TEASER HANYA DUSTA SEBALIK SETIA
Elsa jadi saksi pada remuknya hati
seorang lelaki. Raykarl bertegas mahu ke Perak setelah mendapat mesej daripada
Maira yang mahu putus tunang secara mendadak.
Riak wajah Raykarl jelas serabut.
Tidak sampai hati pula, Elsa mahu
membiarkan Raykarl menunggang motosikal sendirian. Johor Bharu ke Perak bukan
satu jarak yang dekat. Berjam-jam juga mahu sampai ke sana.
“Hantar Ray ke terminal bas aje. Ray
naik bas. Kak El dah boleh balik lepas hantar Ray. Lagipun dah nak
masuk tengh.” Tutur Raykarl cuba menahan rasa sedih dan sakit di jiwanya.
Elsa tenung raut wajah Raykarl. Diri
sendiri tengah serabut tapi otak masih memikirkan keselamatan Elsa pula.
Keselamatan diri sendiri tak pula
Raykarl utamakan.
Elsa geram melihat Raykarl begitu.
Elsa membukakan pintu sebelah pemandu sambil mengisyaratkan pada Raykarl agar
masuk dan duduk.
Raykarl tak banyak dalih, terus masuk
dan menghenyak kusyen kereta milik Elsa.
Mata Raykarl terpejam rapat.
Sesungguhnya, Raykarl tak mampu nak berfikir apa-apa. Tahu nak sampai Perak
sahaja dengan segera.
Elsa menggeleng perlahan melihat
Raykarl. Tangan Elsa segera mencapai tali pinggang keselamatan untuk
disilangkan ke badan Raykarl.
Raykarl tenung wajah Elsa tanpa riak.
Sebenarnya, Raykarl panik apabila jemari runcing milik Elsa mendarat lembut di
sekitar dada dan pinggangnya.
Elsa memang tua lima tahun daripada
Raykarl namun Elsa tetap perempuan. Bukan mahram Raykarl pula tu.
Elsa Habib bukan kakak kandung
Raykarl. Hanya kakak angkat Raykarl.
Umi ambil Elsa dari rumah anak yatim.
Bawa balik ke rumah dan dibesarkan seperti anak kandung sendiri.
Menurut umi, Elsa merupakan anak
sahabat baiknya. Sejak itu, Raykarl dan Elsa membesar bersama-sama sebagai
adik-beradik.
Raykarl tahan nafas. Hilang oksigen
sekejap.
‘Kenapa rasa ini datang lagi? Dah lama
rasa ini tak wujud. Atau pantang Raykarl adalah berada dekat dengan Elsa?
Apa kau fikir ini Raykarl. Masalah jiwa yang ada inipun belum selesai lagi. Dah
nak tambah masalah jiwa luar alam pula. Aneh aneh aje rasa yang wujud kat hati
kau ini.’ Bebel Raykarl pada diri sendiri.
Raykarl lega sedikit apabila melihat Elsa sudah
bersandar di tempat duduk pemandu.
‘Cantik. Hah, sudah!’ Bisik Raykarl
dalam hati.
Raykarl berkalih pandang ke arah luar.
Perasaan ini selalu wujud jika Elsa
terlalu prihatin pada Raykarl.
Disebabkan perasaan ini, Raykarl
memilih untuk ke sekolah berasrama penuh pada usia 16 tahun. Umi dan abi
membantah tetapi Raykarl tetap berdegil.
Tidak mahu rasa yang wujud kian
bercambah.
Selagi boleh diselindungkan rasa itu
maka akan Raykarl selindungkan.
Luar biasa.
Bertahun berlalu, rupanya perasaan itu
masih wujud. Raykarl pejamkan mata rapat-rapat.
Mustahil.
Sejak mengenali Maira dan bertunang
dengan Maira, rasa itu tak pernah hadir.
Ini kali pertama, rasa itu hadir
semula.
Terasa lama pula perjalanan ke
terminal bas, Larkin.
Raykarl buka mata dan memandang ke
luar tingkap kereta.
Terkejut.
Cepat-cepat Raykarl berkalih pandang
ke arah Elsa yang sedang memandu.
“Kita nak ke mana?”soal Raykarl sambil
memandang wajah Elsa.
Elsa tersenyum sambil menjeling ke
arah Raykarl yang sudah duduk tegak.
