Saturday, July 25, 2026

KISAH YANG DITAKDIRKAN

 

BLURB
Dato’ Areez Marteen, seorang jutawan dingin, mudah marah, dan pernah hancur kerana dikhianati tunangnya sendiri.
Sehingga dia bertemu Haura. Sekali pandang, hati terus terpaut. Dia ikat Haura sebagai isteri… bukan untuk main-main, tapi untuk miliki sepenuhnya.

Haura setuju, bukan sebab harta, tapi untuk lari dari keluarga toksik yang terlalu posesif. Benarkah? 
Tapi hidup sebagai isteri jutawan tak semudah cerita dongeng. Tekanan mula mengganggu fikirannya. Dan yang paling memalukan, mereka ditangkap khalwat… sedangkan mereka suami isteri sah!
Rahsia terbongkar. Keluarga terkejut. Wujudkah restu untuk mereka berdua? 

Adakah takdir ini akan membawa kebahagiaan, atau sekadar ujian yang terlalu berat? 


TEASER 1
Menara pencakar langit milik Kumpulan Marteen tersergam gah di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Di ruang pejabat yang luas yang terletak di tingkat paling atas, kelihatan satu cahaya samar dari lampu meja… Masih menyala. 
Seorang lelaki duduk bersandar sambil mata memandang terus ke arah langit malam dari balik tingkap kaca lutsinar. 
Bulan bintang yang kelihatan indah dan terang, tidak mampu memberi sinar pada hatinya yang gelap. Beku. 
Dia adalah Dato’ Areez Marteen.
Pada usia yang baru mencecah tiga puluh dua tahun, namanya sudah terukir sebagai salah seorang usahawan paling berjaya dan berpengaruh di rantau ini. Kekayaannya dikira dalam angka berjuta, malah melebihi nilai juta. 
Namun…
Di sebalik pakaian mewah yang kemas, jam tangan berharga dan pangkat yang dihormati. Tersembunyi satu hati yang tertutup rapat, seolah-olah dikunci dan dikuburkan di tempat yang paling dalam.
Malam itu, dia tidak sibuk menyemak laporan kewangan mahupun merangka strategi perniagaan baharu. Matanya hanya terpaku pada sehelai kertas yang terletak di atas meja, bersama dengan sekotak cincin berlian yang dulunya melambangkan janji kasih seumur hidup. 
Ingatannya melayang kembali ke masa lalu, kira-kira lima tahun yang lalu.
Dahulu, Dato’ Areez Marteen pernah percaya bahawa dia telah menemui seseorang yang boleh melengkapkan hidupnya. Seorang wanita yang lembut tutur kata, sentiasa senyum dan nampak begitu ikhlas setiap kali memandang wajahnya. Dan kerana pesona itu juga, dia terpukau dan mempertaruhkan cinta. Pertunangan diikat. 
Tapi ternyata, cintanya tersalah mendarat pada hati yang sesat.
Dato’ Areez Marteen tidak pernah berkira soal harta atau kedudukan. Walaupun, Qadeeja gadis yatim piatu dan sederhana. Dia tetap menjadi pilihan Dato’ Areez Marteen. 
Untuk Qadeeja… Dato’ Areez Marteen membuka pintu hatinya seluas-luasnya. Memberikan kepercayaan yang tidak terhingga dan merancang masa depan yang indah bersama wanita itu.
Sadisnya, semua impian itu hancur berkecai dalam sekelip mata.
Kejujuran dan kesetiaan yang dia sangka wujud itu hanyalah lakonan yang sangat sempurna. 
Wanita yang dia ingin jadikan isteri itu sebenarnya sudah mempunyai pasangan yang sah. Paling menyakitkan apabila, suami wanita itu merupakan orang kepercayaan Dato’ Areez sendiri. Memang kecewa sangat apabila dikhianati sebegitu rupa. 

