Saturday, October 18, 2025

PROMO KOMBO MASIH CINTA

 KOMBO MASIH CINTA hingga 25/10/2025 sahaja tau.








BLURB

 

Semua mata memandang Fella meminta kepastian. Fella hanya tersenyum melirik sambil anak matanya bersinar-sinar memandang ke wajah Aryan.

 

“Cakaplah.” Sergah Aryan tenang.

 

Kus semangat! Semua terkejut termasuk Fella. Kak Long, Abang Ngah, dan Abang Long sudah tercengang-cengang dengan reaksi Aryan. Mana nak percaya kalau sikap Aryan sendiri dah kasar begini. Bercinta konon.

 

Hanya Alma sahaja yang tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Gelihati dengan perangai Aryan, Memang sesuai sangat dengan Fella yang keras kepala tu.

 

“Abang dah cakapkan. Nak cakap apa lagi.” Balas Fella kalut.

 

Aryan mengeluh perlahan sambil bebola mata hitamnya merenung tepat ke wajah Fella.

 

“Bagi dorang kepastian, boleh? Kalau abang aje yang cakap dorang tak percaya. Tengok muka masing-masing ini. Dorang ingat abang yang paksa Fella.” Luah Aryan sebal.

 

“Macam mana kami nak percaya kalau korang berdua macam arnab dengan kura-kura.” Tempelak Kak Long geram.

Abang Ngah merenung Aryan, “Orang bercinta patut bawa versi Romeo dan Juliet. Uda dan dara. Laila dan Majnun.”

 

“Tak nak aku. Semua tu kisah cinta tragis. Pengakhirannya, mati. Ni kisah realiti. Kisah cinta sejati.” Balas Aryan.

 

Slay sangat.

 

Inilah Aryan Habib. Lelaki yang Fella Arshad cinta. Secret crush di hati masing-masing sejak berbelas tahun. Lelaki yang dianggap diktaktor ini, rupa-rupanya hanya posesif pada Fella. Cemburu tapi cuba berselindung di sebalik wajah garangnya.

 

Salahkah jika Fella dan Aryan bercinta? Sejak kecil Mama Veeya dan Papa Zulfar sentiasa ingatkan bahawa Fella Arshad merupakan puteri bongsu keluarga ini.

 

Ironinya, realiti tetap realiti. Mama dan Papa menentang kisah cinta Fella dan Aryan. Bagaimana dengan Kak Long dan Abang Ngah? Apabila semuanya bermula dengan kesebalan yang dipamerkan, maka yang indah dianggap satu ilusi yang karut. Jangan lupa dapatkan ebook Bila Hati Masih Mencintai Dia. Kisah percintaan romantik komedi dan hubungan kekeluargaan yang menyentuh hati.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Random Teaser 1

Masam mencuka wajah Fella menatap wajah kacak Aryan yang sedang lena di halaman luar rumah di atas hammock (buaian gantung). Dia ingat kalau muka macam International Model maka Fella tak berani nak mengamuk dan mendajal ler?

Silap besar!

Meh nak tunjuk, penangan amarah Fella Arshad. Ni baru Asofix Dye Fabric. Lagi kejam kalau guna canting batik saiz L yang berisi lilin panas. Tapi Fella masih berjiwa lagi. Masih ada rasa simpati.

Selamba sahaja si Fella mengukir Goofy Smiley dengan lidah terjelir pada wajah Aryan. Di dahi, di pipi kiri dan kanan. Siap warna merah di hidung lagi.

Mama dan papa tak ada di rumah, maka Fella berani mendajal. Jika mengaum satu rumah dengan amukan Aryan pun, Fella tak heran. Buat bodoh jer.

Ada aku kesah? Bisik Fella dalam hati.

Mak Lily dan Pak Hassan pula sporting. Tak ada nak mereport tak tentu pasal. Cool aje laki bini ni. Walaupun Fella buat perangai pelik. Apatah lagi, si Fella ini manja sangat dengan Mak Lily.

Beberapa saat, Fella ralit terbuai memandang wajah lena Aryan. Hati tidak menafikan bahawa cinta dan rindu itu menggebu. Namun, dek kerana malu. Maka, Fella pun buat perangai tak semenggah. Melayan angin sepoi-sepoi bahasa Si Aryan.

Yealah, kejap kang datang macam taufan. Kejap pula datang bagai hembusan bayu yang buat hati Fella menggebu. Uish, yang tak tentu arahnya Fella. Keliru tau!

Fella tersedar dan menggelengkan kepala.

Jika berterusan memandang wajah tampan Abang Aryan ini, mahu nanti hati makin mencair. Hati Fella ini memang dah sedia berbolak-balik. Yang pasti, dia tetap di hati. Yang berbolak-balik tu adalah keinginan untuk berterus-terang.

Akhirnya, siap juga Fella melukis dan mengerjakan wajah Aryan, bak mencurah ilham pada batik kanvas. Fella tersenyum manis. Melukis memang hobi Fella. Dalam masa yang sama, Fella memang pemilik Fella Batik Design. Jadi semestinya, lakaran dan tona warna pada wajah Aryan nampak hidup dan cute.

