Friday, October 17, 2025

DIA BUKAN KRISTAL

 

TEASER DIA BUKAN KRISTAL

 

Maryam tersenyum memandang Raid yang sedang memberi makan ikan di kolam. Sungguh Zehra mahu Raid jadi menantunya. Zehra mahu Raid memperisterikan Sara. Tidak ada cacat celanya Raid sehingga Sara perlu menolak. Zehra memang kurang fahamdengan hati Sara. Kehendak Sara sukar untuk difahami. Keras kepalanya pun boleh tahan juga. Berbeza dengan Raid yang tenang dan sentiasa mendengar kata.

 

“Jemput minum Is. Sara hari ni keluar dengan Zieyka. Main bowling katanya. Tapi pagi tadi sempat juga Sara masak kuih sagu gula melaka ni. Ayah yang nak makan. Katanya Sara buat sedap. Tak manis sangat.”

 

Raid tersenyum.

“Rajin Sara memasak di dapur ibu. Is, memang tabik spring sebab air tangan Sara ini memang ada sakti. Campaklah apa bahan sekalipun apabila terhidang pasti sedap dimakan.”

 

“Is tak cuba ajak Maira keluar ke?”soal Zehra mahu mencungkil rahsia.

 

 Raid menggeleng.

 

“Belum sempat lagi ibu. Is, banyak kerja luar. Inipun baru balik dari Sabah.”

 

“Ouh, patutlah tak nampak bayang kamu kebelakangan ini. Ingatkan merajuk dengan Maira.”

 

Raid tergelak.

“Apalah ibu ini. Is dah besar. Tak mainlah nak merajuk sana-sini.”

“Ibu suka sangat kalau Is dapat jadi menantu ibu.”

“Kalau dah jodoh tak ke mana ibu,”balas Raid sambil tersenyum.

“Ayah ke mana?”soal Raid apabila tidak nampak kelibat Haji Johari walaupun sudah hampir sejam di situ.

“Ayah pergi memancing dengan kawan-kawan dia,”kata Zehra.

“Patut tak nampak….”

Raid mengambil bekas yang berisi sagu gula melaka yang dimasak daripada air tangan Sara. Hatinya kembang-kuncup kerana dapat menikmati makanan tersebut. Tidak dapat bertemu tuan empunya badan pun tak mengapa. Sebab dah ada sagu gula melaka sebagai pelepas rindu di dada.

 

“Ibu ada rancangan untuk Is. Biar Is ada peluang untuk dekat dan rapat dengan Sara.”

 

Raid memandang wajah ibu angkatnya, Zehra.

“Rancangan apa itu, ibu?”soal Raid ingin tahu.

“Awal bulan depan kita pergi bercuti di Melaka. Ibu akan uruskan semua. Tinggal Is minta cuti sahaja 3 hari. Nanti Sara biar ibu yang bagitahu. Pandailah nanti ibu uruskan yang lain. Nanti di sana, ibu ada rancangan khas buat Is dan Maira.”

 

Raid berhenti menikmati sagu gula melaka. Pelik pula mendengar kata-kata ibu.

 

“Rancangan khas? Rancangan apa pula itu ibu. Buat Is tertanya-tanya pula.”

 

“Tak perlu tahu. Tapi ibu nak Is tahu rancangan ibu itu bakal mengubah masa depan Is. Ibu memang nak sangat Is jadi menantu ibu. Ibu yakin Is boleh bahagiakan anak ibu, Sara.”

 

Raid tersenyum manis.

“Ibu, jangan terlalu memaksa Maira. Is serahkan semuanya pada takdir. Yea, memang Is cintakan Maira. Tapi Is tak tahu Maira  cintakan Is ataupun tidak,”luah Raid perlahan.

 

Zehra senyum.

“Ibu tahu. Cinta itu boleh dipupuk. Lepas kahwin nanti Is ajaklah Maira bercinta dengan Is. Bercinta selepas menikah itu lebih manis Is.”

 

Raid tersenyum. Ada sahaja akal ibu mahu mengusik dirinya.

“Is ikut sahaja rancangan ibu tu. Asalkan tak lukakan hati mana-mana pihak. Nanti ibu bagi tarikh yang muktamad. Is perlu mohon cuti awal.”

