TEASER CINTA KU
RYAN EZARIF
“Ku Qyan,”jerit nenda
lantang.
Ku
Fareda memejamkan mata. Terketar-ketar tubuh tuanya menahan amarah dan rasa
kecewa terhadap cucu bongsunya, Ku Qyan. Turun naik nafas Ku Fareda melihat
tingkah sumbang Ku Qyan
dengan tunangan abangnya sendiri.
JIJIK!
Jijik dengan perilaku luar alam Ku Qyan. SEBAL! Sebal kerana Ku Qyan tega melukakan
hati darah daging sendiri. Ku Jasmin?
Ku Fareda langsung tidak memandang wajah perempuan itu. Tak sanggup memandang
kerana fikiran dan hati Ku Fareda terbayangkan wajah Ku Ryan.
Kasihan
cucu sulungnya. Ditikam darah daging sendiri. Dikhianati tunang yang amat dicintai. Hampir sahaja
hilang nyawa Ku Fareda menatap perbuatan keji itu.
Raja Sufya memeluk bahu Ku Fareda agar wanita berusia itu
dapat berpaut pada tubuhnya. Risau sungguh Raja Sufyamelihat keadaan ibu
mertuanya. Sekilas mata Raja Sufya menangkap wajah terluka Ku Ryan.
Airmata mengalir pada wajah Raja Sufya. ‘Hancur hati bonda dan nenda, tak sehancur
hati Ku Ryan. Bonda tahu hati Ryan sakit sangat.’
Raja Sufya dengar suara lemah Ku Ryan menyebut nama Ku
Jasmin walau dalam nada perlahan. Terkejut dan terluka.
Tubuh sasa Ku Ryan tersandar di balik pintu bilik Ku
Qyan. Tak sanggup mata Ku Ryan mahu memakukan pandangan matanya pada tingkah
sumbang Ku Qyan dan Ku Jasmin.
Jika kisah Habil dan Qabil mencatat sejarah pembunuhan
pertama dalam sejarah manusia kerana sifat dengki dan iri hati semata-mata
mahukan wanita yang cantik. Ku Ryan tidak sanggup mengulangi sejarah itu lagi.
Tangan kanannya menumbuk dada sendiri sambil beristighfar
berkali-kali. Terduduk Ku Ryan di daun pintu sambil memejamkan mata mencari
kesabaran jiwa. Tiada kata yang terungkap tanda kecewa. Tiada airmata yang
jatuh mengalir tanda merana.
Ku Ryan menahan sebak, ‘Ternyata Ku Jasmin bukan jodohku yang tepat. Bukan juga pemilik tulang
rusuk kiri yang kucari. Tabahlah hati. Sabarlah jiwa. Aku reda.’ Namun sebahagian bahasa jiwa Ku Ryan berasa
lapang dan lega. Cinta? Pertunangan Ku Ryan dan Ku Jasmin lebih kepada rasa
tanggungjawab. Apabila jodoh telah ditetapkan sejak Ku Jasmin lahir, maka
setelah dewasa Ku Ryan yang patuh tidak mampu menolak.
Ku Ryan hanya menurut
perancangan nenda, lagi pula Ku Ryan tidak tahu apa itu cinta. Tidak pernah
bercinta atau jatuh cinta. Namun itu tidak bermakna Ku Ryan tidak kecewa. Usia
pertunangan mereka sudah lebih lima tahun, mana mungkin kebiasaan itu tidak merentap
jiwa.
Semua mata memandang pada dua wajah yang memalit luka di
hati mereka. Ku Qyan berdiri tenang disisi Ku Jasmin sambil memeluk pinggang
ramping wanita cantik itu. Cantik! Cantik sehingga Ku Qyan tegar merampas Ku
Jasmin daripada Ku Ryan dalam diam.
Ku Ryan menundukkan wajah. Sabar menanti penjelasan Ku
Qyan dan Ku Jasmin. Walaupun bagi Ku Ryan, penjelasan yang akan diluahkan nanti
tidak dapat mengubah apa-apa. Tidak juga mampu merawat rasa kecewa yang ada.
