BLURB
Kisah Aryana yang mencari kekasih adiknya semata
mahu melunaskan hajat terakhir Aryani. Bila nafas Aryani terhenti, hidup Aryana
berubah. Sakit jiwa apabila kehilangan kembar yang selama ini membesar bersama.
Sakit otak juga dengan penyamaran Aryani. Sehingga Aryana hampir keliru yang
mana dunianya yang realiti dan yang mana yang palsu ciptaan Aryani. Hidup
Aryana jadi lebih kalut dengan kemunculan Kapten Israr a.k.a kekasih maya arwah
adik kembarnya. Israr hanya mengenali Doktor
Aryana Johari. Wajah yang sama. Kerjaya yang sama. Cuma personaliti Aryana sebenar apabila
bertentang empat mata agak berbeza.
Israr keliru. Siapa yang dia cinta? Siapa pula yang cintakan dia?
Mengenali Aryana buat
Israr yakin bahawa hatinya terikat dengan bayang yang dicipta Aryani untuk diri
Israr. Aryana juga tahu, dia mulai jatuh hati pada Israr. Tapi setiap kali mahu
membuka ruang cinta, Aryana berasa bersalah pada Aryani. Kenapa dia yang
bahagia? Sedangkan Aryani menderita ketika hidup dan cinta pun tak kesampaian?
Kapten Israr merupakan lelaki yang Aryani cinta sampai mati. Malah di saat-saat
akhirpun Aryani tetap ingat pada lelaki itu.
Aryana tekad. Kapten Israr bukan jodohnya. Setiap
kali dia memandang Israr, jiwanya terluka. Aryana tidak mahu menjadi
bayang-bayang Aryani. Tidak mahu Israr menerimanya kerana simpati.
"Kau buat aku jatuh cinta. Kemudian, kau nak blah macam tu aje?" -
Kapten Israr
"Kau dah tahu. Jadi, tugas aku dah selesai.
Aku hanya mahu kau tahu hal sebenar. Dan, berhenti jadi manusia hilang
rasa. Enjoy your life selagi bernyawa. Cari bahagia." - Doktor Aryana
Apabila rahsia
terbongkar satu per satu, seketika Israr hilang jiwa. Hati terpaut pada siapa? Yang
mati atau yang hidup? Bagaimana jika hatinya berkali-kali jatuh cinta? Yang
mati membawa hatinya terkubur sepi. Yang hidup memberi cahaya penyuluh bahagia.
Salahkah kalau Israr mahu memiliki keduanya? Yang tiada di depan mata jadi
kenangan. Yang ada di depan mata jadi masa depan.
Tapi hati Aryana begitu teguh dengan prinsip bodohnya. Akan kecewakah Israr buat kali kedua? Atau ada pelangi indah yang sedang menunggu masa untuk muncul semula?
RANDOM TEASER 1
Bunyi mesin di Wad Onkologi itu tidak pernah
benar-benar senyap. Ia berdetik, berdesir, dan bernafas. Seolah-olah
menggantikan nafas manusia yang semakin lemah.
Jika lemah semangat dan hati tisu, semestinya air
mata akan terus mengalir. Mata pula memerah sentiasa. Sebak. Sayu. Pilu. Emosi
tu semuanya bercampur-aduk.
Aryana berdiri di sisi katil, jari-jarinya
menggenggam hujung cadar putih yang sudah berkedut sama seperti hatinya yang
kusut sejak beberapa bulan lalu.
Di sisinya, Aryani terbaring kaku. Wajahnya pucat,
jauh berbeza daripada Aryani yang Aryana kenal.
Sejak kecil, adik kembarnya ini adalah anak yang
petah, mudah ketawa, degil, dan selalu berlagak walaupun hakikatnya seorang
yang cengeng.
Rambut Aryani kini menipis. Disorokkan di balik
tudung nipis berwarna biru tua. Bibirnya merekah dan matanya separa terpejam.
Namun, nafasnya masih ada.
“Aryana…” suara itu kedengaran seperti berbisik
dan hampir tenggelam.
Aryana tersentak.
Aryana segera duduk di sisi katil, menggenggam
tangan Aryani yang sejuk seperti air batu.