 

Zehra mengangguk sambil tersenyum. Segala rancangannya perlu disusun dengan baik. Tidak ada sesiapa pun yang boleh tahu. Ini adalah rancangan Zehra seorang sahaja. Kalau ramai yang tahu nanti tak jadi pula. Melepaslah dia nak bermenantukan Raid.

 

Sara merenung wajahnya di cermin sisi kereta. Sempat dia membetulkan selendang yang dipakaikan oleh Zieyka tadi. Maklumlah, Sara baru nak belajar belit-belit selendang ni. Tentu bosnya sendiri pun terkejut dengan perubahan yang drastik ini. Apapun Sara tersenyum manis tanda hati puas.

Tapi dadanya berdetak laju sejak tadi. Lain macam pula aura wanita muslimah yang melanda jiwa Sara. Rasa panik pula nak melangkah apabila berubah imej ini.

 

“Zieyka, aku okey tak?” soal Sara resah.

“Okey. Cantik sangat.” Kata Zieyka sambil tersenyum memandang Sara.

 

“Aku bukan suruh tengok cantik atau tak. Aku takut selendang aku ni masih menampakkan rambut aku yang kat dalam  ni.”

 

Zieyka bantai gelak kuat.

“Kau abaikan selendang yang melilit kepala kau tu. Dah elok terletak kat atas kepala tu. Jangan kau garu-garu kepala macam monyet tercekik belacan sudahlah.”

 

Sara menepuk bahu Zieyka sedikit kuat.

“Boleh tak jangan buat peribahasa merapu.”

“Eh, suka hati akulah. Mulut aku. Lagipun bukan aku guna dalam bentuk penulisan pun. Aku cakap sahaja.”

 

Sara tersenyum.

“Cuma aku nak nasihatkan sikit.” Zieyka bersuara tegas.

 

Sara mengangkat keningnya.

“Apa dia?”

“Kepala dah tutup tu okey. Pakaian tu masih perlu diubah lagi. Bagi nampak seperti muslimah sejati a.k.a perempuan melayu terakhir. Pakai tudung tapi bentuk badan tetap tak terlindung, sama sahaja Cik Sara oit. Tetap mengundang dosa.”

 

Sara menumbuk manja bahu Zieyka.

“Tadi kat rumah kau tak nak tegur. Dah sampai sini baru nak nasihatkan orang. Lain kali kalau nak mengajar biar sampai khatam. Ini tidak bagi ajaran separuh-separuh.”

 

Sara tarik muka masam.

“Sori tak terperasan pula kau pakai apa tadi. Yang aku sibuk pandang kepala kau tu aje. Apapun kau kena faham Sara. Pakaian seorang muslimah sentiasa longgar. Tidak menampakkan susuk tubuhnya. Selendang yang dipakai juga perlu sentiasa menutup bahagian dadanya. In shaa Allah terpelihara aurat kita.”

♥♥♥

Adammemandu dengan penuh berhemah. Entah mengapa hari ini hatinya berbunga-bunga. Walaupun sekadar keluar untuk bermain bowling dengan Hezril dan staf-stafnya namun tetap juga hatinya rasa senang. Adamsenyum sendiri. Mungkin hari ini dia akan menang lagi. Hezril tu bukan tak tahu main bowling tapi tak fokus. Kalau nak lempar bola bowling pun duk melapor lagi. Macam mana nak menang? Sibuk dengan telefon bimbitnya sahaja.

Latifah ada sini atau di kampung sama sahaja lagak Hezril. Adammemandang ke sebelah. Sekali lagi Adamtersenyum memandang Hezril yang masih sibuk dengan telefon bimbitnya.

 

“Dorang dah sampai ke?”soal Adam  Zaffuan  tenang.

“Agaknya dah sampai. Rasa macam kita pula yang terlambat.” Kata Hezril sambil menjeling jam tangannya.

 

“Kau pun lewat bagitahu aku. Kalau bagitahu awal tak adalah kita terlewat begini. Tiba-tiba sahaja sergah aku ajak main bowling.”

 

Hezril tersenyum.

“Aku nak kenalkan kau dengan staf baru aku. Dalam masa yang sama, aku nak kenalkan juga orang yang akan uruskan projek kerjasama syarikat kita.”

