Thursday, October 24, 2024

MEWANGI RM18

PROLOG : MEWANGI

Dinding dan siling bangunan SER ONE bagai nak runtuh walaupun tanpa petir dan guruh. Emosi yang berada pada tahap gunung berapi yang mahu meletop ini juga adalah satu bencana dalam diam. Lahar dan magma jiwa tunggu masa sahaja mahu mengalir meluahkan baranya.

Suasana di ruang pejabat Waser tegang. Beberapa lelaki berkopiah yang memperkenalkan diri sebagai pegawai agama Islam dan orang masjid di kawasan ini sudah hilang ditelan lif SER ONE. Pengawal keselamatan juga sudah turun ke ground floor dan sempat berpesan agar Waser membawa Arleyna pulang. Bimbang juga jika mereka yang menyerbu tadi datang semula ke sini. 

Tahan malu juga Waser nak berdepan dengan pengawal keselamatan a.k.a staf SER ONE. Siapa tak kenal Waser Ilmaan? CEO SER ONE yang bijak dan bergaya. Penuh pesona.

Tapi hari ini, maruah Waser tercalar dek agenda tak masuk akal Umi dan Waneyda. Makhluk yang bersubahat inipun ada di depan mata. Aku nak buat apa dengan pensubahat ini? Jatuhkan hukuman nikah, kang koma pula tiba-tiba. 

Waser diam sambil bola matanya merah menyala menahan amarah. Tajam anak mata Waser memandang Arleyna. Panas hati. Jika Arleyna ini jantan dah lama bersepai muka tu. Penghawa dingin yang sejuk inipun tidak mampu mengurangkan suhu panas menggelegak di hati Waser.

Arleyna dah kecut perut. Tahu khilaf diri. Arleyna rasa nak menyorok, tapi tahu sekarang bukan masa yang tepat untuk sembunyikan diri. Nak angkat kaki pun, langkah terkunci.

Waser menarik tangan Arleyna dan menolak Arleyna hingga terduduk di kerusi empuknya. Terkebil-kebil mata Arleyna memandang Waser. 
Waser mendekatkan bibirnya ke telinga Arleyna. Pucat lesi muka Arleyna. Kebas wajah menahan nafas.

“Puas hati awak?’’ Soal Waser dengan senyuman sinis. 

Tangan kanan Waser dah menolak kuat bahu Arleyna hingga Arleyna tak dapat bergerak. Arleyna pejam mata. Maaflah, kalau terkasar tingkah. Bimbang ada iman yang terbabas pula. Arleyna buka mata dan membalas pandangan Waser. Berani.

Sebelum tangan Waser merayap tak tentu hala, Arleyna menolak tubuh Waser untuk berdiri tegak pula.

Terkedu juga Waser dengan tindakan pantas Arleyna. Tahu takut. Yang duk jadi pensubahat untuk perangkap aku yang tak bersalah ini, dia tak takut pula.

“Saya keluar dulu, Tuan.” Tutur Arleyna sopan.

Waser pandang gerak-geri Arleyna.

“Awak nak ke mana? Ada saya benarkan awak keluar dari ruangan ini?”soal Waser dengan nada tinggi.

Arleyna berhenti melangkah dan menoleh kembali ke arah Waser. Mana mungkin Arleyna buat derk aje dengan arahan Waser. Tak berkelip mata Arleyna memandang wajah Waser yang sedang marah dan bengang dengan Arleyna. 

Arleyna tahu. Tapi boleh tak buat tak tahu.

Madam Waneyda dan umi inipun satu, boleh pula suruh Arleyna aturkan blind date Waser di pejabat pada waktu malam. Sengaja mahu menempah maut. 
Orang tu dahlah letih seharian. Tak makan lagi sejak petang. Walaupun, Arleyna dah sediakan dinner tetap juga Waser tak berselera. Arleyna tahu, Waser tak berapa sihat. Tapi kerana desakan Madam Waneyda dan umi, Arleyna terpaksa buat.