“Ya, Yani. Aku, ada.” Balas Aryana lembut dan
sedikit berbisik ke telinga Aryani.
Mata Aryani terbuka sedikit. Pandangannya kabur,
namun bibirnya tetap melengkung memberikan senyuman semanis mungkin. Aryani
mencuba seboleh mungkin untuk tidak menampakkan segala kesakitan dan kehampaan
pada wajahnya.
Aryani tidak mahu Aryana susah hati dan berduka.
“Kau tahu... Sakit ni tak sama macam dalam cerita.
Dalam novel yang aku selalu baca tu, orang sakit selalu pergi dengan cantik.
Tenang. Tapi aku... Makin tak rupa orang...” Kata Aryani tersekat-sekat.
Aryana menelan air liur.
Dadanya terasa sesak.
“Kau jangan cakap macam tu.” Tegur Aryana sebak.
“Tapi aku dah penat. Penat melawan penyakit ni.
Penat pura-pura kuat.” Aryani memejamkan mata seketika sambil mengumpul sisa
tenaga.
Aryana menggenggam tangan itu lebih erat. Aryana
seorang doktor. Dia tahu tanda-tanda ini.
Terlalu tahu. Namun sebagai kakak kembar kepada pesakit kanser tahap empat, Aryana masih berharap pada keajaiban yang sudah lama tidak berpihak padanya.
RANDOM TEASER 2
“Kalau aku dah tak ada nanti. Kau tolong aku,
boleh?”soal Aryani lembut dan perlahan.
Jantung Aryana berdegup laju. Nalurinya menjerit
supaya menghentikan perbualan ini, tapi dia tahu ini bukan masa untuk menipu
diri.
“Tolong apa?” suara Aryana bergetar.
Aryani menarik nafas panjang, nafas yang berbunyi
seperti luka yang akan ditinggalkan tanpa rela.
“Israr.” Luah Aryani tenang.
Nama itu jatuh seperti pisau yang mencucuk dalam
ke dada Aryana.
Israr. Atau yang dikenali Aryana dengan gelaran
Kapten Israr Ghilbran.
Nama yang selama ini Aryana simpan jauh di sudut
fikirannya. Nama yang dia tahu, tapi pura-pura tidak peduli. Lelaki yang wujud
dalam telefon Aryani. Dalam mesej panjang yang dibaca berulang kali. Dan dalam
senyuman Aryani setiap kali skrin telefon berbunyi.
“Masa macam ini, kau masih fikir tentang dia?”
Aryana cuba menenangkan suara.
“Bukan fikir tapi aku risau,” Aryani menggeleng
lemah.
“Risau apa?” Soal Aryana tanpa riak.
“Risau sebab Abang Israr tak tahu apa-apa. Tiga
tahun berkenalan. Dia benar-benar dah jatuh cinta pada kita.” Mata Aryani
berkaca.
Kita? Berdenyut-denyut kepala Aryana dibuatnya.
RANDOM
TEASER 3
“Kau kena janji dengan aku. Cari Israr. Beritahu dia hal sebenar. Jangan
biarkan dia tunggu orang yang takkan pernah muncul.” Aryani merayu.
Aryana memejam mata.
Dadanya sakit.
“Kenapa aku perlu buat semua tu? Kau yang mulakan. Kenapa aku pula yang
kena cari dia? Kau kena sihat. Kau yang kena cari dia sendiri...” Luah Aryana
tegas nadanya.
“Kau nak suruh aku cari dalam keadaan aku begini? Aku ni hanya menunggu
mati. Kalau macam tu, kita discharge. Kau usahakan agar kita berdua
dapat terbang ke Dubai. Segera. Aku dah tak ada masa.” Balas Aryani tegas juga.
Aryana terdiam. Dia ingin marah. Ingin menegur. Ingin mengatakan perbuatan
itu salah.
Namun apa guna kebenaran, jika nyawa di hujung waktu? Yang penting sekarang
adalah diri Aryani yang perlu dirisaukan, bukan Israr.
“Aku tak mahu mati tanpa pernah jadi seseorang dalam hidup orang lain. Aku
nak Abang Israr tahu aku, Aryani Johari yang menyintai dia. Bukan kau kak...”