 

Adammemandang wajah Hezril. Hatinya rasa berdebar apabila mendengar penerangan Hezril tadi.

 

“Staf baru? Projek perumahan elit tu? Kau biar betul bagi pada budak baru. Boleh ke?”

 

”Woooo… Relakslah Adam. Kalau aku letak kepercayaan itu, bermakna dia orang yang terpilih. Sebab aku ni susah nak bagi kepercayaan  pada orang.”

“Let me check, first. Aku pun nak tengok juga orangnya. Kalau tak sesuai, I don’t care. You should manage it by yourself since Azhar pun dah jaga cawangan aku di Sabah.”

 

Hezril ketawa kecil.

“Kau tengok dulu. Paling tidak bagi dia uruskan buat sementara waktu ini. Aku pun sibuk nak uruskan projek mega di Putrajaya dan Seremban.”

 

Adamberjeda.

“Lelaki ke perempuan?”soal Adamperlahan.

“Perempuan. Belum berkahwin.”

“Budak yang umurnya 25 tahun tu ke?”soal Adamseparuh menjerit.

 

Hezril mengangguk.

“Ya Allah, Hezril. Ini bukan projek pondok-pondok tahu.”

”Aku tahu dan aku yakin dia boleh uruskan dengan baik. Projek taman hijau pun sebelum ini dia yang uruskan sendiri. Client puas hati.”

 

“Itu projek Tan Sri. Projek perorangan. Ini projek besar Hezril.”

“Alah, kalau kau tak percaya. Guide dia. Pantaukan sekali. Aku bagi hak tu pada kau. Jangan nak rotan atau buat tak elok sudah. Anak dara orang itu. Apapun tak salah bagi dia peluang.”

 

Hezril mengenyitkan matanya pada Adamyang masih berwajah cemberut.

 

“Senyumlah sikit. Lari pula nanti calon girlfriend kau tu nanti.”

 

Adamtekan brek mengejut. Nasib baik pakai tali pinggang keselamatan. Jika tidak pasti kepala Hezril sudah terhantuk ke bahagian depan  kereta.

 

Hezril memandang Adamgeram.

“Adam..” Jata Hezril geram.

”Maaf. Aku tak sengaja. Terkejut.”

 

Hezril menggeleng perlahan.

“Dah besar tapi buat perangai macam budak hingusan. Macam sebelum  ini tak pernah ada girlfriend.”

“Seriously, aku memang tak pernah ada girlfriend sebelum ini.”

“Habis Julia tak pernah jadi girlfriend ke?”

 

Adammenggeleng.

“Hubungan aku dengan Julia adalah satu kebetulan. Aku tak pernah bercinta dengan dia. Tak pernah rasa apa-apa. Sejak nikah sampailah dah bercerai ini.”

 

“Pelik pula aku dengar ini.”

 

“Julia tak pernah bagi aku peluang. Baru aku sedar yang selama ini dia hanya mempergunakan aku untuk hidup mewah. Dan aku baru sedar yang hubungan dia dengan Farid sememangnya sudah lama terjalin. Sebelum kami nikah lagi, Julia sudah menjalinkan hubungan dengan Farid. Aku tak pernah jadi suami yang sebenar-benarnya Hezril. Aku hanya suami atas kertas sahaja bagi dia. Berkali-kali aku cuba jernihkan keadaan tapi tetap juga dia menolak. Yang aku pelik. Apa yang dia nak sangat daripada aku. Sedangkan Farid tu pun anak orang kaya.”

 

Adambungkam.

“Kau tak pernah sentuh dia?”soal Hezril terkejut.

 

Adammenggeleng perlahan.

“Adam. Aku tak pernah terfikir sengsaranya kehidupan kau dengan Julia. Aku tahu Meera dan Maira anak angkat kau. Tapi aku ingat Julia saja nak jaga badan sampai tak mahu mengandung. Rupanya…”

 

Hezril menggeleng kepala.

“Baguslah. Sekarang kau dah bercerai. Duda berhiaslah ini yea. Hurm, bertuahlah anak dara mana yang dapat tu. Masih teruna. Walaupun bergelar duda.” Usik Hezril cuba mengusik Adam Zaffuan. Sungguh Hezril tak mahu mood Adamke laut.