Di sisi Areez, Qadeeja terus berpura-pura menjadi kekasih setia yang nampak bahagia menanti hari perkahwinan. Namun, dia juga isteri rahsia pada Falah. 
Setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Akhirnya, Qadeeja kantoi apabila sijil nikahnya tersebar di media sosial. 
Berita itu tersebar seperti api yang menjalar di musim kemarau. 
Dunia elit Dato’ Areez dan masyarakat mula bergosip. Ada yang berasa kasihan, ada yang menjadikan ia bahan jenaka dan tidak kurang juga yang memandang Dato’ Areez dengan pandangan sinis. Seolah-olah, dia adalah seorang lelaki yang mudah ditipu. Bodoh.
Namun, Dato’ Areez tidak membenarkan perasaan marah meluap-luap sehingga hilang pertimbangan. Sebaliknya, dia berubah menjadi lebih tenang tetapi ketenangan itu adalah tanda bahawa hatinya telah mati terhadap perasaan percaya.
Dia tidak membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja. Melalui peguamnya, dia memfailkan tuntutan mahkamah bukan untuk membalas dendam secara kasar, tetapi untuk menuntut ganti rugi atas kerosakan nama baik dan emosi yang dialaminya. Saman malu atas penipuan status. 
Proses perbicaraan berjalan lancar dan keputusan muktamad berpihak kepadanya. Mahkamah memerintahkan bekas tunangnya itu membayar sejumlah wang yang cukup besar sebagai pampasan. Apabila wang itu akhirnya masuk ke dalam akaunnya, Dato’ Areez hanya memandang angka itu dengan pandangan kosong. Wang itu tidak dapat memulihkan luka di hatinya, tidak dapat memadamkan rasa dikhianati dan tidak dapat mengembalikan kepercayaan yang sudah hilang. 

TEASER 2
Sampai sekarang masih berjalan ansuran saman tersebut daripada pihak Qadeeja dan Falah. 
“Aku saman memang sebab aku nak kau susah.” Kata Dato’ Areez tenang. 
Sejak hari itu, Dato’ Areez Marteen menjadi lelaki yang berbeza. Sifatnya yang dulunya sekadar pendiam kini bertukar menjadi dingin dan tidak mempedulikan orang sekeliling. 
Baginya, cinta hanyalah satu bentuk kelemahan. 
Bagi Dato’ Areez, setiap perempuan yang mendekatinya pasti mempunyai kepentingan tersendiri. 
Sama ada mengejar harta, pangkat atau nama. Justeru, dia membina tembok yang tinggi dan kukuh… Berjanji dalam hati bahawa tidak akan ada sesiapa pun yang berpeluang melukakan hatinya lagi, buat kali kedua.
Hari demi hari berlalu dan hidupnya kembali teratur mengikut jadual yang ketat. Kerja menjadi pelariannya dan kesibukan menjadi penenang kepada luka yang belum sembuh sepenuhnya. 
Bagi orang luar, dia adalah lelaki yang sempurna, kaya dan berkuasa. Malahan, tiada apa yang kurang. Namun, hanya dia sendiri yang tahu betapa sunyinya hidup. Mungkin… Tidak akan pernah ada cinta untuk aku. Bisik Dato’Areez Marteen perlahan pada diri sendiri. Semua yang datang hanya gilakan harta dan statusnya. 
Dia memandang bayangannya di tingkap kaca. Kelihatan seorang lelaki yang kelihatan kuat, tetapi sebenarnya sangat takut untuk jatuh cinta lagi.
Tiada lagi ruang untuk pengkhianatan. Tiada lagi ruang untuk rasa percaya. Biarlah hati ini kekal begini. Lebih baik dingin dan sunyi, daripada membuka ruang dan kemudian dilukai sekali lagi. Bisiknya perlahan dan suaranya hanya bergema di dalam ruang sunyi ini. 
Walaupun, Dato’ Areez telah memutuskan untuk menutup pintu hati untuk selamanya. Namun, takdir datang tanpa disangka. 
Tidak lama lagi, takdir akan membawanya bertemu dengan seseorang yang datang bukan dengan niat untuk mengambil kesempatan. Tetapi hanya membawa kesederhanaan dan kebahagiaan… 
Seseorang yang tanpa disedari, akan mula meresap masuk ke dalam celah-celah tembok yang dibina dan secara perlahan-lahan mengubah segala keyakinan yang sudah dipegang teguh selama ini.
Dan pada ketika itu, dia belum tahu bahawa pertemuan itu bukan sekadar kebetulan. Ia adalah permulaan kepada satu kisah baharu yang akan menguji semula apa itu cinta, kesetiaan dan sama ada hati yang sudah membeku itu masih mampu berdenyut sekali lagi. Kerana gadisnya kini berbeza… Haura Irani. 