Air mata mengalir laju di kelopak mata Aryani.
“Sekurang-kurangnya, Abang Israr tahu yang aku pernah wujud.” Sambung
Aryani lagi.
“Kalau Israr benci kau?” Aryana bertanya perlahan.
Aryani tersenyum. Senyuman yang rapuh.
“Hanya kau yang tinggal untuk mewakili aku. Aku mahu kemaafan daripada
dia.” Luah Aryani tenang.
Aryani memandang kakak kembarnya, “Abang Israr lelaki baik. Dia mungkin
payah untuk didekati tapi jika dah dekat kau akan rasa dihargai dan sayangi.
Seadanya....” Luah Aryani lagi.
Aryana menggeleng, “Aku bukan kau. Macam mana aku nak berdepan dengan dia?
Sesaat pun mungkin dia dapat membezakan kita berdua. Yea, wajah yang kau
sematkan di minda dia adalah wajah aku. Tapi... Personaliti kita berbeza. Amat
berbeza Aryani...”
“Tak apa. Kau cuma perlu jadi diri kau sendiri” Aryani menggenggam tangan
Aryana dengan sisa kudrat yang ada.
Mesin di sebelah katil berbunyi lebih laju. Jururawat masuk tergesa-gesa,
namun Aryani mengangkat tangan perlahan, meminta masa.
“Kak Aryana…” suaranya semakin perlahan.
“Kalau nanti Israr jatuh cinta pada kau. Aku tak marah. Aku takkan
menghantui kau dalam mimpi. Aku reda. Asalkan kau bahagia dan Abang Israr
bahagia. Ingat tu...” Sambung Aryani tersekat-sekat dan perlahan.
Terbeliak mata Aryana mendengar ayat-ayat tersebut. Dalam masa yang sama,
Aryana hilang kata, keadaan Aryani sangat menghentak jiwanya.
Aryana memang seorang doktor. Tapi apabila pesakit yang menunggu mati itu
merupakan adik kembarnya, sedih dan sabar itu hilang semerta.
“Aryani... Jangan tinggalkan aku.” Luah Aryana dengan juraian air mata.
Jururawat dan doktor yang ada sudah tidak mampu berbuat apa-apa.
“Janji dengan aku... Cari Abang ... Israr.” Pesan Aryani tersekat-sekat.
“Doktor Aryana. Turutkan sahaja hajat terakhirnya tu. Biar dia pergi dengan
tenang...” Pujuk salah seorang jururawat yang bernama Asma.
Aryana menggenggam tangan Aryani dan terpaksa mengangguk apabila melihat
keadaan Aryani yang lemah dengan nafas yang tercungap perlahan.
“Aku janji. Aku cari dia. Aku janji, aku turutkan permintaan kau...” Luah
Aryana hiba.
Aryani tersenyum dan air mata menitis.
Aryani menghembus nafas panjang. Jari-jarinya melonggar. Senyuman kecil
terukir pada saat nafas terakhirnya terhenti.
Senyuman seseorang yang sudah selesai dengan dunia. Mesin itu berbunyi
panjang.
Aryana kaku memeluk tubuh Aryani.
Dan untuk pertama kalinya dalam hidup Aryana sebagai doktor, dia berharap
realiti di depan matanya ini adalah dusta dan mimpi semata.
Tapi hampa. Aryani sudah pergi meninggalkan Aryana sendirian. Sakit. Sedih
yang bertimpa.
Aryana pengsan.
RANDOM TEASER 4
Rumah itu jadi sunyi dan sepi. Aryana berdiri di
tengah ruang tamu dan masih berbaju hitam. Tudungnya belum ditanggalkan sejak
pulang dari tanah perkuburan.
Walaupun sebelum ini Aryana sebenarnya tidak
bertudung namun entah mengapa hari ini, Aryana selesa memakainya.
Bau tanah basah masih melekat di hujung deria bau.
Bercampur dengan bau susu basi yang Aryani tinggalkan dua hari lepas. Susu
terakhir yang Aryana buat untuk adik kembarnya, tapi tak sempat Aryani
habiskan.