 

Adamtergelak kecil.

“Jangan malukan aku, boleh tak? Dan jangan bagitahu sesiapa pula. Menjatuhkan air muka aku aje nanti.”

 

“Erm. Itu aku setuju. Tapi girlfriend a.k.a bakal isteri baru tu nanti perlu tahu hal sebenar. Oh my GOD. Aku tak boleh nak hadam  lagi ni yang kau  masih  teruna.”

 

Adammenepuk kasar peha Hezril. Serentak itu juga Hezril mengerang kesakitan. Geram pula Adamapabila dipermainkan oleh Hezril. Menyesal pula sebab terlepas cakap.

♥♥♥

Di  pusat bowling...

Kelihatan Zieyka, Azlin, Sauqi, Intan, Jebat dan Sara  sedang menanti seseorang. Jebat mengeluh.

 

“Mana En. Hezril ni. Janji pukul berapa?”  kata Jebat geram.

 

“Sabarlah… Kejap lagi sampailah tu. Iyer tak Maira?” Kata Intan pula.

 

Zieyka menyiku lengan Sara yang sedang asyik melihat orang bermain bowling.

 

“Yes...,” Sara melonjak kegembiraan bila seorang pengunjung di situ berjaya strike sehingga 3 kali berturut-turut.

 

“Sara ... Aku cakap dengan engkau ni.” Kata Intan lagi.

“Aku dengar. Alah engkau orang ni pun satu… Dah tau En. Hezril tu memang selalu lambat buat apa nak tension. Engkau Intan  kalau membebel pun dia tak datang juga.”

 

Jebat dan Intan mengangkat bahu. Masing-masing mengiyakan juga kata-kata Sara.

 

“Hai semua. Lama dah you all sampai?” Tegur Hezril sambil bersalaman dengan Sauqi dan Jebat.

 

“Tak adalah,” jawab Zieyka perlahan.

 

“Lamalah juga hampir 56 minit,” luah Sara selamba.

 

Semua mata memandang Sara. Dalam  masa yang sama En. Hezril tergelak. Apatah lagi apabila melihat wajah selamba Sara dan wajah kaget pekerja-pekerjanya yang lain. Tanpa mereka sedari ada senyuman ikhlas terukir pada wajah seorang lelaki lain yang merupakan teman En. Hezril.

 

“Kenalkan En. Adam  Zaffuan,  pengurus besar Tangan Emas.”

Hezril menunjuk ke arah Adamyang tertunduk apabila dirinya diperkenalkan sebegitu rupa. Sara Johari pula sudah tidak berkalih memandang. Nak tahu kenapa? Okey nanti kita cerita.

“Adam. Pasti you kenal mereka kan? Lagipun mereka selalu ikut kita main bowling. Zaki dan Ikhwan hari ini tak dapat datang. Adam pula hari ini cuti sakit. Sakit sungguhlah tu. Kalau tidak mesti muka dia ada kat sini.” Kata Hezril sambil tersenyum.

 

Dalam masa yang sama, Hezril sengaja mahu mengusik Adam Zaffuan. Bukan Hezril tak tahu yang tingkah Adamsudah tak keruan.

 

Sara mengangguk tetapi matanya masih belum lari daripada terus memandang Adam Zaffuan. Hezril tersenyum melihat perlakuan Sara yang merenung Adamsehingga sahabatnya itu berasa kurang selesa.

 

“Dan ini pula Sara Johari, PA aku atau merangkap Pegawai Korporat aku yang baru. Cantik tak Adam?” soal Hezril selamba.

 

Wajah Sara sudah merona kemerahan apabila dirinya menjadi topik perbincangan. Adammerenung Sara lama dari atas ke bawah. ‘Ini gadis yang sama ke? Atau aku silap pandang?’ bisik hati kecil Adam Zaffuan.

 

Hezril memandang wajah Sara dari atas ke bawah. Berkerut dahi Hezril melihat perubahan yang berlaku pada diri Sara.

“Sejak bila berhijrah ini?”soal Hezril tersenyum memandang Sara.