TEASER 3
Hari ini merupakan hari pengumuman keputusan STPM. Haura sendirian datang ke sekolah. Tidak ditemani Mama atau Pak Ngah. Haura, okey. Sebagai anak angkat dalam keluarga Hajah Amna… Haura tidak meminta sesuatu yang melebih-lebih. Kasih sayang yang selama ini mereka pamerkan pun sudah cukup banyak.
Lagipun, Mama dan Pak Ngah… Masing-masing sibuk dengan tanggungjawab yang lebih penting.
Haura duduk diam di kerusi sambil cuba bertenang. Berdebar-debar sungguh Haura. Tapi bukan Haura seorang sahaja yang berperasaan sebegini. Boleh dikatakan kesemua yang mengambil STPM ini… berdebar. Malahan, pihak sekolah termasuk guru-guru dan Pengetua juga turut berdebar. 
Normal.
Pengisian pihak sekolah pada hari pengumuman ini agak padat dengan pelbagai taklimat. Selain itu, ada banyak booth-booth promosi daripada pelbagai ipt yang menawarkan pelbagai program. 
Teruja Haura melihat flyers dan brochures mereka. Tak sabarnya nak masuk universiti. 
Suara rakan-rakan bergema di pekarangan sekolah sebaik sahaja keputusan STPM diumumkan. 
Haura juga ada menggunakan aplikasi dalam talian untuk mengetahui keputusan STPMnya. Masa menunjukkan pukul 10 pagi dan tibalah masanya… Berpeluh dahi dan ketiak.
Berdebar-debar Haura mahu melihat skrin telefon bimbitnya.
“Haura! Kau dapat berapa pointer?” Soal Atifa. 
Haura memandang skrin telefon bimbit di tangannya berkali-kali. Tangannya menggigil. Air mata Haura, akhirnya gugur juga.
“Alhamdulillah…” Luah Haura Irani dengan nada syukur dan lega.
Haura menekup mulut. Dadanya berombak menahan sebak. Keputusan yang diimpikannya selama ini benar-benar menjadi kenyataan.
Keputusan cemerlang. Sangat cemerlang.
“Haura!” jerit sahabatnya, Syifa.
Atifa dan Syifa terus memeluknya selepas sama-sama melihat ke skrin telefon bimbit Haura.
“Aku tahu kau boleh! Aku tahu!” Luah Atifa girang.
Haura tersenyum sambil mengesat air mata.
“Lepas ni kau mesti dapat sambung ke IPT terbaik dengan biasiswa…” Kata Atifa lagi.

Syifa mengangguk laju.

“Itulah impian aku.” Luah Haura pula.
Haura ketawa kecil. Dalam fikirannya mula melakar pelbagai impian.
Universiti. Ijazah Sarjana Muda. Kehidupan kampus.
Haura tak mengimpikan universiti swasta kerana Haura tak mahu menyusahkan Mama atau Pak Ngah. Haura hanya berdoa agar nanti dirinya mendapat tempat di universiti awam. 
Dia mahu menjadi orang berjaya.
Dia mahu mengubah hidup.
Dia mahu membalas jasa Mama dan Pak Ngah yang telah membesarkannya sejak berusia lima tahun. Walaupun bukan darah daging sendiri, wanita itu sanggup menjaganya selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan.
Selama tujuh belas tahun… Wanita itu menjadi satu-satunya insan yang dipanggil mama. Walaupun, hanya sekadar Mama angkat tetap juga Engku Amna memberi impak dalam kehidupan Haura Irani. 
“Mama kau mesti bangga…” Kata Atifa dengan senyuman.
Syifa turut mengangguk tanda mengiyakan ayat tersebut.
Haura juga mengangguk perlahan, “Harapnya begitulah…”
Jauh di sudut hati, Haura memang benar-benar berharap agar hari ini menjadi hari paling menggembirakan dalam hidup mereka.
Mama pasti tersenyum. Mama pasti bangga. Mama pasti mengizinkannya menyambung pelajaran.
Dengan hati yang berbunga-bunga, Haura memandu cermat. Kereta yang dipandu oleh Haura ini merupakan hadiah daripada Pak Ngah Badri. Sempena meraikan kejayaan Haura kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Hmm, kali ini agaknya apa pula hadiah Pak Ngah? Kembang berbunga hati Haura.
Sepanjang perjalanan, dia tidak berhenti tersenyum.