Cawan itu masih di sinki. Tak pecah. Tak bergerak.
Tak berubah.
Kerana sepanjang dua hari lepas, Aryana berada di
hospital menemani Aryani.
Ruang terasa gelap. Sepi pula ibarat menusuk jiwa
Aryana. Akalnya kosong. Sama seperti hidup Aryana yang seakan-akan terhenti di
satu titik.
Titik di mana Aryani berhenti bernafas dan telah
pergi meninggalkan Aryana selamanya.
Sendirian.
Yang tinggal hanya kenangan. Membebankan perasaan.
Aku dah janji. Aryana berkata sendiri.
Suara itu bergema dalam rumah kosong. Rumah yang
sebelum ini penuh dengan bunyi ketawa kecil Aryani, bunyi selipar jepun diseret
malas di lantai dan bunyi pintu bilik yang tak pernah ditutup rapat.
Aryani memang suka berselipar jepun di dalam
rumah. Malahan jika keluar ke mana-mana, selipar itu juga yang menjadi
pilihannya.
Di dalam rumah ini, selipar jepun milik Aryani
memang banyak.
Di ruang tamu, di bilik air, di ruang belakang
dapur, di tangga depan rumah dan di bilik tidur dia pun ada. Dia tak mahu
selipar lain. Nak selipar tu juga. Nampak pelik. Tapi dia selesa.
Aryani tergelak kecil dengan wajah yang suram.
Kini, semuanya hilang.
Perlahan-lahan Aryana melangkah ke bilik Aryani.
Seperti biasa, pintu itu terbuka sedikit. Bau losyen bayi lembut yang Aryani
suka, masih dapat dihidu.
Aryana melabuhkan punggung di atas katil yang
Aryani selalu baring. Selipar jepun di tepi katil, disauk dan disarungkan ke
kaki. Terkelip-kelip Aryana memandang kaki sendiri.
Air mata Aryana mengalir lagi.
Tak baik menangisi pemergian arwah. Tapi nak buat
macam mana? Aryana sedih sangat. Rasa kehilangan yang berganda. Dulu sewaktu
ayah dan ibu meninggal, Aryana ada Aryani. Sekarang ini?
Tangisan bergema lagi.
RANDOM TEASER 5
Aryana meletakkan telefon bimbit Aryani di atas
katil. Skrin gelap bukan kerana auto off screen tapi kerana
bateri sudah mati.
Aryana terkelip-kelip memandang telefon bimbit
itu. Jari-jemarinya teragak-agak sebelum mencapai telefon itu.
Berat hati mahu mengecas telefon bimbit tersebut.
Jujurnya, jika tidak dicas pun tidak mengapa
kerana arwah Aryani tidak ada banyak kenalan.
Kebanyakan kenalan arwah Aryani pula tahu nombor
telefon bimbit Aryana.
Tapi...
Jika tidak dihidupkan, bimbang seseorang akan jadi
gila meroyan pula. Siapa lagi jika bukan Israr?
Sejak di tanah perkuburan lagi, telefon arwah
Aryani ni bergegar di dalam beg sandang Aryana. Nama Israr memang tertera di
skrin telefon tersebut sebelum habis bateri dan terpadam sendiri.
Aryana mengeluh. Aryana bersandar di kepala katil
dan mengecas telefon tersebut.
Dalam masa yang sama telefon bimbit tersebut cuba
dihidupkan.
Skrin menyala perlahan. Wallpaper gambar
Aryani dan Aryana sewaktu raya tiga tahun lepas tertera. Gambar lama. Gambar
sebelum dunia menjadi kelam.
Aryana mengalihkan pandangan. Rasa mual tiba-tiba
datang. Gastrik mungkin menyerang.
Maklumlah, dua tiga hari kebelakangan ini memang
Aryana tidak makan dengan teratur.
Roti yang berada di dalam beg sandangnya diambil
dan dibuka plastiknya. Aryana memaksa diri untuk makan. Aryana tidak mahu
sakit. Banyak benda yang Aryana perlu uruskan.
Aryana punya tanggungjawab. Aryana juga perlu cari
Israr.
Dalam masa yang sama, Aryana perlu teruskan
kehidupan.