“Mana lagi? Perak. Akak tak mahu Ray
sendirian melayan jiwa yang kacau tu. Akak risau, tahu? Ni, umi kalau tahu
mesti dia pun naik hantu. Bukan sekali dua tau Maira tu buat Raykarl begini.
Dulu masa sebelum tunang, kalau nak main tarik tali tu... Tak apa. Ini dah
bertunang, tinggal tunggu hari nak nikah. Boleh pula dia buat perangai. Akak
nak tengok permainan dia. Apa alasan dia? Sampai nak putus tunang dengan adik
akak yang kacak dan bertanggungjawab ini.” Bebel Elsa geram.
Raykarl senyum paksa. Tak tahu nak
cakap apa.
Semua yang Kak ELsa luahkan tu,
semuanya benar belaka. Itulah yang berdendang di lubuk hati Raykarl.
Sampai hati, Maira buat Raykarl
begini. Boleh pula putus tunang guna voice note dan mesej. Call balik. Tak dapat
dihubungi pula.
Tiba-tiba...
Telefon bimbit Elsa berdering. Nama umi
tertera di skrin.
“Loud speaker. Perkara dah jadi begini
jangan nak mengelak lagi. Umi dah tahu sebab Maira pun dah hantar mesej pada umi
dan Kak Elsa juga.” Kata Elsa senada.
Raykarl menurut kata.
“El, adik mana?”soal umi yang dah
menggelabah.
Dengar suara pun dah tahu tahap tak
tentu arah umi tu. Kasihan umi.
Elsa menjeling Raykarl di sebelah.
“Ada dengan kakak, umi. Jangan risau. Ni
kakak tengah drive ke Perak.” Kata Elsa tenang.
Raykarl dah
tutup muka dengan hoodie. Bagi Raykarl, perkara paling sakit sekarang ini
adalah telinganya. Telinga rasa nak pekak setiap kali Elsa bahasakan diri
kakak.
‘Kau bukan
kakak kandung akulah.’ Kata Raykarl dalam hati.
“Allahuakbar. Ray. Apa yang Ray dah buat? Terkejut
umi.” Soal umi sedih.
Satu-satunya anak yang umi ada
diperlakukan sebegitu rupa tanpa tahu sebab dan punca.
“Ray minta ampun, umi. Sebab dah
susahkan hati umi. Ray tak tau apa salah yang Ray dah buat. Ray dah banyak kali
buat panggilan dan mesej Maira tapi semua tak berbalas. Jadi, penting bagi Ray untuk
cari Maira dan bertemu empat mata. Ray sendiri nak tahu apa alasan Maira sampai
sanggup putuskan pertunangan kami ini.” Balas Raykarl menahan getar suara dan
cuba mengawal ekspresi muka.
Di hujung panggilan, ada umi. Di
sebelahnya pula, ada Elsa.
Jiwa Raykarl semakin rapuh. Nak
menangis. Tapi malu pula dengan Elsa.
Bertahan sudah. Berjuangpun sudah.
Tetap juga Raykarl terluka dan kecewa.
Walau apapun, Raykarl nekad ke Perak.
Ini perjuangan hati untuk yang terakhir kali.
Dah kenal hampir sepuluh tahun. Dah
bertunang hampir tiga tahun.
Ada dua puluh satu hari sahaja lagi
untuk Raykarl melafazkan akad bagi menghalalkan Maira di sisinya sebagai isteri
yang sah.
Tiba-tiba, Maira memutuskan
pertunangan mereka.
“Kakak drive elok-elok. Kalau penat
berhenti dan rehatkan diri. Jangan bagi Ray drive. Umi tak yakin dia boleh
fokus. Jangan lupa share live location dan maklumkan pada umi jika dah jumpa
Maira.” Kata umi cuba bertenang.
Elsa tetap mengangguk perlahan
walaupun dia tahu yang umi tak nampak anggukannya itu.
“Baik, umi. Kakak tahu tu. Umi jangan
bimbang yea. Apa-apa, kakak akan update pada umi.” Balas Elsa lembut.
Raykarl tundukkan wajah.
Rasa bersalah sangat pada umi dan
Elsa. Dah besar panjangpun masih buat umi dan Elsa susah hati.