“Saya minta maaf, Tuanku Waser.” Luah Arleyna tanpa disuruh.

Waser pandang wajah Arleyna, “Saya tak faham. Jadi tak boleh nak memaafkan. Perincikan kesalahan.”

Arleyna gugup. 

“Saya tahu Tuan tak sihat hari ini. Tuan penat sebab seharian bekerja. Saya tak patut setuju untuk laksanakan rancangan Madam Waneyda dan umi Tuan. Saya minta maaf, Tuan. Tapi, saya tak tinggalkan Tuan dan Cik Anahita berdua sahaja di sini. Saya tahu jika saya buat begitu saya umpama bersubahat pada kemungkinan berlakunya maksiat. Sebab itu, saya kekal di sini. Siap suruh Taufiq, si pengawal keselamatan tu teman sekali. Yealah… Bukan saya tak kenal Cik Anahita tu. Bimbang juga kalau saya tak boleh nak urus baran dia. Dan demi Allah, saya tak tahu yang Madam Waneyda dan umi Tuan mahu…” Arleyna tak dapat mencari kosa kata yang sesuai untuk menyambung ayat.

Bola mata Waser masih memandang tajam pada wajah Arleyna. Bendul. Mudah sangat percaya pada Waneyda dan Umi. Mereka berdua tu memang penuh muslihat, berbaik dengan orang pun ada niat tersembunyi. Bukan Waser tak tahu yang Waneyda dan Umi mempergunakan Arleyna yang naif ni.

“Awak tahu tak, nasib baik saya tak kena tangkap khalwat. Dengan perangai Anahita yang begitu. Awak fikir layak ke dia nak jadi isteri saya? Tolonglah guna otak awak. Jangan main terima aje arahan Waneyda dan umi saya. Awak ada otak. Awak boleh fikir baik dan buruk. Kalau rasa salah, awak tolak.” Marah Waser.

Jika di ikutkan hati mahu sahaja Waser melampiaskan kemarahannya pada Arleyna yang ada di depan mata ini. Talibarut Umi dan Waneyda yang bendul. Rasa nak lenyek jadi cendol. Tambah ais kepal bagi dingin salju sikit hati Waser ini.

Waser tarik nafas panjang.

“Jomlah teman saya makan. Saya hantar awak balik. Kalau ikutkan nak sahaja saya bagi tazkirah pada awak kat sini sampai pagi esok. Tapi, saya bimbang orang masjid tu datang balik. Rugi pula kalau dapat kahwin free dengan awak.” Balas Waser selamba. 

Waser mencapai telefon bimbitnya di atas meja dan berjalan keluar.

Arleyna tuding jari pada muka sendiri. Kahwin free dengan aku, rugi? Melampau betul ayat Tuan Waser ini. Ingat aku anak dara tak ada kualiti ke? Hurm, tapi…

Arleyna diam dan bungkam sendiri.

“Apa lagi yang awak duk meratap tu, Arleyna? Takkan nak kahwin free dengan saya pula…” Usik Waser sambil sembunyikan senyum di bibir. 

Waser tahu Arleyna bengang dengan ayat yang keluar dari bibir Waser tapi Waser rasa pelik melihat riak wajah duka Arleyna. Mendung tiba-tiba… Setahu Waser, Arleyna bukan perempuan yang mudah sentap.

Nak bertanya… Anak tekak bagai tak berfungsi pula.

Waser diam di sepanjang perjalanan. Sesekali Waser mencuri pandang pada wajah redup Arleyna.

Di Bayu Bistro…

Seusai menghabiskan kesemua makanan yang terhidang, Waser meluah bicara dengan nada lembut dan tenang.

“Boleh awak jujur pada saya tentang plan Waneyda dan umi saya?” Soal Waser sambil memandang seraut wajah ayu milik Arleyna.

Arleyna pandang wajah Tuan Waser sambil berkerut kening di dahi.

