Friday, October 17, 2025

BLINDSPOT CINTA

 

TEASER BLINDSPOT CINTA

 

“Kamu ingat saya ni siapa? Ibu ayam yang nak jual kamu? Jangan takut Darleen, saya kaya. Harta keluarga saya pun tak habis untuk tujuh keturunan. Saya tak buat kerja kotor macam tu. Saya hanya boleh buat perkara gila hanya pada anak saya yang gila sahaja. Ikut saya Darleen. Luka kamu harus dirawat. Jangan takut, saya tak culik kamu. Jom...” Puan Sri Ratna memaut lengan Darleen erat.

Darleen hanya mampu menurut sahaja tanpa kata. Tersentuh hati Darleen apabila melihat wajah risau wanita yang sebaya usia uminya ini.

 

Sadisnya, Darleen tak pernah terpandang wajah risau sebegitu pada wajah umi. Darleen memandang wajah Puan Sri Ratna lagi.

 

“Kenapa pandang saya begitu?”soal Puan Sri Ratna dengan kerutan pada keningnya.

 

Darleen paksa senyum sambil menggeleng perlahan. Kelu lidah untuk berbalas kata. Kasih sayang yang terpamer dari wanita asing ini menggugah rasa.

Puan Sri Ratna pula semakin pelik. Apatah lagi, melihat airmata yang bertakung di mata Darleen.

 

“Kamu ada rasa sakit di mana-mana ke, Darleen?”soal Puan Sri Ratna sambil menilik seluruh badan Darleen.

 

Darleen menggeleng laju. Bimbang air mata mengalir laju jika Puan Sri Ratna masih mempamerkan keprihatinan yang sebegitu.

 

Sumpah, Darleen rindukan kemesraan dan kasih sayang sebegini.

 

Kali ini, Darleen mencapai tangan Puan Sri Ratna dan menggenggamnya.

 

“Saya tak apa-apa, Puan Sri. Luka kecil sahaja. Kalau tak ke hospital pun tak mengapa...” Balas Darleen seraya menahan sebak.

 

“Tak boleh. Saya nampak bagaimana kamu dipukul oleh penjahat-penjahat tu tadi. Daripada luar lukanya mungkin nampak kecil. Tapi luka kat dalam tu, perlu pemeriksaan terperinci. Kamu masih muda Darleen. Jangan ambil mudah soal tubuh badan dan kesihatan kamu.” Nasihat Puan Sri Ratna sambil mengusap bahu Darleen lembut.

 

Darleen jeda.

 

Sepanjang perjalanan ke klinik, Darleen hanya diam melayan perasaan.

 

***

 

Sampai sahaja di klinik, Darleen teruja seketika melihat ruang legarnya. Klinik orang kaya gamaknya. Cantik dan nampak indah. Kalau tak ada papan tanda klinik, mungkin Darleen sangka bangunan ini adalah hotel mewah.

 

Sekali lagi hati Darleen tersentuh dengan tingkah Puan Sri Ratna. Sibuk menguruskan pendaftarannya di kaunter pendaftaran.

 

Kemudian, Puan Sri Ratna memimpin Darleen masuk ke bilik rawatan untuk bertemu doktor.

 

Tiba-tiba...

 

“Menantu you, ke? Cantiknya...”

 

Darleen tundukkan wajah apabila direnung sebegitu rupa oleh Doktor Tya.

 

Puan Sri Ratna gelak besar, “I hope so. Tapi kau pun tahu Arden tu orangnya bagaimana. Kalau dengan perempuan, garangnya melampau. Mana ada perempuan yang berani dekat?”

 

Berkerut dahi Darleen apabila mendengar nama Arden disebut-sebut.

 

Mustahil.

 

Mungkin otak Darleen ini terlalu kecamuk dengan sikap tegas bosnya sampai nama bos pun terngiang-ngiang di mana-mana.

Doktor Tya tersengih memandang Darleen.