Umi pula termangu sendirian sambil memandang skrin
telefon.
Mujurlah ada Elsa, jadi umi tak risaukan Raykarl
sangat.
Bimbang jika Raykarl buat perangai
macam dulu.
Pernah Raykarl buat kerja gila bawa
motor dari Johor Bharu ke Perak tengah malam buta sampai tergelincir di bahu
jalan. Mujur tak masuk hospital dan mengalami apa-apa kecederaan teruk. Setakat
calar di badan.
Semua tu kerana Maira yang suka
mengugut Raykarl untuk putuskan perhubungan mereka.
Kelam kabutlah Raykarl bergegas ke Perak untuk
memujuk.
Pernah juga Raykarl tinggalkan peperiksaan kertas
terakhir untuk subjek tahun akhir demi Maira yang kononnya jatuh sakit di
hospital. Orang lain semua bergraduat tapi Raykarl terpaksa tambah satu
semester lagi hanya semata-mata untuk satu subjek tu.
Apa yang Raykarl tak buat?
Apa yang Raykarl tak korbankan?
Masa?
Wang?
Tenaga?
Raykarl sampai korbankan perasaan
sendiri demi menjaga perasaan Maira.
Itu yang umi terkilan.
Raykarl yang sentiasa ada di sisi
Maira waktu Maira sakit berbulan-bulan dan terlantar di hospital kerana
kemalangan jalanraya. Patah kaki. Siapa yang bersusah? Anak lelaki dia juga
yang susah.
Raykarl tak pernah jemu memujuk,
memberikan semangat dan melayan angin
taufan Maira tu.
Raykarl layak dapat yang lebih baik
daripada Maira.
Yang penting, umi mahu bakal isteri
Raykarl menyintai Raykarl sepenuh hati dan sanggup susah senang sama-sama.
Umi sedih tiap kali, Raykarl
menyusahkan diri demi Maira. Pengakhirannya, Maira langsung tak menghargai
Raykarl.
Sampai sahaja di Seri Iskandar, Perak.
Raykarl terus menunjuk arah untuk Elsa
memandu terus ke rumah sewa Maira.
Belum nampak bumbung rumah sewa Maira,
Raykarl dah macam nak melompat keluar.
Belum sempat Elsa tarik handbrake,
Raykarl dah siap sedia nak berlari turun ke pintu pagar rumah Maira.
Namun, baru nak menyeberang jalan
sebuah kereta terlebih dahulu memarkirkan kereta betul-betul di hadapan rumah
Maira.
Saat mata terpandang pada sebuah
kereta berwarna hitam metalik. Berderau darah Raykarl. Itu kereta Idham, bekas
tunang Maira.
Langkah kaki Raykarl kaku di situ
sambil mata memandang ke arah pintu penumpang.
Wajah Maira yang ceria dipandang
dengan penuh rasa kecewa. Mereka terlalu bahagia sampai kehadiran Raykarl pun
tak disedari.
Idham memeluk pinggang Maira.
Membuka pintu pagar dan kedua-duanya
melangkah masuk ke dalam rumah. Rumah yang sama.
Tubuh Raykarl yang memandang terasa
mahu rebah ke bumi. Lututnya terasa longgar. Drama apakah ini?
Dikhianati...
Itu adalah alasan yang tepat.
Atau lebih tepat lagi, Maira curang
dan sanggup berdua-duaan bersama Idham.
Seorang tunang yang Raykarl cinta
sepenuh hati, bermesra dan tinggal sebumbung dengan bekas kekasih lama.
Pembetulan. Bukan bekas kekasih sahaja tetapi bekas tunang Maira sebelum Maira
bertunang dengan Raykarl.
Elsa juga terkejut dengan babak yang
berlaku tadi.
Melihat Raykarl yang kaku tak berdaya
begitu, buat Elsa rasa nak naik hantu. Emosi dan amarah Elsa dan sampai ke
tahap maksimum.
Tubuh Raykarl dipaut erat.
“Stay here.” Bisik Elsa tegas.
Raykarl akur. Sempat juga Raykarl seka
air mata yang ada di tubir mata. Tak mahu Elsa melihat air mata kecewa seorang
Raykarl.
Saat Elsa berlari ke seberang jalan
dan mengetuk pintu rumah sewa Maira.