“Tuan, tahu?” Soal Arleyna sedikit terkejut.

“Waneyda, kakak kandung saya. Umi pula ibu kandung saya. Mana mungkin saya terlepas pandang tingkah pelik mereka. Sebelum awak bekerja di sini, memang mereka tu banyak ragam. Selalu huru-harakan hidup saya.” Balas Waser selamba mengutuk Waneyda dan Umi.

Jika kedua-dua mereka mendengar luahan Waser ini, memang lagi huru-hara keadaan.

“Jujurnya, jika saya di tempat Tuan, saya akan mengamuk juga. Saya rasa plan kali ini agak keterlaluan. Silap hari bulan boleh jatuhkan reputasi Tuan dan SER ONE. Saya juga rasa Cik Anahita tak sesuai dengan Tuan. Mana mungkin perempuan terlebih dos penggalak tu jadi pendamping tuan. Saya dah mula bosan dengan semua plan ini.” Luah Arleyna jujur.

Waser tergelak. Saya dah mula bosan dengan semua plan ini. Macam tertukar tempat pula dengan Waser gayanya. Tapi riak lelah pada wajah Arleyna buat Waser akui. Mungkin Arleyna memang benar-benar bosan kerana terpaksa menambah beban tugas untuk memenuhi kehendak Waneyda dan umi.

“Kalau dah bosan sangat. Awak ajelah dengan saya.” Luah Waser sambil anak matanya memandang tunak pada wajah Arleyna.

Melopong mulut Arleyna mendengar luahan selamba Tuan Waser.

Arleyna tersenyum kambing.

“Tuan. Jangan buat drama kat sini. Cukuplah drama kat ofis tadi.” Luah Arleyna sambil berkalih pandang ke arah lain.

Boleh terbang iman Arleyna jika terus bertatapan mata dengan Tuan Waser ini. Lelaki ini hot kot. Bergoncang iman Arleyna jika Tuan Waser buat ayat begini. Tapi Arleyna sedar diri.

“Saya tak buat drama. Saya sungguh-sungguh ini. Lagipun, saya tak kenal perempuan lain yang senaif awak Arleyna. Saya suka cara awak. Saya suka perwatakan awak. Saya boleh terima awak seadanya.” Luah Waser jujur.

Arleyna melopong.

“Jangan tertipu dengan kenaifan saya.” Balas Arleyna tanpa diduga.

Waser tergelak, “Kadangkala cukup dengan pemerhatian sahaja sudah mampu untuk kita membuat kesimpulan pada setiap hipotesis.”

“Saya bukan objek sains. Saya manusia banyak versi dan tingkah yang bergantung pada situasi.” Balas Arleyna perlahan.

“Saya juga manusia yang punya kelebihan tersendiri, mampu menilai dengan mata hati.” Kata Waser dengan nada mengusik.

Waser mengeluh perlahan, “Saya bukan lelaki yang suka memaksa. Saya cuma meluahkan apa yang saya rasa. Dengan harapan satu hari nanti, bila awak rasa awak dah bersedia untuk jadi pelengkap hidup saya. Maka, awak akan lebih berani untuk buat keputusan yang tepat.”

“Tak perlu kot. Sebab hati saya memang dah tetap. Saya tak perlukan lelaki untuk bahagiakan saya. Cukuplah dengan wang ringgit yang saya ada. Saya lebih tertarik dengan duit berjuta daripada lelaki yang setia. Jadi tak perlu provoke saya.” Balas Arleyna selamba.

Peliknya, Waser langsung tak terkesan.

“Okey. Saya bantu awak dapatkan banyak duit daripada Waneyda dan Umi. Tapi… Jika awak berkompromi dengan saya, awak boleh dapat semua. Duit berjuta dan lelaki yang setia.” Luah Waser sambil kenyit sebelah mata ke arah Arleyna yang terkesima mendengar kata-katanya.

No comments:

Post a Comment