungkin Ashdaq lupa yang Hadad tu ada anak perempuan tunggal bernama Shadhia.

Shadhia membantu Ashdaq menyandang kembali Travel Backpacknya. Ringan gila beg. Ni aje dia bawa? Kalau Wariq ni, dua tiga bagasi pun tak cukup.

“Lapar sangat erh? Jomlah, dah dekat dah. Sha pun lapar. Perut dah pedih. Tadi tak sempat nak breakfast.” Luah Shadhia jujur.

Automatik Shadhia membahasakan dirinya sebagai Sha. Itulah juga nama panggilan yang selalu Ashdaq panggil. Bertahun berlalu. Lelaki ni tetap mempesona.

Mereka berdua berjalan beriringan ke restoran yang diperkatakan oleh Shadhia. Menarik juga menu yang ada.

Shadhia memesan Kebab Bento Box. Manakala, Ashdaq sekadar memesan Kebab Sandwich. Jangan kata Shadhia tak lalu makan sebab Wariq. Sebenarnya, hati Shadhia ni dah lama hilang rasa pada Wariq. Makan tetap makan. Apatah lagi, Shadhia ditemani lelaki sekacak aktor Captain America ni. Crush lama kot.

“Abang datang sini, nak melancong atau urusan kerja?”soal Shadhia sambil memakukan pandangan ke wajah Ashdaq.

Ashdaq cuba jaga tingkah. Moga tak terkantoi mengintai wajah Shadhia.

Dalam masa yang sama, Ashdaq rasa janggal apabila tidak memperkenalkan diri.

Tapi jika memperkenalkan diri, pasti Shadhia akan ingat dia. Ingat ke? Setakat ini, gadis di depannya ini tak menunjukkan reaksi dejavu.

“Melancong. Healing. Tapi mungkin mencari ruang untuk berada lama di sini. Bina networking business.” Balas Ashdaq pula.

“Ouh. Nak menuju ke mana?”soal Shadhia ingin tahu.

“Bunkyo. Saya dengar tempat tu antara tempat yang rendah kadar jenayahnya. Dekat dengan hospital, cultural treasures dan banyak festivals.” Kata Ashdaq dengan nada teruja.

Shadhia tersenyum.

“Tu tempat tinggal saya di sini. Dekat dengan Universiti Tokyo. Dah ada tempat tinggal?”soal Shadhia.

Ashdaq menggeleng.

“Kalau abang tak memilih, boleh Sha kenalkan dengan beberapa pemilik rumah. Sha pernah survey rumah-rumah landed dan kondo kat kawasan tu untuk disewa. Jadi ada simpan nombor telefon mereka.” Kata Shadhia hepi sebab dapat membantu Pak Cik kacak ni.

Shadhia menyedut air minumannya dan memandang wajah Ashdaq, “ Festival kat sini ikut musim. Ada Plum Blossom Festival, Cherry Blossom Festival, Spring Nights, Long Autumn Nights, Light of Higo dan macam-macam lagilah.”

Ashdaq menarik nafas perlahan, “Shadhia.”

“Yea...” Balas Shadhia sepatah.

Mata Shadhia masih terpaku pada wajah Ashdaq.

“Boleh panggil saya, Uncle.” Pinta Ashdaq lembut.

Bagi Ashdaq... Antara Ashdaq dan Shadhia perlu ada benteng yang memisahkan jurang hati. Agar hati tak terpesong.

Shadhia tersenyum manis, “Selalunya lelaki macam abang ni... Suka kalau perempuan panggil abang.”

“Saya dah tua, Shadhia. Hampir dua puluh tahun lebih tua daripada kamu.” Kata Ashdaq sedar diri.

What to worries? Papa Shadhia kata... A man life begin at forty.” Usik Shadhia nakal.

Hampir tersembur air yang diminum oleh Ashdaq Emry. Cepat-cepat Shadhia hulurkan tisu yang memang terletak elok di atas meja. Senyuman mekar bertandang di hati Shadhia.