Raykarl masih kaku begitu. Rasa lemah
seluruh anggota tubuh.
Cinta yang Raykarl bagi tapi racun
yang Raykarl terima sebagai balasan sekeping hati yang setia.
Idham datang membuka pintu dengan
wajah manis. Mujur ada kesabaran di hati Elsa.
Jika tidak, pasti penumbuk gila yang
Elsa hadiahkan pada Idham.
“Cari siapa?”soal Idham sambil
mengenyitkan mata pada Elsa.
Gatal.
“Cari Maira Sofean. I nak jumpa dia.”
Kata Elsa mendatar.
Idham memandang ke dalam rumah.
“Sayang. Ada perempuan nak jumpa.”
Kata Idham lembut dan menggoda.
Maira yang datang ke muka pintu sempat
memeluk pinggang Idham erat.
Bukan main lagi, dua manusia ini
berkepit. Semak mata Elsa.
Namun sesaat kemudian, terbuntang mata
Maira melihat Elsa yang berada di depan pintu rumahnya.
Pang...
Satu tamparan melekat pada wajah
Maira.
Raykarl sudah berlari memeluk tubuh
Elsa yang sudah semakin hilang sabar.
Jika tidak ditahan oleh Raykarl,
memang Maira makan penampar gila Elsa berkali-kali di kiri dan kanan pipinya.
Namun Raykarl cepat menahan Elsa yang
semakin hilang sabar. Tak mahu keadaan menjadi lebih buruk. Elsa tu ada black
belt taekwando kot.
Elsa tenung tajam wajah Maira yang
masih terkejut dengan keadaan.
Mungkin tak menyangka yang Elsa dan
Raykarl akan mencarinya sepantas ini. Padahal baru lapan jam yang lalu, Maira
kirimkan voice message untuk putuskan pertunangan antara Maira dan Raykarl.
“Kau bertunang dengan adik aku. Dan
sekarang kau buat maksiat dengan bekas tunang kau? Perempuan jenis apa kau ini,
Maira? Apa salah Raykarl?” Tengking Elsa kuat.
“Hey. Jangan nak tuduh Maira
bukan-bukan. Dia isteri aku yang sah.” Balas Idham pula sambil menarik Maira
agar rapat di sisinya.
Elsa terkedu sambil mata memandang
reaksi Raykarl.
Raykarl mengangkat wajah dan memandang
ke wajah Maira. Riak duka memang jelas kelihatan. Hampa.
“Kau isteri Idham? Bila korang
menikah? Jadi aku ini apa?”soal Raykarl menahan sebak.
“Kami dah sebulan menikah. Kau patut
sedar diri Raykarl. Maira tak pernah cintakan kau. Dia cintakan aku. Dulu dan
sekarang, cinta Maira hanya untuk aku.” Kata Idham dengan nada bangga.
Raykarl menggenggam penumbuknya.
Menahan amarah.
Beristighfar agar imannya kuat. Tak
mahu bertumbuk dan bergaduh kerana perempuan.
“Kau menikah dengan tunang orang? Memang
padanlah korang berdua ini. Dua-dua perangai macam setan. Aku rasa, ibu bapa
Maira tak tahu kan? Ray, jom kita ke rumah ibu bapa Maira. Kita selesaikan hal
ini.” Tarik Elsa.
Raykarl tak
berganjak. Mata Raykarl masih merenung wajah ayu Maira.
“Tak perlu Kak
Elsa.” Tegas Raykarl.
Raykarl
mendekati Maira setapak.
“Jangan bagitahu
mama dan papa dulu, Ray. Biar Maira dan Idham bagitahu sendiri. Kami perlukan
masa untuk betulkan keadaan.” Luah Maira lembut.
Maira tahu
Raykarl marah. Maira tahu Raykarl sedih. Tapi Maira juga tahu yang Raykarl
sayangkan Maira.
Raykarl pandang
wajah Maira, “Aku tahu yang mama dan papa tak tahu. Aku bukan datang untuk
keruhkan keadaan. Tapi aku datang nak tahu alasan. Sekarang dah jelas.”
Elsa ketap gigi
sendiri. Geram. Lembut hati sungguh si Raykarl ini. Tapi Raykarl memang begini.
Tak suka kekerasan dan sentiasa mahu berlembut dan sabar.