 

“Ni dah ada calon. Ciptalah plot terhebat sampai anak bujang you tu jatuh cinta. Macamlah tak biasa.” Kata Doktor Tya lagi.

 

Dalam masa yang sama, Doktor Tya tetap menjalankan tugas sebagai doktor yang merawat Darleen.

 

Darleen pejam mata...

 

Serah diri dan bagi kerjasama untuk Doktor Tya merawatnya.

 

Sekali sekala mata Darleen bertembung pandang dengan mata Puan Sri Ratna. Peluh dingin kini membasahi tubuh Darleen. Seriau pula melihat pandangan Puan Sri Ratna.

 

Semasa menunggu ubat di luar bilik Doktor Tya, Puan Sri Ratna masih berada di sisi Darleen.

 

“Kamu dah ada teman lelaki?”soal Puan Sri Ratna tiba-tiba.

 

Perit tekak Darleen mahu menjawab soalan cepu emas tu.

 

Darleen menggeleng.

 

“Kamu masih belajar atau sudah bekerja?”soal Puan Sri Ratna lagi.

 

“Saya dah bekerja Puan Sri.” Balas Darleen sopan.

Tiba-tiba...

 

“Mama...”

 

Teriakan nyaring seorang lelaki membuat jantung Darleen berdegup kencang.

 

Pucat wajah Darleen apabila melihat figura Arden mendatangi Puan Sri Ratna dan Darleen.

 

Arden meluru laju ke arah Puan Sri Ratna dan memeluk mamanya erat.

 

“Hampir gugur jantung Ard, bila Pak Khatib bagitahu yang mama...” Arden tak dapat menghabiskan ayatnya apabila terpandangkan wajah Darleen di sebelah Puan Sri Ratna.

 

Arden jeda sambil menjengah pandang mencari kelibat wajah seseorang.

“Darleen?”bisik Arden perlahan tetapi masih boleh didengari Puan Sri Ratna dan Darleen.

 

Darleen cuba sembunyikan wajah di belakang badan Puan Sri Ratna tetapi sudah terlambat kerana Arden sudah melihatnya.

 

Puan Sri Ratna juga berasa pelik dengan tingkah Arden. Selalunya, Arden tak terkesan dengan kehadiran mana-mana perempuan. Malahan, jarang Arden nak ambil tahu dan nak ingat nama mana-mana perempuan kecuali Joana. Itupun mengambil masa yang lama nak ingat.

 

Darleen akur dengan keadaan. Pantas sahaja Darleen berdiri dan tunduk hormat ke arah Arden.

 

“Erm, saya minta maaf bos. Saya dah terlambat masuk ofis balik selepas waktu lunch. Bos boleh deduct gaji saya untuk hari ini...” Luah Darleen perlahan.

 

Terkebil-kebil mata Puan Sri Ratna memandang Darleen.

 

Sudahnya, Puan Sri Ratna bangun dan menarik tubuh Darleen rapat ke sisinya.

 

“Staf kamu ke, Ard?”soal Puan Sri Ratna teruja.

 

Arden sekadar mengangguk sambil anak matanya masih kekal memandang Darleen tunak.

 

Darleen pula dah cuak.

 

Puan Sri Ratna tersenyum sendiri.

 

“Tak perlu nak deduct gaji. Jangan nak jadi lelaki tak berhati perut pula Ard. Orang dahlah sakit. Nak marah-marah pula. Bagi cuti seminggu. Mama take over Darleen for one week. Then you take her back.” Luah Puan Sri Ratna selamba.

 

Darleen pula yang tercengang mendengar luahan kata Puan Sri Ratna.

 

‘Apa hal pula Puan Sri Ratna ni nak take over aku? Aku keje dengan anak dia. Bukan dengan dia.’ Bisik hati kecil Darleen.