“By the way... Macam mana boleh teka dengan tepat usia Sha ni?” Soal Shadhia teruja.

Sengaja Shadhia mahu menduga. Sampai sekarang lelaki ni masi berahsia. Nak sorok identiti, konon...

Ashdaq Emry blurr. Tak tahu nak jawab apa. Hanya mampu tersenyum sambil anak matanya memandang ke wajah Shadhia.

“Papa kata, kalau tekaan orang tu betul. Dia sedang observed kita. Bila observed tu bermaksud kita wujud dalam priority list dia.” Usik Shadhia lagi.

“Papa awak memang pandai berkata-kata...” Balas Ashdaq pula.

Hadad. Hadad. Apa kau ajar kat anak kau ni? A man life begin at forty. Priority list bagai. Aduhai...

Suka Shadhia melihat wajah kemerah-merahan Ashdaq Emry. Bidadara yang dah Tuhan hantar untuk mewarnai kehidupan Shadhia di Jepun ni.

“Abang dah siap makan, kan? Jom gerak. Sha bawa abang ke Bunkyo... Teruja ni nak jadi Tour Guide.” Kata Shadhia dengan nada girang.

Ashdaq Emry menarik nafas panjang. Degil betul anak dara Hadad ni. Dah dilarang panggil abang. Masih juga panggil dengan panggilan yang sama. Nanti kalau terpesong hati ni, bagaimana?

“Kita nak naik apa, Sha?”soal Ashdaq sambil menyangkut Travel Backpack di belakang bahu.

Shadhia tersenyum manis lagi sambil anak matanya bersinar-sinar memandang ke wajah tampan Ashdaq, “Cara terbaik dari airport ni ke Universiti Tokyo adalah dengan menaiki keretapi. Lebih kurang 57 minit perjalanan dan tambang pun tak mahal. Bawah RM50 sahaja. Abang okey kan kalau naik keretapi? Bagi Sha keretapi lebih selamat dan selesa berbanding bas.”

“Okey.” Balas Ashdaq sepatah.

Ashdaq berkira-kira mahu memperkenalkan diri. Tapi melihat pada reaksi Shadhia... Tak perlu kot memperkenalkan diri. Tak kisahlah jika terpaksa jadi Mr. Stranger.

Shadhia berhenti berjalan dan berdiri tegak seketika sambil memandang skrin telefon. Tangan kanan Shadhia memegang hujung jaket yang dipakai Ashdaq.

Berkerut dahi Ashdaq seketika. Debaran di dada tu, tak usah cakaplah. Budak ni kan, memang selamba aje.

“Kejap abang. Sha nak booking tiket train online. Lebih mudah. Abang nanti download apps KLOOK. Banyak kegunaan app tu nanti. Tapi kalau abang ada kad kredit atau kad debit yang boleh dipakai di sini... Okey. Macam Sha ni student. Lebih selesa guna ewallet dan apps je. Guna telefon bimbit. Cash memang tak banyak.” Hurai Shadhia panjang lebar.

Ashdaq mengangguk faham sambil menjengah ke skrin telefon bimbit Shadhia.

“Nanti bagi saya nombor akaun Sha. Saya transfer balik.” Kata Ashdaq serius.

“Tak payah abang. Ni, Sha belanja. Lagipun tadi, abang dah belanja Sha makan. Mahal juga tu...” Kata Shadhia pula.

Ashdaq tersenyum, “Saya dah bekerja. Sha tu student.”

Kacak.

“Takpe. Anggap aje Sha menyantuni Abang.” Luah Shadhia lembut.

Argh, sekali lagi debaran di dada Ashdaq hilang rentak. Lelah nak mengawal nafas. Shadhia... Shadhia...

Hadad. Anak kau ni hot tau. Kalau hati aku terpesong, bagaimana? Perlu ke, aku bagitahu Shadhia yang aku ni sahabat baik Papa dia? Ashdaq keliru dengan hati sendiri.

 

 

 

No comments:

Post a Comment