Tapi penjelasan itu penting untuk sebuah kemaafan.
Bonda memandang wajah Ku Qyan, “Ku Jasmin bunga larangan.
Milik Ku Ryan. Walaupun belum terlafaz akad. Tetap juga ikatan pertunangan Ku
Ryan dan Ku Jasmin menjadi asbab untuk Ku Qyan tahu batas diri. Menceroboh
milik abang sendiri. Umpama menikam diri sendiri. Tegar sungguh Ku Qyan
memperlakukan kami begini? Sampai hati buat Ku Ryan macam ni.”
“Bonda, apa yang berlaku tak seperti yang bonda fikirkan.
Ku Jasmin…” Kata-kata Ku Qyan tersekat dek pandangan mata Ku Ryan pada dirinya.
Satu sisi, Ku Qyan mahu mendabik dada menyatakan
kemenangan dalam memiliki Ku Jasmin wanita cantik igauan lelaki elit seperti
mereka. Satu sisi lagi, Ku Qyan rasa ngilu kerana terpaksa korbankan
kebahagiaan abang sendiri demi mencari kebahagiaan sendiri. Ku Qyan pentingkan
diri sendiri. Itu benar. Jika taruhannya Ku Jasmin, Ku Qyan rela asalkan Ku
Jasmin miliknya.
“Ku Jasmin wanita halal
milik Ku Qyan,”luah
Ku Qyan
senafas.
Saat
itu, Ku Jasmin
tunduk memandang hujung kakinya. Tidak sanggup
Ku Jasmin melihat reaksi semua. Lebih-lebih lagi, reaksi Ku Ryan yang masih
merenung tepat pada wajahnya. Hati Ku Jasmin sejak dulu keliru. Keliru menilai
hati sendiri. Mahukan Ku Ryan atau Ku Qyan? Apabila menjadi tunangan Ku Ryan,
Ku Jasmin bahagia. Ku Qyan tak pernah mengabaikan perasaan Ku Jasmin. Dalam masa yang sama, hati Ku Jasmin juga
teruja dengan Ku Qyan yang lebih sosial dan mudah mesra.
Ku Ryan menarik nafas panjang menahan sabar akibat
diperbodohkan adik kandung dan tunangannya.
Ku Ryan bertanya senada tanpa memandang wajah pemusnah
hatinya, “Sejak bila?”
“Tiga hari selepas majlis pertunangan along. Kami menikah diam-diam di Thailand.” Jelas Ku Qyan.
Ku Qyan tundukkan wajah. Takut. Takut Ku Ryan
menumbuknya.
Ku Ryan tersenyum sinis dan berkata, “Bermaksud sudah
lima tahun kau sembunyikan status kau dengan Ku Jasmin. Patutlah Ku Jasmin
menolak setiapkali aku usulkan agar pernikahan kami dipercepatkan. Kenapa
menipu? Kenapa merampas? Jika kau mahukan Ku Jasmin. Kau boleh bagitahu aku
dari awal lagi. Jika Ku Jasmin kebahagiaan kau. Aku sanggup mengalah. Apatah
lagi, Ku Jasmin sendiri memang mahukan kau. Apa yang kau buat sekarang bukan
sekadar memalit luka pada aku tapi pada seluruh keluarga. Walaupun kau dah menikah.
Di luar sana, orang mengenali Ku Jasmin sebagai tunangan aku. Bukan sebagai
isteri kau yang sah.”
Ku Qyan tetap tunduk. Ku Jasmin juga diam tanpa suara.
Sempat Ku Ryan menarik nafas dalam-dalam sebelum
menyambung kata, “Sekarang baru kau buka pekung di dada? Setelah tertangkap?
Aku abang kandung kau. Tapi kau jadikan aku badut yang hilang harga diri. Air
dicincang tak akan putus. Malangnya kau tikam aku. Hingga denyut nadi aku
terhenti. Kau bukan sahaja buat aku benci kau. Tapi aku benci diri aku
sendiri.”