 

Adammengerutkan dahinya. Hatinya bertambah yakin yang gadis di hadapannya ini adalah gadis yang sama. Kisah kebetulan yang tercipta antara mereka mendebarkan rasa di jiwa. ‘Ingat lagi tak dia, pada aku?’ desis hati Adam  Zaffuan.

 

“Nampak macam wanita solehah kan, Encik Hezril. Kalau tak berhijrah macam budak sekolah yang belum cukup umur. Apa pendapat Encik Hezril?”soal Zieyka pula.

 

“Cantik. Nampak lebih elegan. Macam ni, awak nampak lebih matang Sara. Baguslah begitu. Tak adalah saya risau sangat kalau lepaskan awak bertemu client dan turun ke site seorang. Kalau tak… Saya risau juga kalau ada lelaki yang miang mengambil kesempatan  meraba  awak.”

 

Zieyka tergelak mendengar kata-kata Encik Hezril.

 

“Manis kan. Sampai saya pun terkedu tadi. Sara sebelum ni memang seksi buat lelaki naik miang keladi. Tapi Sara yang sekarang ini nampak berseri. Buat terkedu mata lelaki,”Jebat bersuara galak.

 

Adammerenung wajah Jebat tajam.

“Baguslah kalau dah jadi wanita muslimah. Tapi masih perlu berhati-hati. Orang cantik memang sentiasa dapat perhatian lelaki. Tapi pada saya cantik itu bukan sekadar paras rupa. Otak tu yang saya ambil kira. Wanita akan nampak cantik kalau dia bijaksana. Matang dalam membuat keputusan. Dan petah berbicara dengan setiap golongan.”

 

Hezril tersenyum memandang Adam Zaffuan. Bukan Hezril tak perasan yang kata-kata Adamitu bagai ada unsur-unsur cemburu apabila Jebat mengusik Sara begitu. Hezril pasti Adamdah  tertawan.

 

“Saya baru nak belajar jadi lebih baik. Apapun saya setuju dengan Encik Adam Zaffuan. Cantik itu abstrak. Setiap orang ada andaian cantik yang tersendiri. Cantik pada saya pula adalah kerana hati. Jika hatinya bersih, maka kecantikan itu akan datang sendiri.” Balas Sara dengan suara yang sedikit bergetar.

 

“Umur berapa?”soal Adamselamba.

Hezril tersenyum lagi. Bukan tadi dia dah bagitahu Adamke, umur Sara berapa?

 

“Cuba teka?” kata Zieyka menyibuk.

“Urm, I have no idea. But Sara, you look too young as a top line officer...” Luah Adamjujur. Mereka yang lain tergelak mendengar jawapan Adam Zaffuan.

“ Saya baru tamat belajar. Baru 25 tahun..”

“What?” Adamterperanjat.

“Is it true Hezril? You ambil fresh graduate?”

“Apa salahnya dengan fresh graduate En. Adam? Saya pun manusia juga,” balas Sara sambil tersenyum. 

 

Wajahnya tetap tenang dan selamba. Adamserba salah.

“Erm... Maksud I...,” Adamteragak-agak.

“Kenapa? Without experienced? Macam tu?” Sara tersenyum mesra.

 

Hampir gugur jantung Adamapabila diberi senyuman semanis dan seikhlas itu.

 

“Sudah… Sudah... You pun Adam. Yang pentingnya sekarang dia dah jadi orang kanan I dan kemampuan dia sudah pun terbukti sebagai pekerja yang cekap, jujur dan rajin.”

 

Hezril menggeleng apabila melihat raut wajah Adamyang kurang berpuas hati dengan jawapan yang telah diberikan olehnya.

 

“Kalau you tak puas hati, I pinjamkan dia untuk kendalikan urusan you then you can evaluate her.. Okey?”

 

“Ada pulak macam  tu.” Adamtergelak.

Sara dan Zieyka berpandangan.

“Kawan bos kita ni, macam hero pujaan aku lah pula. Mr James Bond. Tapi versi Malaya,” Sara sempat berbisik pada Zieyka.

 

“Bukan Pak Cik James Bond ni memang orang tua yang kau gila-gilakan tu ke? Kan aku dah cakap aku macam kenal dia,”balas Zieyka separuh berbisik juga.