TEASER 4
Slip keputusan itu dipandang berkali-kali. Jarinya mengusap perlahan setiap aksara dan angka yang tercetak. Ini untuk ibu juga… Bisik Haura perlahan kepada arwah ibu kandungnya. Haura tak ingat bagaimana wajah ibunya tapi dengan gambar yang Mama bagi… Haura dapat mengenal susuk wajah ibu kandungnya. Ibu kandungnya Warda merupakan sahabat baik Mama atau lebih dikenali dengan gelaran Engku Amna.
Rindu. Rindu sangat pada arwah ibu dan ayah kandungnya. Teringin sangat nak bertemu. Tapi sudah suratan… Kedua-dua ibu dan ayahnya meninggal dunia di saat Haura masih kecil.
Jika arwah masih ada, pasti mereka akan tersenyum bangga. 
Kereta yang dipandu oleh Haura memasuki pekarangan rumah Engku Amna. Tersergam indah. Banglo mewah yang sederhana besar. Berkali-kali Haura bersyukur kerana dijadikan anak angkat di rumah ini. Jika tidak, pasti tempat Haura tercampak ke Rumah Anak Yatim. Melalui Mama, Haura dapat tahu yang arwah ibu dan ayahnya juga merupakan anak yatim piatu dan membesar di Rumah Anak Yatim.
Haura keluar dari kereta sambil memeluk fail biru yang menyimpan keputusan STPMnya.
Langkahnya pantas. Haura sudah membayangkan perbualan dengan mama.
Suara mama kedengaran lantang dari dapur.
Haura melangkah masuk ke ruangan dapur.
“Mama…” Panggil Haura lembut dengan senyuman manis.
Wanita berusia lima puluh lima tahun itu sedang memegang secawan kopi panas dengan wajah masam.
Engku Amna langsung tidak memandangnya. Hati haura sedikit terguris.
Haura tetap tersenyum lebar, “Mama tengok ni.”
Haura menghulurkan slip keputusan, “Mama… Haura dapat keputusan terbaik.”
Wanita itu menyambutnya tanpa banyak reaksi.
Sekali pandang. Dua kali pandang. Kemudian diletakkan begitu sahaja di atas meja.
“Hmm.” Luah Engku Amna.
Hanya itu. Senyuman Haura perlahan-lahan pudar.
“Baguslah.” Sambung Engku Amna lagi.
Nada itu terlalu dingin. Tiada ucapan tahniah. Tiada pelukan. Tiada senyuman.
Haura cuba memujuk hati. Mungkin Mama penat. Tapi pelik… Sebab Mama jarang begini dengan Haura. Selalunya Mama seorang yang penyayang. Malahan, Haura juga pelik kerana hari ini Mama tak mahu menemani Haura ke sekolah. Pak Ngah juga. Sejak kebelakangan ini seolah-olah mencipta jarak dengan Haura.

“Mama…” Panggil Haura lembut.
“Apa lagi?” Soal Hajah Amna senada.
“Haura nak minta izin…” Kata Haura berhati-hati.
Engku Amna akhirnya memandang tepat ke wajah Haura.
“Izin apa?” Soal Engku Amna.
“Haura nak sambung belajar…” Kata Haura penuh pengharapan.
Belum sempat dia menghabiskan ayat...
“Mama tak izinkan…” Kata Engku Amna dan jeda.
Haura terkedu, “Ma… Mama…”
“Tak payah sambung belajar. Mama dah buat keputusan…” Engku Amna jeda lagi.
“Tapi mama…” Haura sendiri sedikit terkejut mendengar kata-kata Mama.
Dunia Haura terasa berhenti berputar, “Mama... kenapa?”
Wanita itu meletakkan cawan kopinya ke atas meja.
“Hujung bulan ni Haura nikah.” Kata Engku Amna tegas.
Haura membulatkan mata, “Ni... nikah?”
“Ya.” Jawab Engku Amna ringkas.
“Dengan siapa?” Soal Haura cuba memberanikan diri untuk bertanya.
Takkan nak diam. Ini hal paling besar dalam kehidupannya.
“Pak Ngah.” Jawab Engku Amna.
Fail di tangan Haura terlepas lalu jatuh ke lantai, “Pa... Pak Ngah?”
“Ya.” Jawab Engku Amna lagi.
Haura terkejut. Terdiam beberapa saat. Cuba berfikir dengan waras. Namun, air mata Haura terus mengalir. Logik apakah ini? Gurauan? Mimpi? 
“Mama… mama bergurau kan?” Soal Haura lagi.
“Aku tak ada masa nak bergurau.” Kata Engku Amna dengan wajah ketat dan tegang.
“Tapi... Pak Ngah tu...” Haura jeda pula.
“Kenapa dengan dia?” Soal Engku Amna sambil merenung tajam ke wajah Haura.
“Dia... dia jauh lebih tua daripada Haura…” Kata Haura perlahan.
“Jadi?” Soal Engku Amna sepatah.
“Dia, adik aku. Dia lelaki baik. Dia mampu jaga kau...” Luah Engku Amna lagi.