Ku Ryan menanggalkan cincin pertunangan di jari manisnya
dan bangun merapati Ku Jasmin sambil mencampak cincin tersebut ke kaki Ku
Jasmin.
Wajah Ku Ryan merah padam menahan marah sambil berkata
lantang, “Aku harap kau bahagia, perempuan. Walaupun dengan menipu dan
mempermainkan keikhlasan cinta aku.”
Tegas suara Ku Ryan bergema di ruang tamu tersebut.
Masing-masing memakukan pandangan pada wajah Ku Ryan yang beku tanpa rasa.
Semua terkedu.
Ku Ryan tergelak kecil, “Kau memilih untuk diam. Dasar
perempuan tak tetap pendirian. Dalam keadaan macam ini kau masih berdiam?
Setidak-tidaknya kau patut lafaz kata maaf.”
Ku Jasmin melawan renungan mata Ku Ryan tunak, “Maaf?
Saat ini Min tak rasa, Ku Ryan akan maafkan Min. Cuma Min nak tegaskan. Min
cintakan Ku Qyan kerana dia lebih mesra dan prihatin pada Min. Berbanding Ku
Ryan yang beku. Sebelum Ku Ryan salahkan Ku Qyan dan Min. Ku Ryan cermin diri
sendiri dahulu.”
Ku Qyan bingkas berdiri dan merapati Ku Jasmin yang sudah
merah padam wajahnya. Ku Qyan menggenggam tangan Ku Jasmin erat. Sungguh Ku
Qyan tidak menyangka yang Ku Jasmin tegar meluah rasa sebegitu rupa. Sudahlah
salah yang ada berpihak pada mereka berdua. Sepatutnya memang kemaafan yang
harus dipinta. Bukan hamburan kata nista.
Ku Ryan gelak besar sambil bertepuk tangan, “Hebat. Kau
hebat perempuan. Kau salahkan aku atas khilaf yang kau buat. Tapi
setidak-tidaknya aku habiskan waktu dengan kau. Aku layan kau sebagai tunang. Tetap ada batas diri antara pergaulan lelaki dan
perempuan sebelum bernikah. Aku tak pernah ambil kesempatan. Apatah lagi, untuk
curang.”
Raja Sufya memegang lengan Ku Ryan erat. Mata Raja Sufya
memandang lirih pada wajah Ku Ryan. Memahami kehendak bonda walaupun tanpa
bicara, Ku Ryan mengetap bibirnya menahan emosi yang membara. Kemudian, tanpa
kata Ku Ryan meninggalkan ruangan tersebut. Semua sudah jelas. Yang terhukum
adalah dirinya. Itu pasti.
Sejak peristiwa itu, Ku Ryan haramkan kakinya untuk
memijak Istana Qasseh. Walaupun Istana Qasseh milik keluarganya dan umpama
syurga dunia namun Ku Ryan tidak mahu berdepan dengan dua pengkhianat itu.
Ku Qyan, putera
bongsu yang diserahkan segala
tanggungjawabnya sebagai peneraju sah warisan Tengku Hairullah dan Tengku Fareda. Dek kerana terluka Ku Ryan membawa diri dan tak ambil peduli langsung tentang
Kesuma Holdings dan semua anak syarikatnya.
Ku Ryan melanggar titah.
Lari
jauh ke
negeri asing dan menghuni Istana Pinggiran bertemankan Mak Haya dan Pak Ghous selaku penjaga
menggantikan bonda dan nenda.
Ku Ryan membina empayarnya sendiri di tanah baru. Ku
Fareda dan Raja Sufya memberi keizinan demi kebaikan seluruh keluarga dengan
harapan dan doa sebelum mata terpejam mahu Ku Ryan dan Ku Qyan seakrab dulu.
Semoga terubat luka di hati Ku Ryan. Akhirnya, boleh memaafkan Ku Qyan dan Ku
Jasmin. Impian Ku Fareda dan Raja Sufya mahu melihat keluarga mereka bersatu
semula.
Namun bila? Bila Ku Ryan mahu kembali? Sedangkan Ku Ryan
semakin jauh. Semakin beku. Semakin hilang emosi.
No comments:
Post a Comment