Bengkel canting batiknya memang terletak di bahagian belakang rumah. Galeri pameran dan jualan juga berada di tempat yang sama. Ada laluan mudah untuk masuk ke bengkel canting batik Fella ini. Siap parking yang selesa lagi untuk pelanggan. Setakat bas dua biji pun boleh muat. Memang mengagumkan. Alhamdulillah! Itu semua hadiah daripada Mama dan Papa. Memang Mama Veeya dan Papa Zafrul dah buat renovation sebaik mungkin khas buat Fella Batik Design.

Terharu!

Fella tenung wajah Aryan. Antara kita, kenapa mesti begini lagaknya? Maafkan Fella. Fella takut jika Fella terus-terang, maka Abang menjauh. Fella tak mahu berjauhan dengan abang. Cukuplah sekali, Fella ditinggalkan. Sakit rindu tu meletihkan jiwa.

Dalam masa yang sama, Fella terdengar pintu pagar utama terbuka. Pasti Abang Ngah dah balik. Dup dap dup dap, jantung Fella.

Fella berlari laju menyusup masuk melalui pintu dapur dan berlari naik ke tingkat dua. Apalagi, sembunyikan diri di dalam bilik sendiri ler. Kalau kekal di sisi Aryan, sah Fella akan kena tazkirah panjang oleh Abang Ngah. Abang yang sorang tu memang pantang diberikan peluang bercakap. Apatah lagi, peluang menasihat. Two hours non stop pun boleh tu. Jadi, lebih baik cabut lari.

Di dalam bilik, Fella menghitung masa. Satu. Dua. Tiga. Empat. Lima... Berdebar-debar hati menanti reaksi Aryan dan Zein.

“Fella...” Jerit Aryan kuat dan nyaring.

B.I.N.G.O... Fella tergelak mengekek.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Random Teaser 2

Fella ketawa gelihati.

Pintu bilik Fella diketuk kuat dari luar. Fella diam. Bertahan.

“Buka pintu ini. Kalau tak aku robohkan pintu ini.” Luah Aryan lantang.

Fella telan liur sendiri. Terasa perit dan kelat pula. Takut? Tak taku. Tapi, adalah rasa gementar sikit.

Pintu dibuka.

Bola mata Aryan dah terlontar tepat memandang wajah Fella. Muka Aryan dah berubah merah.

“Kau tahu apa salah kau?”soal Aryan kasar.

Fellla mengangguk laju, “Tahu. Makanya hidup ini, kena jadi manusia yang baik tutur kata. Lembut budi bahasa. Penyejuk jiwa. Bukan mengaum macam singa. Ingat ini hutan ke? Zoo pun bukan tau.”

Memang selamba sahaja si Fella ini sekolahkan si Aryan.

Zein yang mendengar kata-kata Fella dari hujung anak tangga teratas, sudah tergelak besar. Kaki Zain dah mula melangkah ke arah Fella dan Aryan sambil mata memerhati gelagat kedua-duanya. Betul-betul macam Tom and Jerry.

“Minta maaf, Fella. Salah tetap salah.” Kata Zein lembut.

Fella tersenyum ke arah Zein, “Hah, ini baru betul. Sejuk je hati mendengar.”

Fella tersenyum ke arah Zein, manja.

“Eh, kesah pula aku sama ada hati kau sejuk ke dingin?” Balas Aryan cuak apabila Fella memuji Zein.

Fella ketawa mengekek, “Alah. Bukan permanent marker pun. Baru cat batik. Senang aje cuci.”

Terangkat kening Aryan mendengar kata-kata Fella.

“Ada hati kau nak conteng muka aku dengan permanent marker pula? Ingat Fella. Last warning. Kau buat lagi benda luar alam begini. Aku balas balik sampai kau pula yang mengaum macam singa betina. Cubalah, kalau berani. Jangan cabar aku.” Kata Aryan bengang sambil berpaling melangkah ke anak tangga untuk ke tingkat tiga.

Ke mana lagi jika bukan ke biliknya. Bilik Zein dan Aryan memang berada di tingkat tiga. Berdekatan dengan ruangan gym dan playstation.

Random Teaser 3

Zein memandang wajah Fella yang masih memandang figura Aryan.

“Apa yang Aryan dah buat sampai adik buat perangai macam ni?” Soal Zein lembut.

Fella mendengus kecil, “Kalau Abang Aryan ini, bukan sebab tingkah jer tau abang. Selalunya mulut dia tu yang buat Fella mental. Laju je nak sound-sound orang. Tak ada ribut. Tak ada taufan. Tapi kata-kata dia dah macam halilintar membelah alam.”

Zein menggeleng perlahan. Apapun, Zein tahu yang Aryan tak pernah berniat mahu berkasar pada Fella. Apatah lagi, mahu Fella terluka atau dilukai. Mamat tu... Mulut jer laju. Hatinya lembut gebu.

“Sudahlah. Nak maghrib dah. Pergi mandi. Solat. Nanti turun makan sama-sama. Abang ada beli ikan bakar dan sotong celup tepung. Boleh kita makan sama-sama.” Arah Zein dengan senyuman manis.