Inbox mesej terbuka.
Israr. Israr. Israr.
Nama itu muncul berulang kali. Panggilan tak
terjawab. Mesej yang tidak dibaca.
Mesej suara juga terus memanggil, tanpa
tahu orang di hujung talian sudah tiada.
Aryana menutup mata.
Cari Israr. Beritahu dia hal sebenar. Suara arwah Aryani bergema di ruang
akalnya.
Janji yang perlu dilunasi. Dan kini, janji itu
ibarat berdenyut di kepalanya seperti migrain.
Aku bukan kau. Aku tak tahu macam mana aku nak
jadi kau. Aku tak tahu macam mana aku nak berdepan dengan dia. Bisik Aryana pada ruang yang kosong.
Telefon itu bergetar dalam genggamannya. Mesej
baharu masuk ke nombor Aryani.
Israr: Aryana, saya dah balik Malaysia.
Israr: Permanently.
Israr: Masa untuk bertemu empat mata. Dah penat
bercinta dengan orang halimunan.
Israr: Kenapa senyap?
Nafas Aryana tersekat. Balik Malaysia?
Kepala Aryana berpusing. Ini terlalu cepat.
Terlalu mendesak. Seolah-olah takdir tidak memberi ruang untuk Aryana bernafas.
Aku belum bersedia. Aryana menggeleng dan air mata mengalir tanpa
disedari.
Telefon itu jatuh ke tepi katil. Aryana bangun
secara tiba-tiba, melangkah mundar-mandir di dalam bilik sempit itu.
Fikirannya bercelaru antara logik dan emosi.
Antara doktor dan pesakit. Antara kakak dan adik. Antara kebenaran dan janji.
Antara yang hidup dan yang mati.
Jika dia beritahu Israr sekarang, lelaki itu akan
hancur.
Terluka teruk.
Jika dia diam, dia mengkhianati janjinya pada
arwah Aryani.
Jika dia menyamar pula, dia seolah-olah
mengkhianati diri sendiri.
Apa yang kau nak buat, Aryana? Suaranya meninggi dan hampir menjerit.
Otaknya buntu.
Aryana menekup muka. Tangisnya pecah, berat dan
tidak terkawal.
Selama ini, dia menyimpan air mata agar tak
mengalir laju.
Menjadi doktor mengajarnya untuk kuat, untuk
tenang dan untuk rasional. Tapi di sini, dalam bilik arwah adiknya ini, tembok
tegas dan tenangnya runtuh.
RANDOM TEASER 6
“Kau dah makan?”soal Doktor Hania sambil merenung
wajah Aryana.
Aryana mengangguk perlahan.
“Jangan banyak sangat ambil overtime dan
ganti shift orang. Tubuh badan sendiri pun kena jaga juga.
Aryana tersenyum kelat, “Hospital sahaja yang
boleh buat aku bahagia.”
“Pindah duduk dengan aku. Takpun cari calon suami
dan nikah.” Balas Doktor Hania selamba.
Aryana menepuk bahu Hania lembut.
“Buat lawak pula dia...” Balas Aryana tanpa riak.
“Aku tak buat lawak. Aku sungguh-sungguh.” Balas
Doktor Hania lagi.
“Kalau duduk sekali dengan kau pun, sama juga. Shift
kita tak menentu. Kadang boleh bertembung, kadang lama tak nampak muka.
Masing-masing ada tanggungjawab berbeza. Sama sahaja. Kesudahannya, aku sendiri
juga nanti.” Balas Aryana pula.
Hania menggeleng dengan wajah masam.
“Tahu dah jawapan kau tu. Tak apa. Kalau sama-sama
cuti. Aku datang lepak dan bermalam di rumah kau. Minta izin untuk jadikan
rumah kau sebagai rumah sewa kedua aku.” Kata Doktor Hania dengan senyumnya.
Aryana mengangguk, “Boleh. Datang aje.”
“Okeylah. Kau tu, rehat. Aku on duty ni.”
Kata Doktor Hania sambil bangun dan menepuk lembut bahu Aryana.
Aryana sekadar mengangguk tanda faham.
