BLURB AM I YOUR LOVER?
AM I YOUR LOVER? Berkisahkan dua jiwa yang terluka. Mencintai tak semestinya memiliki, melainkan jika masa dah tak tertangguh.
Force Marriage telah memusnahkan kepercayaan Syed Wazir dan dirinya hampir terkorban. Kerana cinta, Haniya merobohkan istana bahagia yang terbina lama.
Dalam pada itu, Maya Arina tetap menjadi pelindung pada lelaki yang dicintainya. He will break you, but you will love him forever... Itu bisikan cinta dari dasar hati Maya Arina yang rapuh.
Mungkinkah wujud peluang cinta kedua antara Syed Wazir dan Maya Arina? Sedangkan luka yang ditinggalkan Haniya begitu mematikan jiwa. Kejujuran, keikhlasan dan kasih-sayang...
Semuanya musnah hanya kerana Syed Wazir adalah lelaki yang salah pada hati Haniya.
Novel ini berkisahkan second chance romance, bittersweet moment, silent love and silent protector.
TEASER 1
Sadisnya, kehidupan Syed Wazir tidak se gah dan stabil seperti Trisarit. Jika, Trisarit begitu berhati-hati dalam memilih staf, rakan kongsi dan pembekalnya…
Syed Wazir pula tiada pilihan dalam memilih teman hidupnya. Pernikahan yang diatur oleh dua keluarga elit bagi memastikan kegemilangan, kestabilan dan warisan dua keluarga berada dalam status quo yang sama.
Namun, apa yang diharapkan tidak berjalan lancar. Bahagia yang dicita, perlahan-lahan membuang rasa dan menggelapkan masa depan Syed Wazir.
Kebenaran yang baru sahaja terdedah ini begitu mematikan akalnya.
Di atas meja kerja yang besar itu, pelbagai dokumen bertaburan tidak teratur. Bertimbun gambar perkahwinan mereka, gambar-gambar bukti kecurangan, laporan polis yang dicetak kemas, senarai transaksi bank yang penuh dengan nombor-nombor yang pelik dan beberapa helaian bukti lain yang akhirnya menghancurkan seluruh dunia yang dia bina dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan selama ini. Mahligai cinta yang dibina, kecundang juga.
Tangannya menggigil perlahan ketika memegang sekeping gambar… gambar perempuan yang pernah menjadi permaisuri dalam hidupnya.
Haniya. Isteri yang pernah dipeluk dengan penuh cinta, dirawat dengan penuh lembut dan dijaga seperti nyawa sendiri. Perempuan yang dia setuju untuk menemani sisa hidupnya.
Perempuan yang keluarganya percaya sepenuhnya tanpa ragu sedikit pun sebagai menantu. Perempuan yang dianggap ayah dan ibunya sebagai anak sendiri.
Dan perempuan yang sama… merancang kematiannya dengan teliti.
Seolah-olah Haniya sedang merancang percutian bulan madu mereka dulu.
TEASER 2
“Aku tak pernah paksa kau stay,” suara Syed Wazir mula meninggi, penuh dengan kecewa yang mendalam dan luka yang baru sahaja terbuka luas.
“Kalau kau cintakan lelaki lain… kau boleh cakap. Aku takkan halang. Aku boleh lepaskan kau dengan cara baik.” Sambung Syed Wazir lagi.
Nafasnya tersekat di kerongkong dan menyukarkan percakapannya. Air mata mula bergenang di tubir mata tanpa izin.
Dan itu lebih memalukan bagi seorang lelaki yang selalu dianggap tegas, kuat dan tidak mudah goyah oleh perasaan.
“Aku belum dayus nak simpan perempuan yang curang,” suara Syed Wazir semakin serak dek kerana menahan getaran yang kuat.
Tangannya mengetuk permukaan meja kayu itu dengan kuat.
Dum! Bunyi itu nyaring, namun sakit di tangannya langsung tak terasa dibandingkan dengan apa yang sedang menghancurkan jiwanya.
Walaupun, Haniya bukan pilihan Syed Wazir.
Namun, setelah lafaz akad Syed Wazir cuba sedaya-upaya untuk belajar mencintai dan membahagiakan Haniya.