Kacak macam Papa Zafrul. Lembut macam Mama Veeya.

Sejuk aje hati Fella. Tapi dengan Abang Ngah ini berbeza. Jantung Fella tak berlagu rindu. Abang Ngah juga memang dah menganggap Fella seperti adik kandungnya sendiri walaupun mereka sepupu. Maklumlah, sejak kecil Fella dijaga oleh Mama dan Papa.

Sejak kecil, Mama, dan Papa sentiasa menasihati Fella agar menjaga aurat dengan Abang Ngah dan Abang Aryan. Batas hubungan lelaki dan perempuan perlu dijaga. Zein Zulfar, sepupu Fella. Aryan pula sepupu angkat Fella. Sama ada dengan Zein atau Aryan memang Fella boleh bernikah dengan salah seorang antara mereka. Tapi, Fella tak rasa apa-apa jika Abang Ngah yang melayannya dengan baik. Abang Ngah tu dah macam abang kandung Fella. Sejak kecilpun, Zein memang sayang Fella seperti seorang adik.

Berbeza dengan Aryan. Masa kecil sahaja Fella rapat dengan Aryan. Apabila dah meningkat remaja, semua berubah. Ada batas antara mereka. Sejak itu juga, perasaan Fella pada Abang Aryan berbeza. Jantung sentiasa berdetak laju apabila berbalas pandang dengan Abang Aryan.

Mereka berdua pernah rapat. Tapi tak tahu di mana silapnya. Mereka berdua ibarat  dingin apabila berdepan antara satu sama lain.

Di bilik, Aryan termenung panjang sambil anak matanya merenung cermin kaca di meja solek. Jarang Aryan duduk di situ. Almaklumlah, dia lelaki. Memang jarang dia pandang cermin ini dalam keadaan duduk begini sambil memandang muka sendiri.

Selalunya, Aryan sekadar pandang sekilas sebelum pergi bekerja. Sekadar melihat penampilan diri. Mahu sentiasa nampak rapi dan kemas.

Satu keluhan berat kedengaran. Penasaran. Bimbang jika tersalah tingkah, maka mungkin sekali lagi Mama dan Papa akan menegur Aryan. Setiap kali teguran, pasti Aryan diberi pilihan untuk berdikari dan terpaksa keluar rumah.

Pertama kali dahulu, sewaktu Aryan berusia enam belas tahun. Dek kerana, terkantoi berada di dalam bilik Fella yang waktu tu berusia sebelas tahun, maka Aryan terpaksa akur apabila Mama dan Papa menghantarnya ke sekolah berasrama penuh. Padahal, waktu tu Aryan hanya mengajar Fella subjek Matematik sahaja. Niat untuk mengajar. Aryan tahu batas diri. Tak pernah terfikir mahu mengambil kesempatan ke atas Fella.

Kali kedua pula, pada usia Aryan 23 tahun. Baru tamat diploma. Bukan main hepi sangat bergurau sampai terpeluk Fella dan sama-sama terjatuh dalam kolam renang kat halaman luar rumah tu.

Waktu tu, memang mereka tengah bergurau. Zein pun ada. Tapi Fella tersalah langkah, maka entah bagaimana Fella boleh berada dalam dakapan Aryan pula dan kemudian tercampak ke kolam renang. Mama nampak dan terus dipanggil menghadap di bilik bacaan selepas solat Isyak berjemaah.

Akhirnya, Aryan dihantar ke luar negara atas alasan perlu menyambung pelajaran ke peringkat degree dan master. Zein pun turut terjebak sekali. Kedua-duanya dihantar ke luar negara untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Kononnya, Mama dan Papa mahu Zein dan Aryan berdikari dan mandiri.

Tapi kenyataannya... Adalah kerana mahu menjaga batas perhubungan antara Aryan dengan Fella. Hal ini, Zein pun tak tahu. Rahsia ini tersimpan kemas antara Aryan, Mama dan Papa sahaja. Mungkin Mama dan Papa tak mahu Aryan hilang tingkah dan berasa malu pula jika Zein dan Fella tahu.

Kini, Zein dan Aryan sudah berada pada usia awal 30an. Fella pula sudah mencecah usia 25 tahun.

Pastinya, mama dan papa akan lebih tegas lagi berkaitan soal aurat dan adab. Memang sukar mahu membawa diri. Sama sukar mahu menutup perasaan hati.

Sakit rindu ini buat jiwa Aryan menderita. Perasaan yang hadir ini buat Aryan kebingungan dalam mencari sinar harapan. Mahu diluahkan tetapi mulut terkunci.

Aryan tersenyum hambar melihat wajah sendiri. Bukan main cantik lagi si Fella ini lukis Goofy Smiley kat wajah Aryan. Suka hati dia aje. Ni ada pegang-pegang ke tak ini? Sudahlah, dia tidur nyenyak tadi. Satu apapun tak sedar.

Tanpa sedar. Jauh di dasar hati. Ada senyuman terukir. Kembang kuncup Aryan menahan gelora jiwa. Rasa bahagia itu menyelinap lagi.

 






No comments:

Post a Comment