RANDOM TEASER 7
“Abang balik Malaysia sebab awak. Abang nak jumpa
awak. Abang pernah janji, kalau abang balik Malaysia kita jumpa dan kita
bertunang. Kalau nak nikah terus pun abang dah bersedia.” Kata Israr lancar.
Aryana terduduk perlahan di sofa. Jantungnya
berdentum tidak sekata.
“Maaf,” hanya itu yang keluar.
Israr ketawa kecil, tapi bunyinya kosong.
“Aryana tahu tak macam mana rasa ditinggalkan
tanpa sebab? Awak janji tunggu abang. Tapi awak tiba-tiba diam. Buat abang
takut dan menggelabah. Hati awak tak berubah, kan Aryana?” Soal Israr jujur.
Setiap kata itu menampar hati Aryana.
“Aryana janji tunggu abang. Awak masih berpegang
pada janji, kan?” Israr menyambung.
Aryana menggigit bibir. Air mata menitis.
“Ada benda yang Israr tak tahu,” Aryana berkata
perlahan.
Israr terdiam.
“Israr? Erm... Kenapa suara awak lain?” Israr
tiba-tiba bertanya.
“Awak sakit ke?” Soal Israr lagi.
Aryana pula yang terdiam.
Inilah titiknya. Sekarang atau tidak pernah.
“Israr,” Aryana menelan air liur.
“Nama saya, Aryana.” Sambung Aryana
tersekat-sekat.
Senyap di hujung talian.
“Abang tahu. Sejak dulu pun awak dah bagitahu yang
nama awak, Aryana.” Balas Israr dengan gelak kecil.
“Saya kakak, Aryani. Orang yang awak kenal tu
Aryani bukan Aryana. Nama tu nama saya, tapi yang bermesej, berbual dan
bercinta dengan awak tu bukan saya. Tapi Aryani...” Tutur Aryana lancar.
RANDOM TEASER 8
“Aryana, awak dah buat abang jatuh cinta pada
awak. Dan bila abang dah balik Malaysia untuk awak. Awak prank abang
macam ini pula,” suara Israr kedengaran sedikit ragu dan tidak mempercayai
segala kata-kata Aryana.
“Saya tak prank sesiapa.” Balas Aryana
menahan sebak di dada.
“Jangan main-main Aryana. Abang dah jatuh cinta
pada awak. Jangan awak nak blah macam tu aje? Abang dah bagitahu keluarga abang
tau pasal awak... Mereka semua tak sabar nak jumpa awak.” Kata Israr lembut
dalam panasaran.
Aryana terkejut.
Air mata Aryana mengalir tanpa henti.
“Saya tak berniat nak hampakan sesiapa. Saya tak
berbohong. Aryani memang cintakan awak juga, Israr. Tapi Aryani dah tak ada.
Dia dah meninggal minggu lepas.” Jelas Aryana susah payah.
Diam.
“Meninggal? Kau buat lawak apa ni? Minggu lepas
dia ada reply mesej aku...” Hambur Israr bengang.
Hatinya mula berang.
Aryana menutup mata rapat.
“Yang balas mesej awak tu, saya. Aryani dah
meninggal dunia. Saya serba salah nak bagitahu hal sebenar. Saya takut jadi
macam inilah...” Kata Aryana lirih.
Kata-kata itu jatuh satu persatu, berat dan kejam
pada Israr. Di hujung talian, Israr tidak bersuara. Aryana hampir boleh
mendengar nafas lelaki itu yang tidak teratur.
“Apa maksud kau?” Israr bertanya dengan nada
was-was.
“Aryani meninggal sebab kanser. Dia pinjam nama,
wajah dan personaliti saya untuk berkenalan dengan awak, Israr.” Aryana
menjawab perlahan.
Sunyi.
Kemudian bunyi sesuatu jatuh, mungkin telefon dan mungkin hati Israr pun turut
sama jatuh jika diimaginasikan.
“Jadi… selama ni, aku memang cintakan manusia
halimunanlah?” Israr ketawa pendek dan sinis.
Air mata Aryana jatuh tak terbendung.
“Aryani memang cintakan awak, Israr.” Kata Aryana
mempertahankan arwah Aryani.