“Tapi mama…” Haura cuba membantah dan mencipta alasan.
Tapi otak Haura rasa tepu. Haura menggeleng berkali-kali.
“Tak... tak... Haura tak boleh…” Kata Haura lagi.
Mana mungkin Haura bersetuju. Selama ini, Haura hanya menganggap Pak Ngah sebagai bapa saudaranya. Walaupun, hanya bapa saudara angkat kerana Pak Ngah Badri tu adik kandung Mama… Tapi Pak Ngah tetap susuk lelaki yang Haura hormat dan menganggapnya sebagai lelaki yang tak patut Haura nikahi.
“Haura nak sambung belajar.” Kata Haura lagi.
“Boleh sambung belajar jika Engku Badri izinkan. Yang pastu, jadi isteri Engku Badri dahulu… Hal yang lain, bincang kemudian...” Sambung Engku Amna lagi.
Haura mengeluh, “Mama… Itu Pak Ngah. Haura dah anggap macam Pak Ngah kandung Haura sendiri. Sekarang ini, Haura nak sambung belajar. Bukan nak kahwin…”
Engku Amna menoleh ke arah Haura, “Mama kata tak perlu!”
Suara wanita itu meninggi.
Haura sudah menangis tersedu-sedu.
“Mama... tolonglah…” Kata Haura cuba meraih simpati.

TEASER 5
Hati Mama keras macam batu!
“Mama dah besarkan kau. Aku bawa kau ke rumah ini. Besarkan kau dengan sempurna. Bagi kasih sayang. Bagi kemewahan. Bagi kau bersekolah. Bagi kau jadi pandai begini. Tapi sekarang satu aje aku minta daripada kau… Jadi isteri Engku Badri.” Luah Mama dengan nada yang lebih tegas.
Haura terus diam. Ayat itu menikam jantungnya. Setiap patah perkataan membuatkan kepala Haura semakin tertunduk.
Haura terduduk di kerusi yang berada dekat dengannya.
“Anggap sahaja, kau sedang membalas budi. Aku tak minta apa-apa. Aku cuma nak kau jadi isteri Engku Badri.” Kata Engku Amna lagi.
Haura menangis teresak-esak, “Mama… Haura memang nak balas budi. Tapi bukan dengan cara begini.”
Engku Amna merampas slip keputusan STPM yang berada di atas meja.
Haura segera menghampiri, “Mama jangan…”
“Sebab keputusan ini, kau berani lawan cakap aku?” Soal Engku Amna geram.
“Tak!” Balas Haura laju.
Haura cuba berkompromi, “Mama… itu hasil usaha Haura…”
Krakkk!
Belum sempat Haura menghabiskan ayat… Slip keputusan itu dikoyakkan tepat di hadapan matanya.
“Mama!” Haura menjerit.
Air mata Haura semakin deras, “Mama jangan!”
Kertas itu dikoyak lagi. Dan lagi. Sehingga menjadi cebisan kecil.
Haura jatuh melutut. Tangannya cuba mengutip cebisan-cebisan itu.
“Mama…” Suara Haura sudah hilang.
Impian Haura untuk ke menara gading ibarat mimpi yang hilang selepas terbangun daripada tidur. Haura memandang cebisan slip keputusan STPMnya.
Segala penat lelahnya.
Segala usahanya.
Segala malam yang dihabiskan dengan buku.
Semuanya seolah-olah musnah dalam sekelip mata.