Tidak pernah Syed Wazir mengabaikan Haniya. Bila hari bergant dan waktu berputar…
Sudah pasti rasa cinta mula subur dalam hati lelakinya sebagai seorang suami.
Cinta mula memenuhi ruang hati Syed Wazir hingga Syed Wazir lupa menjaga dirinya sendiri, lupa memeriksa kebenaran dan lupa bahawa cinta tanpa batas boleh menjadi senjata yang paling tajam untuk melukakan hatinya.
Dan sekarang cinta itu sedang membunuh dirinya perlahan-lahan. Setiap detik terasa seperti duri yang menusuk ke jantung.
Syed Wazir memandang semula satu per satu dokumen di depan mata. Pembayaran kepada bengkel yang jauh dari rumah… yang tidak pernah dia kunjungi.
Rancangan sabotaj yang ditulis dengan tangan yang dia kenal pasti itu adalah milik Haniya.
Rekod panggilan telefon misteri yang berulang kali dibuat ke nombor yang tidak dikenalinya.
Dan laporan teknikal polis yang menyatakan kerosakan brek keretanya bukan berlaku secara semula jadi. Tetapi sengaja dilonggarkan supaya gagal berfungsi ketika dia sedang memandu laju di jalan raya.
Semua bukti yang ada tertuju pada satu nama. Haniya. Isterinya sendiri yang mahu dia mati.
TEASER 3
Suara lembut perempuan itu berbisik ‘I love you, Wazir’ di hadapan semua tetamu yang datang meraikan hari bahagia mereka. Pelukan hangat, setiap kali Syed Wazir pulang dari kerja… walaupun lewat malam tetap hangat dan membahagiakan. Kata-kata semangat Haniya yang selalu diucapkan bila dia menghadapi masalah dalam perniagaan. Semua itu terasa terlalu jijik sekarang.
Palsu. Semuanya lakonan yang sempurna. Seluruh perkahwinan mereka selama lima tahun itu cuma penipuan yang tersusun rapi. Di mana Syed Wazir berlakon sebagai suami yang bahagia dan Haniya berlakon sebagai isteri yang setia.
“Aku ni siapa sebenarnya pada kau? Suami? Atau sekadar batu loncatan untuk kau dapatkan apa yang kau nak?”
Matanya jatuh pada sekeping gambar di sudut meja… Gambar Haniya bersama lelaki lain yang berpakaian mewah. Mereka ketawa bebas, berpelukan rapat dan kelihatan sangat bahagia. Sedangkan waktu gambar itu diambil, Syed Wazir sedang sibuk bertemu pelabur di luar negara. Bekerja keras siang dan malam untuk membina hidup yang selesa dan mewah buat isterinya.
Bodoh. Dia terlalu bodoh sampai tak perasan tanda-tanda yang jelas di depan mata.
“Aku ingat aku suami yang gagal. Aku ingat sebab aku terlalu sibuk bekerja. Sebab aku kurang masa untuk temankan kau… Sampai kau rasa sunyi. Aku selalu rasa bersalah. Aku belikan hadiah mahal, luangkan masa yang ada, buat apa saja yang kau minta. Rupa-rupanya… aku cuma kahwin dengan perempuan yang tak pernah cintakan aku dari awal lagi.” Kata Syed Wazir dengan nada mendatar dan sebal.
Air mata pertama akhirnya jatuh perlahan menuruni pipi yang tegas itu.
Namun, cukup untuk mematahkan seluruh ego dan kebanggaan seorang lelaki.
Syed Wazir cepat-cepat menyapu wajahnya dengan kasar menggunakan belakang tangan.
Marah dengan dirinya sendiri kerana masih menangis untuk perempuan yang tidak berhati perut itu. Kenapa hatinya masih sakit sedangkan semua bukti sudah jelas terpampang di depan mata?
Haniya tidak pernah mencintainya. Tidak pernah sekalipun. Kalau pun cintakan lelaki lain, kenapa perlu sampai ke tahap merancang pembunuhan? Kenapa perlu menghancurkan dirinya sampai begini sekali?


No comments:
Post a Comment