“Dan kau? Dia guna nama, wajah dan latar belakang
kau... Malahan, kau juga pernah jadi dia... Korang adik-beradik ni memang jaguh
permainkan perasaan orang ke?” suara Israr tajam.
Aryana terdiam lama.
“Saya minta maaf, Israr. Saya dapat tahu pun, bila
awak dan dia memang dah bercinta. Saya cuma orang yang tinggal, yang mahu
melunaskan janji orang yang dah pergi. Arwah Aryani memang mahu saya cari awak
dan bagitahu hal yang sebenar... Tapi saya tak tahu nak mulakan macam mana.
Maafkan saya kalau penjelasan saya yang melulu ini buat awak keliru, marah dan
kecewa,” kata Aryana lembut.
Israr menarik nafas panjang, “Jumpa aku.”
Arahan itu membuatkan Aryana tersentak.
“Apa?” Soal Aryana keliru.
“Jumpa aku,” Israr mengulang arahannya.
“Aku nak lihat wajah yang buat aku jatuh cinta dan
benci serentak. Aku juga nak tengok wajah orang yang perbodohkan aku. Tahu tapi
diam dan buat-buat tak tahu...” Kata Israr tegas dan lantang.
RANDOM TEASER 9
“Vending machine ini tak perlu pengawal
keselamatan. Jadi, tak perlu kau nak duk tercegat lama kat depan ini.” Tutur
Doktor Hania lembut.
“Aku kat sini nak beli air.” Kata Aryana ringkas.
“Nak beli? Belilah... Yang duk tenung lelama tu,
kenapa pula? Nampak bakal imam?” Soal Doktor Hania dengan nada menyindir.
Aryana menjeling manja. Dalam masa yang sama,
Aryana memasukkan duit dan menekan butang air cincau.
Gedegang.
Hah, mungkin tu sebabnya nama lain vending
machine ini adalah air gedegang.
Aryana duduk di bangku yang berada bersebelahan
dan membuka penutup air tin yang dipegangnya.
Rasa segar, walaupun tak sejuk sangat.
“Nasib baik kau tak pakai jubah putih dengan
selipar jepun kau ini sambil merayau di dalam hospital.” Tegur Doktor Hania.
Aryana tergelak.
“Aku tahulah etika berpakaian kat hospital ini
waktu kerja. Ini... Aku dah nak balik dah.” Balas Aryana selamba.
“Yea. Tapi staf yang kenal tu dah berkali-kali
memandang sambil mulut tu bergosip. Jagalah sikit imej tu.” Kata Doktor Hania
lagi.
Aryana merengus, “Lantaklah dorang. Hmm, aku nak
balik dah. Kau on call, kan?”
Doktor Hania mengangguk.
“Balik terus. Jangan duk berkhayal dan termenung
kat jalan raya pula. Dah sampai rumah mesej aku.” Pesan Doktor Hania lembut.
RANDOM TEASER 10
“Doktor Aryana Johari... Jadi kau memang betul
Aryana.” Tutur Israr.
“Kapten Israr Ghilbran... Nama dan kerjaya... Itu
memang saya... Memang seperti yang Aryani gambarkan. Wajah pun wajah yang sama.
Tapi kalau awak tengok betul-betul masa video call dengan Aryani... Awak
akan nampak perbezaan antara gambar dan wajah masa video call tu.”
Hambur Aryana geram.
Sinis tanpa riak.
“Atau aku patut panggil kau, Aryani? Bagi kad
pengenalan kau...” Pinta Israr kasar.
Otak Israr pun sudah keliru. Tak tahu yang mana
asli dan yang mana palsu. Nak bezakan yang benar dan tipu pun, susah ini.
“Saya, Aryana. Nah...” Kata Aryana dengan nada
keras.
Aryana menghulurkan kad pengenalannya kepada
Israr.
“Buka laci dashboard tu. Ada sijil kat situ.” Kata
Aryana tenang.
Berkerut dahi Israr.
“Sijil apa? Aku dan Aryana belum menikah.” Balas
Israr semberono.
Bulat mata Aryana memandang ke wajah Israr.
“Sijil mati.” Balas Aryana perlahan.










No comments:
Post a Comment