Elsa pula yang
rasa hilang sabar. Rasa nak meletop pun iyer juga.
Memandang wajah
bangga diri Idham buat Elsa sakit hati. Rasa nak tempeleng je muka lelaki tak
sedar diri tu. Selamba sahaja.
“Terima kasih atas masa yang kau
bazirkan untuk aku. Tahniah atas pernikahan kau. Aku harap kau bahagia Maira.
Aku halalkan segala yang aku dah bagi pada kau dan keluarga kau. Aku harap kau
dan Idham dapat berterus-terang dengan keluarga kau. Apa sahaja yang kau cerita
pada mereka. Aku reda. Jika itu boleh menjaga hubungan kau, dia dan keluarga
kau. Aku pasrah. Letakkanlah kesalahan itu pada aku. Aku terima.” Seusai
berkata begitu, Raykarl terus berpaling sambil menarik lengan Elsa.
Terkebil-kebil Elsa memandang wajah Raykarl.
Macam tu je? Elsa geleng kepala.
“Lepaslah.” Kata Elsa bengang.
Raykarl masuk dalam kereta di sebelah
pemandu.
Elsa menghentak kaki tanda protes
dengan tingkah Raykarl.
Namun, Elsa terpaksa menurut dan masuk
ke dalam kereta juga.
“Ray tak mahu panjang cerita. Lagipun
mereka dah menikah. Ray tak mahu ada banyak hati yang terluka. Cukuplah sampai
sini. Ray dah tahu alasannya. Itu dah cukup untuk Ray teruskan kehidupan.” Luah
Raykarl lembut.
“Tapi...”
Raykarl pandang wajah Elsa sambil
genggam tangan Elsa.
Erat.
“Tolong Ray, Kak El... Ray tak kuat
nak hadap dia lama-lama. Ray tak kuat nak berdepan dengan keluarga dia. Buatlah
apa yang dia suka. Dia boleh reka apa sahaja cerita. Ray tak mahu ambil tahu
dah. Dia isteri orang.” Kata Raykarl sambil melentokkan kepala pada bahu Elsa.
Menahan sebak.
Menahan air mata agar tak berjurai.
Namun, Elsa
nampak ada mutiara hampa yang jatuh jua di tubir mata seorang lelaki bernama
Raykarl Ibrahim.
Raykarl Ibrahim
menangis di bahu Elsa.
Terkedu Elsa dengan situasi itu.
Hilang kata-kata.
Lima belas minit dalam keadaan begitu
buat Elsa rasa tak cukup oksigen.
Elsa tak pernah melihat Raykarl yang
rapuh begini.
Hati Elsa sendiri terasa ngilu apabila
mendengar esakan halus Raykarl.
Namun, situasi tersebut menjadi
canggung pula apabila Raykarl dah mampu stabilkan emosi dan berfikir dengan
waras.
Sunyi sepi. Datang pula aura Raykarl
bak lelaki maskulin yang penuh pesona.
Riak wajah luka itu benar-benar
mengusik jiwa wanita Elsa. Betapa beruntungnya wanita yang bisa memiliki hati
seorang Raykarl.
Selain Raykarl, akan wujudkah lelaki
begini di ruang lingkup kehidupannya?
Elsa pula yang tak keruan. Risau.
Risau jika hati wanita Elsa tersalah
mendarat.
Dalam masa yang sama, perut Elsa
tiba-tiba berbunyi kuat.
Lapar.
Raykarl angkat muka dan tenung wajah
Elsa.
Gelabah juga Elsa nak kawal rasa malu
apabila ditenung oleh Raykarl sebegitu.
Raykarl cuba tersenyum dan mencipta
jarak.
Raykarl kembali bersandar di kerusi
sebelah pemandu.
Elsa tarik nafas perlahan-lahan. Lega.
Sangat lega.
“Jom pergi cari tempat makan best. Ray pun
lapar juga ini. Hurm, Ray minta maaf sebab seksa perut Kak El. Tangguh
dinner sampai cacing dalam perut pun bernyanyi.” Kata Raykarl cuba bercanda.
Elsa pamer senyum kambing. Dalam masa
yang sama, Elsa hidupkan enjin kereta dan cuba berlagak selamba.
Wajah Raykarl langsung tak dipandang.
Segan.
No comments:
Post a Comment