 

“Tu, mama tengok tu. Mengumpat dalam hati tu. Lagipun mama... Darleen pengganti Joana. How come Ard nak manage syarikat kalau personal Assistant Ard tak ada?” Balas Arden menagih simpati Puan Sri Ratna.

 

Terbeliak mata Darleen apabila Arden selamba mengutuknya di depan Puan Sri Ratna.

 

“Dengan mama pun nak kedekut. Kalau macam tu, Ard pergi balik sekarang. Mama nak hantar Darleen. Jangan risau. Mama tak apa-apa. Lagipun tadi, penjahat tu attack Darleen bukan mama.” Kata Puan Sri Ratna lagi.

 

“What?” Tinggi oktaf suara Arden sambil dia meluru merapati Darleen dan menilik tubuh badan Darleen.

 

Puan Sri Ratna tersenyum manis melihat telatah Arden. Sekilas dia memandang ke wajah Darleen yang cuba mengelak daripada bertembung pandang dengan Arden.

 

Ini sikap luar biasa Arden yang Puan Sri Ratna tak pernah nampak.

 

Darleen pula yang termalu sendiri, “Bos ni dah kenapa? Elok aje saya duduk berdiri berjalan depan mata sejak tadi. Okeylah. Masih bernafas lagi.”

Arden juling mata ke atas sambil menjentik mulut Darleen, “Mulut tu... Menjawab aje kerjanya. Memanglah masih bernafas. Nak sangat mati ke?”

 

Darleen automatik memegang bibirnya yang dijentik oleh Arden. ‘Mamat ini suka hati aje nak jentik sesuka hati. Mama dia ada pun tak reti kawal tingkah. Tak pasal aku pula yang kena sound dengan mama dia ni karang.’

 

Hati Darleen dah berdebar-debar. Melihat pandangan mata Puan Sri Ratna pun Darleen dah rasa nak tercabut lutut.

 

Arden betulkan kotak suara, “Aku risau kalau kau sakit. Yang susahnya aku. Kat pejabat tu banyak benda kau kena uruskan.”

Juling anak mata Puan Sri Ratna mendengar alasan Arden. ‘Cover line, konon. Depan mama pula tu. Habiskan air liur je. Mama pun macam Ard jugalah dulu.’

 

Puan Sri Ratna menolak kasar tubuh Arden agar menjauh daripada Darleen.

 

“Sudahlah, Ard. Pergi balik. Jom Darleen. Jangan dilayan bos mental macam ini. Emosi pasang surut. Mama mendengar pun jadi serabut.”

 

Darleen tahan senyum.

Puan Sri Ratna menarik lembut tangan Darleen agar berjalan beriringan dengannya.

 

Arden?

Arden ditinggalkan terkulat-kulat sendirian. Hanya anak mata Arden sahaja yang mengekori figura mama dan Darleen.

 

Kalau dengan Puan Sri Ratna memang Arden kalah badi. Itulah satu-satunya perempuan yang boleh buat Arden jatuh tersungkur. Hah, ada sorang lagi... Nenda.

 

Nasib baiklah mama ini memahami jiwa Arden. Soal jodoh pun mama cerewet.

 

Jadi Arden tak bimbang sangat jika mama mahu memperkenalkan mana-mana perempuan yang mama dah berkenan.

Tapi sepanjang yang Arden tahu, mama reject semua perempuan yang dicadangkan untuk Arden.

 

Susah tahu nak tambat hati Puan Sri Ratna tu. Dan bukan mudah mahu rapat dengan Puan Sri Ratna.

 

Arden garu kepala apabila melihat reaksi mama dengan Darleen. Lain macam...

 

Tetiba meremang bulu roma Arden.

 

Sudahnya, Arden angkat kaki pulang ke ofisnya. Biarlah Darleen dengan mama tu. Nak fikir pun malas. Buat serabut otak. Nanti Darleen dah masuk kerja semula, Arden akan paksa Darleen ceritakan semua dari A to Z.

 

No comments:

Post a Comment