Ketika itu terdengar bunyi enjin kereta yang berhenti di halaman luar rumah. Kereta Pak Ngah.
“Assalamualaikum.” Kata Pak Ngah sambil melangkah masuk.
Jujurnya, Engku Badri tergesa-gesa pulang mahu bertemu Haura untuk mengetahui keputusan STPMnya.
Wajah lelaki yang berusia empat puluh satu tahun itu berubah sebaik melihat Haura menangis di lantai.
“Kenapa ni?” Soal Engku Badri.
Engku Amna menjawab tenang, “Aku dah beritahu dia pasal nikah.”
Pak Ngah menghela nafas panjang. Dia memandang Haura yang sedang mengutip cebisan keputusan STPM.
“Haura…” Panggil Engku Badri.
Haura langsung tidak memandang.
“Boleh kita bincang elok-elok?” Pak Ngah bersuara perlahan kepada kakaknya.
“Tak ada apa nak bincang.” Balas Engku Amna.
“Tapi Haura baru dapat keputusan. Sepatutnya, kita meraikan dahulu. Bukan mematahkan semangat dia. Kehidupan dia masih panjang kak…” Kata Engku Badri lembut.
“Aku dah buat keputusan.” Kata Engku Amna tanpa sedikit pun memandang ke wajah Haura atau Engku Badri.
“Biar dia fikir dulu.” Kata Engku Badri tenang lagi.
“Tak perlu.” Balas Engku Amna pula.
“Dia masih muda.” Kata Engku Badri sambil merenung ke wajah Haura.
Haura masih tunduk dan menahan esakannya.
“Bagi dia sambung belajar dulu…” Kata Engku Badri.
Haura mendongak. Matanya merah. Buat pertama kali ada seseorang mempertahankannya.
Namun… Engku Amna terus menghentak meja.
“Tak!”
Engku Badri terdiam. Hilang kosa kata. Engku Amna jika mengamuk memang begini. Engku Badri sendiri tak mampu nak memujuk. Selama inipun, Engku Badri sendiri banyak terhutang budi dengan kakak kandungnya, Engku Amna. 
“Kau sendiri pernah cakap nak kahwin. Lagipun, usia kau tu bukan muda lagi. Aku dah lama sabar dengan alasan kau selama ini. Asyik nak bertangguh sahaja. Sampai bila? Sampai kau tak boleh nak bagi pewaris juga? Macam aku? Ingat Badri, kita perlukan pewaris… Aku nak Haura jadi pewaris sah dan aku nak Haura yang bakal melahirkan penyambung keturunan kau. Kau dah janji Badri. Aku cuma tuntut janji kau. Aku dah mudahkan urusan… Haura dah tahu. Jadi, jangan nak berdalih lagi. Kau tetap akan jadi suami Haura pada hujung bulan ini.” Kata Engku Amna panjang lebar.
Haura merangkak menghampiri Engku Amna. Dia memegang hujung blouse Engku Amna.
“Mama… Tolonglah. Haura rayu sangat. Haura nak sambung belajar.” Kata Haura dengan nada tersekat-sekat.
“Jangan menangis depan aku. Airmata kau takkan mengubah keputusan aku. Aku sayang kau, Haura. Sayang sangat. Aku hanya mahu kau jadi sebahagian daripada keluarga aku. Aku harap kau dapat balas segala jasa dan pengorbanan aku membesarkan kau. Kahwin dengan Engku Badri… Aku yakin, Engku Badri akan izinkan kau sambung belajar…” Kata Engku Amna.
Haura terdiam. Haura terasa seperti seluruh impiannya musnah. Cita-citanya menjauh.
Ayat itu lebih menyakitkan. Dia memang terhutang budi. Mama yang membesarkannya. Mama yang memberinya makan. Mama yang menghantarnya ke sekolah. Mama yang menjaganya ketika sakit. Bagaimana mungkin dia mampu melawan?
Tetapi…
Bagaimana pula dengan impiannya? Bagaimana dengan masa depannya? Bagaimana dengan cita-cita yang baru sahaja terasa begitu dekat? Dia memandang cebisan-cebisan keputusan STPM di atas lantai.
Air matanya menitis tanpa henti.
Pak Ngah hanya mampu menghela nafas panjang. Wajah lelaki itu jelas serba salah. Dia sendiri tidak menyangka keputusan itu dibuat tanpa persetujuan Haura. Namun setiap kali dia cuba membuka mulut, kakaknya akan mematikan segala ruang untuk berbincang.
Suasana menjadi hening. Hanya bunyi tangisan halus Haura yang masih kedengaran.
Di luar rumah, matahari petang masih bersinar indah. Tetapi bagi Haura, hari yang bermula dengan senyuman dan seribu impian itu berakhir dengan kekecewaan. sebuah keputusan yang memusnahkan seluruh masa depannya. Lebih menyakitkan Haura tidak tahu sama ada dirinya masih mempunyai kekuatan untuk mempertahankan impian itu… Atau sekadar menurut demi membalas budi wanita yang telah membesarkannya sejak kecil.


No comments:

Post a Comment