 

“Aku tak cukup oksigen untuk terima kenyataan ini. Dia ada di depan mata aku.” Luah Sara berbisik lagi.

 

Zieyka juling mata ke atas.

“Kau pengsan, aku suruh dia buat cpr.” Bisik Zieyka pula.

“Oh, I like it.” Bisik Sara selamba.

 

Zieyka sudah mengerutkan dahinya mendengar kata-kata luar alam Sara. ‘Budak ni dah hilang akal ke apa?’

 

Zieyka geram. Sempat dia menepuk dahi Sara yang sengal itu.

 

Adamberdehem kecil. Rasa tidak selesa melihat adegan bisik-berbisik antara Sara dan Zieyka.

 

“Jom mula. Ibu Maira ni a.k.a Kak Long saya ini, garang. Cepat main, cepat dapat balik rumah.” Kata Zieyka selamba.

Memang dia nak Adamtahu yang Sara ada mak saudara di sini. Bukan main lagi mata Adammerenung Sara sebegitu rupa.

 

Sebenarnya, Sauqi, Azlin, Jebat dan Linda memang dah mula bermain. Tinggal mereka berempat sahaja yang belum mulakan apa-apa.

 

“Maira, kamu ikut Adam Zaffuan. Kamu pun hebat juga kan. Saya risau Adamkalah teruk malam ini. Jiwa kacau.” Usik Hezril sambil mengenyitkan matanya ke arah Adam Zaffuan.

 

Zieyka tersenyum gelihati melihat wajah resah Sara. Tahu pun panik. Jangan Sara buat perangai merenyam dia sudah. Bagi malu keturunan sahaja nanti.

 

Sara cuba kuatkan semangat untuk berdepan dengan Adam Zaffuan. Baru tangannya mahu mengangkat bola bowling. Adambersuara.

 

“Hati-hati. Jangan sampai jatuh tertimpa kaki lagi.”

 

Sara senyum terpaksa.

“Saya tak risau. Kalau berlaku pun ada orang yang akan selamatkan saya.”

 

Adamtersenyum manis. Kacak. Terkedu Sara dibuatnya. Nasib baik tak masuk longkang. Lega sebab banyak pin juga yang jatuh.

 

“Cik Maira biasa main bowling ke?”soal Adam Zaffuan.

Adammemang sengaja mencari ruang untuk dia berbual dengan Sara. Entah mengapa Adamrasa aman dan tenteram apabila memandang wajah Sara.

 

“Biasa. Tapi tidaklah kerap sangat. Kalau ada waktu free macam ini. Datanglah ke sini. Itupun kalau Zieyka dan Azlin ikut sekali. Kalau sorang-sorang itu, tidaklah.”

 

Adammengangguk.

“Saya selalu datang sini dengan Hezril. Biasanya seminggu mesti dua tiga kali. Zieyka dan Azlin ada juga ikut sama. Tapi Sara saya baru kenal hari ini.”

 

Sara senyum. Berderau darah Adamdibuatnya.

 

Hezril tersenyum memandang Adam Zaffuan. Pandangannya beralih pada Sara. Dilihatnya Sara masih merenung Adam Zaffuan. ‘Ish budak ini. Memang dah terpikat dengan Adamke? Adam ini pula macam dah kenal lama dengan Sara. Ah, gasaklah. Lagipun Adam dan Julia dah berpisah. Adam kan solo. Duda berhias lagi.’

Hezril tersenyum di dalam hati. Rasa lucu dengan status Adamyang satu itu.

 

Malam itu, Adambegitu gembira kerana bukan sahaja jiwanya tenang apabila gabungan mantap dia dan Sara membuahkan hasil. Mereka berdua berjaya menjadi juara bowling.

 

Tetapi Adamjuga gembira kerana dapat berkenalan dengan gadis periang, tenang dan lemah-lembut. ‘Ah segala-gala tentang Sara amat memikat hatinya.’ Pulang dari bermain bowling malam itu hatinya berasa tak keruan.

 

Apatah lagi apabila terkenangkan wajah matang milik gadis bernama Sara. ‘Nasib baik dia dah tukar imej. Kalau tak, memang aku pun naik miang nak menikah cepat lagi sekali. Sara… Sara…’

 

Adamsenyum melirik.

 

No comments:

Post a Comment